Begitulah semangat kental dan kecintaannya terhadap badminton. Terima kasih Chong Wei kerana telah banyak mengharumkan nama negara. Sasarannya adalah untuk memburu pingat emas pada Sukan Olimpik 2020. 

 Beliau adalah 'pejuang’ yang tidak pernah berputus asa. Komitmen yang ditunjukkan ini perlu dijadikan inspirasi kepada muka-muka baharu. Persoalannya ketika kita menyambut kesediaan jaguh badminton negara ini, adakah kita sudah bersedia melahirkan jaguh-jaguh baharu? 
Ketika usia Chong Wei akan mencecah 38 tahun semasa Sukan Olimpik, adakah pelapis mampu mengisi kekosongan yang akhirnya akan berlaku juga? Hakikatnya,  belum ada pengganti yang setanding dengannya. 

Buat masa ini, berilah ruang kepadanya untuk kembali aktif di gelanggang. Berilah sokongan, jangan dikecam atau dipersalahkan jika dalam tempoh ini tiba-tiba sahaja mutu permainannya merosot. 

Awang berharap, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan berusaha menggilap jaguh-jaguh baharu. Jangan biarkan ruang juara itu dibiar kosong terlalu lama. BAM tidak harus tercari-cari pengganti apabila Chong Wei menggantung raket. Bersedialah dengan barisan pelapis yang mampu menggalas cabaran negara melalui sukan badminton.

AWANG - Belum bersara.