DI sebalik segala tekanan dan tindakan penggeledahan yang keterlaluan ke atas kediaman bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak, beliau tetap tenang. Itulah kelebihan Najib, yang bersikap budiman dan sentiasa sabar dalam menghadapi dugaan.
Najib tidak mengheret dan menghasut rakyat dalam isu tersebut atau mengaitkannya dengan konspirasi politik.

Awang seperti juga ramai rakyat Malaysia bersimpati dengan apa yang dilalui oleh Najib apatah lagi pada bulan Ramadan. Penggeledahan oleh polis hampir 24 jam sehingga mengganggu ibadah puasa dan larangan menerima pelawat (sebelum dibenarkan),
adalah tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan demokrasi.

Suka atau tidak untuk diakui, Najib adalah bekas ketua kerajaan yang sewajarnya dilayan dengan baik walau apa pun proses siasatan. Prinsip seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah perlu dijadikan pegangan. Awang percaya beliau sudah
bersedia untuk hadapi apa sahaja kemungkinan termasuk didakwa di mahkamah. Tidak hairan apa yang dialami oleh Najib mengundang kritikan ramai rakyat Malaysia termasuk kalangan pemimpin Pakatan Harapan sendiri. Tidak kurang yang mengimbas terhadap nasib Anwar Ibrahim ketika Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kali pertama. Era Malaysia pernah dilabel negara polis tidak seharusnya berulang, juga agar tidak berlaku situasi tikus membaiki labu.

ANWAR DAN CABARAN

PEMBEBASAN Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim daripada penjara Rabu lepas disambut gembira para penyokong Pakatan Harapan sebagai satu lagi kemenangan selepas kejayaan dalam PRU-14.

Bagi PKR, perkembangan tersebut adalah motivasi utama kepada parti itu yang kini merupakan sebahagian parti memerintah. Yang sudah tentunya menjadi perhatian selepas ini adalah perjalanan politik beliau - akan sampaikah ke kemuncaknya selepas melalui pelbagai rintangan? Anwar dinamakan sebagai Perdana Menteri selepas Dr. Mahathir Mohamad (dijangka tidak melebihi dua tahun), yang kedua-duanya pernah lama bermusuhan. Persoalannya apakah beliau akan diberi laluan mudah dan lebih awal untuk menjadi Perdana Menteri selepas ini? Selain itu, sejauh mana Anwar dapat menggerakkan agenda reformasi selepas Pakatan Harapan berkuasa tetapi diterajui oleh Dr. Mahathir (bukannya beliau)? Yang pasti cabaran yang menanti Anwar selepas ini besar. Apatah lagi jalinan parti dalam Pakatan Harapan agak rapuh dan belum teruji sebagai Kerajaan Pusat.

Awang menjangkakan beliau akan memainkan peranan besar dalam Pakatan Harapan selepas ini yang pasti mengundang intrig. Malah Anwar sudah mula berkias dan menyindir tokoh tertentu - isyarat beliau akan lantang bersuara ke atas kerajaan. Anwar turut mengingatkan Kabinet supaya berkhidmat dengan bersih dan tidak bermewah, jika tidak mahu ‘diterajang’. Mesejnya tiada siapa dalam Pakatan Harapan boleh mengambil mudah Anwar. Kita tunggu.

MUSA-SHAFIE

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Musa Aman telah memfailkan saman terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri, Mohd. Shafie Apdal, Khamis lalu.

Langkah tersebut bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri yang sah mengikut peruntukan undang-undang. Awang menghormati hak Musa untuk membawa kemelut itu ke mahkamah, yang antaranya disebabkan gejala lompat parti. Namun alangkah lebih baik jika beliau dapat menerima hakikat telah kehilangan sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan. Awang berpendapat mengheret Yang di-Pertua  Negeri Sabah ke mahkamah dalam kemelut politik ini adalah kurang wajar. Demi rakyat, akur sahajalah.

Dr. M dan media

JAMINAN Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan mengamalkan kebebasan media dan keterbukaan, menarik perhatian Awang.

Itulah yang sebaik-baiknya dalam era sekarang. Lagipun kebebasan media adalah antara janji Pakatan Harapan sebelum berkuasa lagi. Apabila Dr. Mahathir menyatakan tidak setuju tindakan diambil ke atas pengkritiknya, ia memperlihatkan
komitmen beliau yang mendapat respons positif. Ini ekoran tindakan polis menahan seorang lelaki di Langkawi yang didakwa menghina Perdana Menteri. Ketika para pemimpin kerajaan baharu berazam mendokong kebebasan media, terdapat sebahagian termasuk tokoh media tertentu dalam Pakatan Harapan bertindak sebaliknya. Mereka memberi mesej yang salah dengan asyik mengeluarkan komen jelek, yang akan menjejaskan imej Pakatan Harapan.

