Terlebih dahulu Awang ingin zahirkan rasa syukur atas pendirian teguh Malaysia  dalam membantah keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. 

Sejarah sekali lagi membuktikan betapa Malaysia konsisten dalam memperjuangkan hak dan kedaulatan Palestin. Dari gema pada Perhimpunan Agung UMNO dua minggu lepas hinggalah Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis di Putrajaya, kelmarin, suara kita makin tegas.  

Awang ucapkan tahniah kepada Perdana Menteri,  Najib Tun Razak atas ucapan yang berani pada kedua-dua upacara tersebut, yang mencerminkan peranan signifikan beliau kepada keadilan sejagat dan dunia Islam.  Najib memperlihatkan dasar luar  Malaysia yang realistik. Meskipun berbaik dengan AS, ia sedikit pun tidak menghalang Malaysia untuk terus membela Palestin yang tertindas dan dizalimi Israel. 

Malah pada era Najib sebagai Perdana Menteri, Malaysia lebih lantang dan ke hadapan, yang diperakukan masyarakat antarabangsa. Walaupun AS mengugut dan mengenakan tekanan terhadap negara yang membantahnya, Malaysia tidak berganjak seperti yang ditegaskan oleh Najib. 

Ia bukan sahaja dengan ucapan dan perhimpunan malah tindakan diplomatik yang memberi kesan positif. Malaysia antara 128 negara menyokong Resolusi ES-10/19 yang diluluskan pada Sidang Tergempar Khas Ke-10 Mengenai Palestin oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Malah Malaysia merupakan 16 negara penaja usul itu  yang dikemukakan berlandaskan prinsip undang-undang antarabangsa. Perhimpunan Agung PBB telah menegaskan bahawa sebarang langkah yang menjejaskan status Baitulmuqaddis adalah terbatal dan semua negara telah diminta untuk menghentikan penubuhan kedutaan di Baitulmuqaddis. Muafakat awal berhasil.
                        

Kini dunia termasuk Malaysia telah menyampaikan mesej kepada Trump bahawa keputusannya mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel adalah kesilapan besar. Beliau harus bertanggungjawab kerana menjadikan persekitaran dunia lebih berbahaya dan berisiko akibat daripada keputusannya itu.  Malah Trump makin sesat jauh apabila mengugut negara yang membantahnya tetapi banyak negara sama ada Islam mahupun Kristian tidak gentar. 

Pada Awang, ia adalah keangkuhan pentadbiran Trump yang akan hanya merugikan AS dan mempercepat kejatuhannya sebagai kuasa unilateral. Trump melepas kesempatan terbaik untuk mendekati umat Islam sebaliknya mencetuskan permusuhan baharu. 

Ia adalah pengkhianatan besar AS terhadap majoriti negara Islam yang selama ini menyokong AS terutama ketika era Perang Dingin dan dalam melawan gerakan militan. Langit tidak selalunya cerah, ada hari yang AS akan merayu bantuan negara-negara Islam dan ada ketikanya nanti AS akan menerima padahnya. 

Sejak keputusan Trump, sentimen boikot sudah mula dirasakan bahangnya. Kuasa gerakan senyap boikot ada pada warga dunia termasuk umat Islam. Tafsir dan bertindaklah dengan yakin dan bijak supaya ia memberi impak. Kepada kerajaan ambillah iktibar dengan memberi keutamaan urus niaga besar seperti kelengkapan pertahanan kepada negara mesra Palestin dan tidak memusuhi Islam pada masa depan. 

Teruskan menyumbang apa sahaja, kudrat, solat hajat dan berdoa termasuk untuk memohon kemusnahan musuh. Awang melihat kuasa besar itu sebenarnya rapuh menerusi solidariti umat Islam membela dan menyelamatkan Palestin. Ini masa untuk umat Islam bersatu dan bangkit, yang seruan itu bukan sebarangan jihad.


SOLIDARITI GURU

Dalam apa yang disifatkan sebagai tidak pernah berlaku, para guru bersatu membela seorang guru Azizan Manap, 44, yang dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan mengkasari seorang murid lelaki, berusia 11 tahun.

Solidariti guru dalam isu tersebut membuka mata semua pihak. Awang teruja dengan semangat baharu yang diperlihatkan dengan mesej yang jelas menuntut karier perguruan lebih difahami  dalam cabaran mendidik terutama mendisiplinkan pelajar di sekolah. 

Isu tersebut panas apabila keluarga berkenaan membuat aduan polis selepas insiden Cikgu Azizan mengkasari pelajar itu pada perhimpunan pagi di Sekolah Kebangsaan, Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan pada 6 April lalu. Cikgu Azizan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Apa yang menjadi pertikaian, para guru merasakan Cikgu Azizan bertindak sewajarnya dalam menjaga disiplin apatah lagi pelajar itu terbabit menghidu  gam. Maka mendakwanya di mahkamah adalah tidak adil bagi karier perguruan. Namun keluarga pelajar berkenaan dan pihak tertentu melihat tindakan Cikgu Azizan keterlaluan dari segi batas peraturan sekolah. 

