Mohd. Kazim Elias

Mohd. Kazim berkata, beliau menyerahkan unit tahfiz itu yang sebelum ini diuruskannya selama 10 tahun kepada Pusat Pengajian Al-Ulya tanpa sebarang campur tangan, caj atau kontrak.

“Dengan penyerahan ini, Pusat Pengajian Al-Ulya boleh menggunakan semua bangunan, kemudahan dan peralatan yang terdapat di unit tahfiz ini tanpa sebarang bayaran bagi tempoh tiga tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Unit Tahfiz Al-Quran Pusat Pendidikan Al Barakah kepada Pusat Pengajian Al-Ulya di sini hari ini.

Sebelum ini, Ustaz Kazim dilaporkan terpaksa menjual unit tahfiz berkenaan kerana tidak mampu menampung kos operasi keseluruhan pusat itu yang mencecah RM150,000 sebulan.

Ustaz Kazim berharap pe­ngurusan baharu Unit Tahfiz al-Quran itu dapat meneruskan kecemerlangan para pelajarnya yang pernah memenangi pertandingan menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan dan menjadi peserta di pe­ringkat antarabangsa dalam pertandi­ngan sama.

“Saya akan menumpukan sepenuhnya kepada Pusat Pe­ngajian Pondok seperti mana penubuhan asal Pusat Pendidikan Al Barakah pada 2006,” katanya.

Sementara itu Pengetua Pusat Pengajian Al-Ulya, Mohd. Azhar Abdul Latif berkata, pe­ngurusan baharu akan meneruskan legasi kecemerlangan yang telah dicapai unit tahfiz itu selama ini.

Katanya, pihaknya juga akan melakukan beberapa pembaharuan bagi mengurangkan kos pengurusan.

“Antaranya menghentikan se­­­mentara kelas pengajian bahasa Mandarin serta Tamil dan memanggil ibu bapa pelajar pada Oktober ini bagi menerangkan situasi semasa unit tahfiz ini,” katanya.