Sepatutnya inilah masa untuk menyerlah kematangan - bukan menyemarakkan kebencian. Jangan sampai rakyat meluat sebelum waktunya.

JANGAN BULI

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes terus menjadi sasaran beberapa pihak dan penyokong Pakatan Harapan. Isunya kerana AirAsia memaparkan slogan Hebatkan Negaraku pada pesawat Airbus A330-300 yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak sehari sebelum PRU-14.

Walaupun Tony telah memberi penjelasan menyeluruh, Awang hairan ia terus dijadikan isu seolah-olah AirAsia musuh negara. Adalah perkara biasa bagi syarikat seperti AirAsia dan mana-mana tokoh korporat untuk bersama-sama menyokong aspirasi kerajaan semasa. Janganlah hanya kerana satu program, AirAsia mahu ditekan dan dibuli sedangkan sumbangannya kepada ekonomi negara adalah besar. PRU-14 sudah berlalu maka lihatlah ke
hadapan.

KECELARUAN

DALAM ruangan ini minggu lalu Awang ingatkan betapa kerajaan Pakatan Harapan diterajui Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad tidak boleh melakukan banyak kesilapan dan kecelaruan.

Namun hakikatnya itu yang berlaku sehingga menjadi bahan sinikal rakyat Malaysia. Inikah harapan untuk menyelamatkan Malaysia? Dari segi pemilihan dan pembentukan Kabinet, mengotakan janji, layanan ke atas bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan perubahan serta pelantikan ketua jabatan - dilingkari isu dan kontroversi. Pelantikan Lim Guan Eng yang sedang berdepan kes rasuah di mahkamah, Dr. Mahathir menjadi Menteri Pelajaran (sebelum melantik orang lain) dan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi (dua peranan), tidak sepatutnya berlaku.

Begitu juga pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang perlu dirujuk ke Parlimen terlebih dahulu. Itu belum menyentuh tindakan ke atas beberapa yang lain termasuk Peguam Negara, Apandi Ali dan membatalkan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung status Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dilihat gagal mengikut peraturan. Tindakan-tindakan itu diambil belum pun Kabinet mengangkat sumpah - lambat disempurnakan.

Awang setuju dengan pendirian Pas yang melihat kerajaan Pakatan Harapan tergopoh-gapah termasuk dalam membuat siasatan ke atas Najib. Pentadbiran Dr. Mahathir seharusnya berusaha untuk menyatukan rakyat selepas PRU-14 dan bukannya kelihatan dipandu rasa dendam yang membawa mudarat. Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man meminta kerajaan berlaku adil dan bukan hanya menumpukan siasatan ke atas Najib. Ketika era pemerintahan Dr. Mahathir selama 22 tahun juga katanya, banyak kes perlu disiasat kerana kerugian berbilion ringgit. 

Tidak kurang menarik perhatian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diteruskan walaupun sebelum ini ditohmah sebagai dedak kepada rakyat. Pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi menggantikan GST sifar (belum dimansuhkan) dikhuatiri mengakibatkan gejala ketirisan berulang kerana ia sistem percukaian kurang efisien selain berundur ke belakang. Awang juga hairan apabila kerajaan Pakatan Harapan berkuasa tidak sampai seminggu, ekonomi Malaysia tiba-tiba dikatakan
stabil. Segala tohmahan Malaysia akan bankrap kerana kononnya kerajaan BN tidak pandai mengurus ekonomi, ternyata tidak benar.

Bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Dr. Zeti Akhtar Aziz yang kini anggota Majlis Penasihat Kerajaan mengakui ekonomi negara berada dalam keadaan baik dan rizab bank pusat berada pada tahap tertinggi iaitu RM438 bilion. Maknanya, prestasi ekonomi
negara di bawah pentadbiran Najib adalah meyakinkan. Jadi siapa yang berbohong? Janji-janji harga minyak dan tol akan diturunkan serta-merta sebaik Pakatan memerintah, juga tidak berlaku dan perlu menunggu lagi atas pelbagai alasan. Hakikatnya Pakatan
Harapan tidak mempunyai mekanisme baharu bagi melaksanakannya segera, sekadar lebih kepada janji manifesto untuk memikat pengundi. Dengan masih diwarnai kemenangan PRU-14, sepatutnya momentum imej kerajaan Pakatan Harapan terus positif tetapi sebaliknya banyak reaksi negatif diterima. Banyak lagi isu menyebabkan Awang geleng kepala sambil tertanya-tanya berapa banyak lagi kesilapan dan kecelaruan selepas ini?