Beberapa lagi keputusan yang dibuat oleh kerajaan mencetuskan kontroversi. Terbaru langkah untuk melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berkuatkuasa 1 September ini. Hujah-hujah yang digunakan termasuk SST kurang membebankan rakyat, disanggah pelbagai pihak. 

Malah semakin banyak desakan termasuk Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu SST ditangguhkan kerana pelaksanaannya dilihat terburu-buru. 

Awang setuju. Kerajaan sepatutnya mencontohi kerajaan terdahulu yang mengadakan bancian,  sesi penerangan dan kempen kefahaman yang meluas kepada rakyat terlebih dahulu sebelum menguatkuasakan cukai barang dan perkhidmatan (GST). 

Rang Undang-undang Akta Cukai Jualan dan Perkhidmatan akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan yang akan menyaksikan 10 peratus cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan. 

Ketika seluruh dunia komited melaksanakan GST yang diiktiraf sistem percukaian paling efektif dan telus, Malaysia pula berundur ke belakang melaksanakan SST. 

Selain SST, pelantikan Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Ching Tong sebagai Timbalan Menteri Pertahanan mengundang kontroversi. 

Banyak pihak melihat pelantikan itu sebagai tidak menjaga sensitiviti tertentu, yang tidak perlu Awang huraikan. Juga tular isu lawatan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Sivarasa Rasiah yang mencetuskan rasa tidak senang banyak pihak walaupun Sivarasa sendiri menafikan dakwaan tertentu. 

Awang seperti komen-komen terdahulu berpendapat kerajaan mempunyai tugas berat untuk mengurus harapan rakyat berdasarkan perkembangan yang ada. Maka perlu ada faktor 'wow' untuk meningkatkan keyakinan rakyat, melaksanakan semua janji tetapi pada masa sama perlu bijaksana supaya tidak memudaratkan negara. 

Cukuplah, jangan lagi asyik mencetuskan kecelaruan, mengulangi kesilapan dan tidak menjaga sensitiviti. Rakyat mudah bosan.

Anwar - Azmin 

Sehari selepas Awang menulis Ahad lepas tentang kewajaran untuk Anwar Ibrahim bertanding Presiden PKR, beliau mengumumkan tawar diri jawatan itu. Ketika pengumuman itu dibuat, Anwar dijangka mendapat laluan mudah. Namun senario berubah dengan kemungkinan beliau akan dicabar oleh Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali. 

Setakat ini Azmin berteki-teki tetapi sokongan untuk beliau bertanding ke jawatan itu semakin meningkat. Awang hairan mengapa Azmin tidak mengisytiharkan awal-awal beliau tidak akan mencabar Anwar. Susah sangatkah?Tindak-tanduk itu boleh ditafsir sebagai tanda-tanda awal pengkhianatan Azmin kepada bosnya  sendiri. 

Padahal Anwar telah banyak berkorban untuk PKR dan mengangkat Azmin dalam kepimpinan parti. Azmin tidak seharusnya membuka sedikit pun ruang untuk menggagalkan misi Anwar menjadi Presiden PKR. Maka adalah tidak mengejutkan Azmin bertembung dengan Anwar kali ini. 

Malah ada yang meramalkan kedua-duanya mempunyai peluang yang sama untuk menang. Persoalannya mengapa Azmin tidak lagi seperti dulu dalam mendahulukan dan mengidolakan Anwar malah mahu menolaknya. Apakah memang benar beliau sudah bertukar haluan dan mempunyai bos baharu?


Realistik

Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad tidak menunggu lama dalam membuat keputusan tidak meneruskan projek kereta nasional kedua. 

Dalam kenyataannya terselit nada yang sinikal dan sedikit kecewa, beliau mengakui idea kereta nasional kedua kurang mendapat sambutan. Beliau menjelaskan kerajaan tidak bercadang mewujudkan kereta nasional kedua itu sebagai industri automatif milik kerajaan kerana pihak swasta mampu mengeluarkannya. 

