Eksekutif Selangor Prihatin, Muhammad Zulfadlil Azhim Ayub berkata, projek agroekonomi kerjasama antara Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) itu menunjukkan kadar pengeluaran menggalakkan dari semasa ke semasa sejak diusahakan pada Jun 2016.

“Dengan keluasan tanah seluas 11.2 hektar mampu mengeluarkan kira-kira 24,000 kilogram (kg) cili Kulai pada 2016 dan meningkat kepada kira-kira 33,000 kg pada tahun lalu.

“Malah, pengeluaran hasil cili Kulai sehingga 15 Ogos tahun ini mencatat sebanyak 33,852 kg iaitu melepasi pengeluaran pada tahun lalu,” katanya kepada media pada program Lawatan Rasmi Media dan Pihak Berkepentingan (Stakeholder) ke Projek Penempatan Berkelompok dan Agro Ekonomi di Desa Alam Shah, Pasir Puteh, Kelantan itu baru-baru ini.

Muhammad Zulfadlil berkata, hasil pendapatan keseluruhan peserta menunjukkan peningkatan dari RM86,000 pada 2016 kepada RM132,000 tahun lalu.

Tambahnya, seramai 28 peserta yang mengikuti projek tanaman itu memperoleh hasil pendapatan berbeza, namun sebanyak RM1,200 sahaja diserahkan kepada peserta terbabit.

“Bakinya kita pecahkan kepada simpanan tetap sebanyak 70 peratus yang akan diserahkan kepada peserta selepas lima tahun dan modal pusingan sebanyak 30 peratus pada musim berikutnya,” katanya.

Dihentikan sementara

Mengulas lanjut beliau berkata, tanaman cili Kulai dihentikan sementara bermula Oktober sehingga Februari depan berikutan kelaziman musim tengkujuh melanda Pantai Timur.

“Pada perubahan monsun, peserta akan menanam tanaman selingan seperti timun batang, labu manis dan jagung dengan meraih pendapatan berkelompok kira-kira RM26,000 pada tahun lalu,” katanya.

Selain itu, Muhammad Zulfadlil berkata, sebanyak RM10 juta dana pembangunan termasuk projek rumah kediaman dibina di kawasan itu.

Kawasan penempatan itu jelasnya, dilengkapi dengan kemudahan asas seperti surau, dewan serba guna, pusat sumber, kedai runcit, jalan berturap dan padang permainan bagi memberi keselesaan kepada peserta terlibat.

Talian hayat asnaf

Sementara itu, seorang asnaf yang juga peserta projek Desa Alam Shah, Zamri Abdullah, 52, berkata, program itu membuka peluang kepadanya dan keluarga keluar daripada belenggu kemiskinan.

Dia yang sebelum ini melakukan pelbagai pekerjaan tidak tetap memperoleh pendapatan bawah RM1,000 sebulan.

“Selepas menyertai projek Desa Alam Shah dan menanam cili, saya kini mempunyai pendapatan tetap untuk menanggung perbelanjaan persekolahan anak.

“Alhamdulillah, seorang anak saya berjaya menjadi juruteknik di Sepang, Selangor hasil pendapatan ini. Saya amat berterima kasih kepada pihak LZS dan MAIK kerana memberi peluang kepada saya,” katanya.

Manakala bagi, Tuan Hussein Tuan Mahmud, 55, selain memperoleh pendapatan dalam bidang pertanian, beliau gembira kerana dapat melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan melibatkan penduduk dan pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Kolej Komuniti.

“Kami berterima kasih kepada LZS dan MAIK kerana bukan sahaja menyediakan program meningkatkan ekonomi malah melibatkan kami dengan aktiviti kemasyarakatan bersama pelajar.

“Cuma setelah genap lima tahun, saya berharap diberi peluang untuk mengembangkan segala ilmu yang diterima di sini dengan mengusahakan ladang cili secara sendiri di mana-mana lokasi,”

Sementara itu, seorang peserta muda, Nor Sam Azlan, 32, berkata, beliau tidak menghadapi masalah untuk bercampur bersama peserta lebih tua kerana tumpuannya adalah untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

“Saya berharap pengalaman selama lima tahun di sini boleh dijadikan modal untuk saya mengusahakan tanaman cili dan tanaman-tanaman lain di luar.

“Segala jasa pihak LZS dan MAIK tidak akan saya lupakan,” katanya.