Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Suriani Ahmad berkata, menjaga kebajikan kanak-kanak adalah merupakan tanggungjawab bersama dan  merupakan agenda bagi melihat Malaysia pada masa hadapan diterajui oleh generasi berbakat yang cemerlang dan memiliki pegangan agama yang utuh.

"Sekiranya bakat dan kebolehan anak-anak ini dapat dipertingkatkan adalah tidak mustahil mereka mampu bersaing dengan kanak-kanak yang berada di luar instistusi.

"Peluang yang telah diberikan untuk menyertai pelbagai acara yang dipertandingkan dalam program ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak sekalian," kata Suriani.

Program Khalifah Junior berlangsung di Dewan Dato' Muhammad Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi hari ini.

Program tersebut menghimpunakan bberapa acara pertandingan antaranya hafazan, azan, bercerita kisah nabi, pidato dan kuiz minda ulul albab.  

Seramai 200 peserta menyertai keseluruhan acara dipertandingkan terdiri daripada 138 orang kanak-kanak dari Institut Latihan Islam Malaysia dan 62 orang kanak-kanak dari Pusat Aktiviti Kanak-Kanak dan Majlis Perwakilan Kanak-kanak.

Suriani berharap semoga dengan adanya program Khalifah Junior dapat melahirkan anak-anak yang memiliki keperibadian unggul, anak-anak yang memiliki kebijaksanaan memeritah dan memiliki kelembutan dan kasih sayang dalam mentadbir.

Sementara itu Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Mohd. Fazari Mohd. Salleh berkata, Khalifah Junior dapat melahirkan tokoh kanak-kanak yang boleh dijadikan contoh dalam kalangan mereka.

"Setiap peserta tidak berasa gementar atau rendah diri malah mereka sangat bersungguh untuk berjuang atas nama institusi dan negeri yang diwakili," katanya. - UTUSAN ONLINE