“Tetapi kerana awal-awal lagi kita sudah tolak cadangan kereta nasional kedua maka kita akan halang segala cadangan untuk mengeluarkan kereta bermotor oleh swasta,” katanya. 

Apa pun Awang berpendapat langkah membatalkan idea tersebut sebagai langkah terbaik setelah  mengambil kira maklum balas rakyat. Untuk apa teruskan jika ia tidak di hati rakyat Malaysia yang kini lebih kritis dan mudah memberi pandangan menerusi media sosial. Ternyata situasi jauh berubah berbanding ketika Mahathir menggerakkan usaha kereta nasional pertama awal 1980-an. Setidak-tidaknya beliau bersikap realistik kali ini, yang ramai berasa lega. 


Lokman sandaran

Awang mendapat banyak reaksi positif terhadap keputusan Barisan Nasional (BN) mencalonkan Lokman Nor Adam bertanding Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Kandis. Lokman dilihat bintang baru pasca PRU-14, yang menyaksikan BN diterajui UMNO hilang kuasa mentadbir kerajaan pusat.

Beliau menang salah salah satu jawatan ahli Majlis Tertinggi UMNO. Lebih menarik memperkatakan tentang Lokman adalah keyakinannya bersuara dan berdemonstrasi terhadap kepincangan kerajaan Pakatan Harapan. Beliau paling ke hadapan memperjuang isu kepentingan Islam dan Melayu ketika rata-rata pemimpin UMNO memilih untuk berdiam. 

Maka  PRK Sungai Kandis bukan sahaja menjadi kayu ukur terhadap prestasi kerajaan Pakatan Harapan bahkan juga medan menilai perjuangan Lokman serta penerimaan terhadap UMNO. Awang menjangkakan sukar bagi beliau menang atas faktor majoriti besar undi pada PRU-14 (12,480 undi) dan kelebihan PKR menjadi kerajaan negeri. Namun segala-galanya berkemungkinan. 

Lebih-lebih lagi PKR menghadapi isu perpecahan menjelang pemilihan parti selain banyak kecelaruan dan isu yang tidak memihak kepada kerajaan Pakatan Harapan. Pada Awang, menang atau kalah itu perhitungan kemudian, yang penting  bertanding dan lawan. Itu baru anak jantan. 


Bersihkan nama

Laporan mengaitkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kedua, P. Ramasamy menyokong kegiatan keganasan puak militan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka, mengejutkan banyak pihak di negara ini. 

Memandangkan dakwaan itu serius, Awang setuju gesaan ramai agar beliau tampil membuktikan tidak terbabit sama sekali. Lebih-lebih lagi dalam soal hubungan baik beliau dengan V. Gopalasamy atau Vaiko dari LTTE, yang mencetuskan tanda tanya besar. 

Memandangkan beberapa laporan polis telah dibuat ke atas Ramasamy berhubung isu tersebut, eloklah siasatan dijalankan segera. Awang percaya itu juga antara cara untuk membersihkan namanya selain penjelasan yang menyeluruh serta meyakinkan.


Ananda didakwa 

Laporan mengenai hartawan Malaysia, Ananda Krishnan antara 18 terpalit pertuduhan oleh Biro Penyiasatan Pusat ( CBI ) di Mahkamah India, kelmarin menarik perhatian ramai. Berdasarkan laporan akhbar The Economic Times, ini berikutan  dua set aliran tunai yang ditemui berkaitan Lembaga Promosi Pelaburan Asing ( FIPB). 

Bekas Menteri Kewangan India, P. Chidambaram merupakan tertuduh utama dalam kes membabitkan urus niaga pelaburan Maxis-Aircel Ltd (India) sebanyak RM4.104 bilion pada 2006. Isu ini timbul pada 2011 apabila CBI mendakwa bekas Menteri Komunikasi, Dayanidhi Maran menerima wang suapan kira-kira Rs549 crore (RM366 juta) untuk mendesak penjualan Aircel kepada Maxis. 