Mahkamah Majistret Seremban kemudian melepaskan tanpa membebaskan Azizan daripada pertuduhan tersebut, yang disambut kegembiraan para guru yang menyertai perhimpunan menyokong beliau di perkarangan mahkamah. 

Ternyata dalam kes tersebut, rata-rata guru di seluruh negara bersatu mempertahankan Cikgu Azizan. Dalam hal ini, tidak timbul menang atau kalah tetapi soal nilai muafakat yang terhakis. Awang tidak faham mengapa Cikgu Azizan perlu ke tahap didakwa di mahkamah, yang bermakna pihak berkuasa menggunakan asas pertimbangan yang kurang sensitif. 

Semoga ia menjadi kes terpencil yang tidak berulang lagi pada masa depan. Realitinya juga masalah salah guna dadah termasuk di sekolah adalah serius dan memerlukan tindakan luar biasa. 
Kepada Cikgu Azizan dan para guru yang komited menjaga disiplin para pelajar, teruskan komitmen dan bakti anda tanpa gentar dan ragu. Awang percaya guru di seluruh negara, tidak akan sedikit pun luntur semangat mereka. 

Komen ramai guru yang bernada merajuk dan jauh hati dalam laman sosial ketika isu itu memuncak, diharap hanya bersifat sementara. Sebaliknya ambillah hikmah untuk lebih teguh jiwa sebagai pendidik pada era serba moden ini. Bukankah guru karier paling mulia biar apa pun dugaannya?


YANG RUGI AZMIN...

Aneh, pasukan bola sepak Selangor atau dikenali jolokan Red Giants tidak boleh menggunakan stadium utama di negeri itu. Inilah akibat apabila sukan menjadi mangsa politik jelek. Awang bersimpati kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (PSM) yang dilarang menggunakan Stadium Shah Alam dipercayai atas arahan Menteri Besar, Mohamad Azmin Ali sejak awal tahun ini. Sebaliknya pasukan utama Selangor itu hanya boleh bermain di Stadium Selayang yang lebih kecil manakala Stadium Shah Alam menjadi gelanggang rasmi PKNS FC. 

Ramai orang Selangor sebenarnya meluat dengan keputusan itu. Tidak ada negeri lain yang bertindak sedemikian ke atas persatuan bola sepak negerinya sendiri. Awang lihat ia cubaan untuk menggugat pasukan Selangor yang telah 33 kali menjuarai Piala Malaysia. Namun semua itu tidak menghalang  sokongan rakyat Selangor terutama orang muda untuk terus bersama Red Giants. 

Akhirnya yang kelihatan rugi, buruk dan tercela adalah kerajaan negeri dan Azmin. Sudahlah Azmin menghentikan penajaan kerajaan negeri kepada FAS (sebenarnya bukan wangnya), beliau bertindak pula seperti pensabotaj. Terbaru, FAS terpaksa mengemis menggunakan gelanggang asing iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Setakat ini permohonan itu telah mendapat persetujuan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) hasil inisiatif Presiden FAS, Subahan Kamal. Menjadi harapan ribuan peminat Selangor agar pengendali Liga Malaysia memberi kelulusan Stadium Nasional sebagai gelanggang utama Selangor bagi perlawanan di tempat sendiri. 

Pada Awang, seandainya permohonan tersebut tidak diluluskan, FAS tidak akan sendirian. Tidak kisahlah di gelanggang mana sekalipun, rakyat dan peminat Selangor akan tetap bersama anda. 


PAKAR JUAL TANAH?

Selepas pendedahan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Teng Chang Yeow mengenai rekod jualan tanah kerajaan DAP Pulau Pinang yang boleh dianggap luar biasa, tiada respons daripada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Entah kenapa Guan Eng senyap walaupun apa yang didedahkan oleh Chang Yow sejak dua minggu lepas, adalah amat serius. 

Menurut Chang Yow, berdasarkan rekod, kerajaan negeri telah menjual kira-kira 2,204.24 hektar tanah (5,446.8 ekar) sepanjang sembilan tahun memerintah negeri ini. 

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding ketika era pentadbiran BN yang menjual 3,661 hektar dalam tempoh puluhan tahun. Awang macam tidak percaya dengan kerakusan kerajaan DAP.  

Apakah itu yang boleh dibanggakan oleh Guan Eng, sebagai Ketua Menteri paling pakar dan paling banyak luluskan tanah untuk dijual. Jika beliau (bukan orang Pulau Pinang) terus memerintah Pulau Pinang, berapa banyak lagi  keluasan tanah negeri itu yang akan lesap dijual?