Awang pernah menulis tentang isu tersebut tidak lama dahulu dan tidak menduga akhirnya pendakwaan itu tetap dibuat. Perkembangan terbaru ini pasti menjadikan Ananda tumpuan perhatian selepas ini. 

Setakat semalam, belum ada penjelasan daripada semua pihak yang terbabit antaranya Astro All Asia dan Bumi Armada, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Maxis menerusi pelaburan tersebut. 

Pada 3 Mac lalu, Bloomberg melaporkan Ananda bakal kerugian sebanyak AS$7 bilion (RM27.4 bilion) berikutan kegagalan perniagaan telekomunikasinya di India melalui Aircel Ltd. Sudahlah menanggung rugi besar kini menghadapi pendakwaan pula. 

Ini yang dikatakan sudah jatuh ditimpa tangga. Tetapi dalam bisnes, risiko kerugian adalah lumrah. Apa perkembangan kes melibatkan Ananda tentu dinanti dengan penuh minat. Apa kesudahannya?


Mohon undur diri

Setiap kali ada yang bertanya siapa sebenarnya penulis Awang Selamat Bisik Bisik Mingguan Malaysia, Awang sentiasa mengelak untuk menjawab. 

Sebenarnya memang sifat ruangan pojok ini tidak mendedahkan identiti penulis. Ia boleh dianggap rahsia walaupun  mungkin segelintir tahu antaranya melalui sumber dalaman. Pada Awang - yang penting adalah perihal yang ditulis, perspektifnya dan mesej yang disampaikan - bukannya siapa penulis itu.  Awang tidak percaya kepada penonjolan peribadi. 

Lagipun ia juga keunikan kolum ini walau apa pun tafsirannya. Terasa masa berlalu dengan pantas sejak Awang mengambil alih menulis ruangan tersebut pada Disember 2008.

Hari ini, Bisik-Bisik Awang Selamat adalah catatan terakhir Awang, yang  akan mula bercuti esok menjelang persaraan. Ruangan ini, insya-Allah, akan diteruskan dengan penulis lain tetapi tidak pasti sama ada sifatnya akan berubah. Tunggulah Ahad depan untuk kepastian. 

Sepanjang hampir 10 tahun menulis di sini, saban minggu, ia pengalaman bermakna dan menyeronokkan. Sedikit pun tiada rasa tekanan meskipun banyak isu yang serius dan berat. 

Maka Awang ingin mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada  para pembaca setia atas sokongan selama ini.  Terima kasih kerana sentiasa bersama akhbar ini di sebalik kesuraman industri media cetak seluruh dunia, serangan persepsi dan cabaran politik lebih-lebih lagi pasca PRU-14. Juga kepada rakan sekerja yang kental jati diri kerana sentiasa bersama Awang biarpun ketika detik-detik sukar. 

Syukur, akhbar Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia kekal komited mendokong perlembagaan dan asas kenegaraan walau apa pun perubahan yang melanda. Pada Awang, biarlah setiap  media dengan karakteristik tersendiri - bukan disama bakulkan  - kerana itu juga hak dalam demokrasi. 

Prinsip Awang selama ini mudah, hadapi semua dugaan dengan senyuman dan keyakinan. Biarpun disalah ertikan, ditohmah, difitnah, disabotaj dan dijadikan sasaran oleh sesiapa pun, kedua- dua akhbar tersebut tidak akan rebah. Insyallah. 

(Harapan Awang agar apa sahaja langkah pemulihan bisnes akhbar harus berteraskan pertumbuhan dan bukannya semata-mata kawalan kos seperti mengehadkan jumlah edaran secara ekstrem.)

Atas hakikat itu, Awang yakin rakan-rakan sekerja akan meneruskan perjuangannya di institusi keramat bernama Utusan ini. Patah tumbuh hilang berganti. Awang mohon mengundur diri. Namun percayalah obor ini akan terus menyala di hati.