Keadaan itu menjadikan pesakit tidak mempunyai pilihan kerana kegagalan berbuat demikian akan mengundang maut. Mereka perlu menjalani rawatan tersebut sekurang-kurangnya tiga kali dalam seminggu walaupun kosnya mahal.

Ternyata dengan ketiadaan pilihan dan ditambah pula dengan rawatan itu di hospital awam bersifat sementara sahaja, maka tidak hairanlah ada yang beranggapan bahawa pusat dialisis sebagai ‘lubuk emas’.

Namun kewujudan Persatuan Dialisis Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz (PDMJSAA) di Jalan Templer, Petaling Jaya, Selangor memberi sedikit kelegaan khususnya kepada kalangan berpendapatan sederhana dan rendah.

“Apa saya difahamkan caj pusat dialisis swasta antara RM200 hingga RM300 sekali rawatan dan ia tidak termasuk ubatan atau lain-lain rawatan sampingan. Bayangkan berapa yang perlu dibayar untuk tempoh sebulan.

“Samalah dengan PDMJSAA. Kami juga kenakan caj RM170 untuk sekali rawatan tetapi bukan bermakna kami akan menolak mana-mana pesakit yang tidak mampu atau hanya berupaya bayar separuh sahaja.

“Kami tolak hanya bila bilik rawatan sudah penuh dan juga pesakit ada penyakit Hepatitis C,” kata Yang Dipertua PDMJSAA, Zaidah Haron.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat PDMJSAA yang terletak dalam premis Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Selangor baru-baru ini. Yang turut hadir Ketua Biro Ekonomi PDMJSAA, Othman Jaffar.

PDMJSAA mula beroperasi pada 1 Mei 2010 dan sehingga kini pusat dialisis yang mempunyai lesen Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu memiliki lapan buah mesin dialisis, seorang pakar Nefrologi dan lima jururawat terlatih.

Pusat yang berupaya merawat 12 pesakit dalam satu-satu masa itu beroperasi setiap hari kecuali Ahad dan waktu operasi bermula dari pukul 5.30 pagi hingga 5 petang.

BUKAN CARI UNTUNG

Zaidah memberitahu, prinsip PDMJSAA tidak menolak pesakit itu bukan hanya sejajar dengan usaha untuk mengimarahkan peranan masjid di dalam masyarakat umum.

Bahkan, beliau menambah, ia bagi membolehkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah memperoleh perkhidmatan dialisis berkualiti dan diiktiraf sepenuhnya oleh kerajaan.

Beliau juga menegaskan pegangan tersebut kerana kewujudan pusat dialisis itu bukan berasaskan keuntungan tetapi kebajikan, sebagaimana yang diputuskan semasa awal penubuhannya dahulu.

“Apa yang kami lakukan adalah membantu pesakit berkenaan memperoleh penaja sama ada dengan Jabatan Perkhidmatan Awam, Pertubuhan Keselamatan Sosial, Lembaga Zakat Selangor, agensi kerajaan negeri atau individu tertentu.

“Tetapi, sesi rawatan untuk pesakit berkenaan tidak akan tertangguh. Mereka boleh teruskan kerana kami sedar bahawa rawatan dialisis bukan sesuatu yang boleh ditangguhkan sebab ia melibatkan nyawa,” katanya.

Ternyata dengan prinsip itulah, PDMJSAA kini bukan hanya menjadi tumpuan umat Islam pelbagai kaum tetapi juga bukan Muslim dari seluruh negara.

Namun, beliau mengakui usaha memperoleh dana penaja bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia perlu melalui proses kelulusan pentadbiran yang memakan masa agak lama.

“Ramai juga yang bertanya kenapa PDMJSAA perlu bersusah payah mencari dana, sedangkan pusat dialisis swasta lain tidak pernah berbuat demikian, tetapi itulah keunikan kami,” katanya.

CARI DANA

Kepayahan sedemikian turut diakui oleh Othman dengan menambah, umum mengetahui bahawa kos operasi pusat dialisis sedemikian bukanlah sesuatu yang murah.

Apa tidaknya, beliau memberitahu bahawa PDMJSAA memerlukan kira-kira RM60,000 sebulan bagi memastikan operasi pusat dialisis itu berjalan lancar.

“Malah, caj yang kami kenakan itu bukan hanya tidak berubah sejak pusat dialisis ini diwujudkan, bahkan ia merangkumi ubat dan rawatan lain.

“Dalam masa sama, walaupun jumlah pesakit kian bertambah tetapi majoritinya masih tidak mampu membayar penuh caj yang dikenakan atas pelbagai sebab,”katanya.

Namun, kekangan sedemikian tidak mematahkan semangat Othman dan pasukannya dalam Biro Ekonomi untuk berusaha mengumpulkan dana sumbangan sama ada dari individu atau syarikat korporat.

Beliau bersama rakan dalam persatuan itu melakukan pelbagai kempen bagi memantapkan kewangan persatuan, antaranya, edar risalah kepada keluarga pesakit dan rakan-rakan, majlis makan malam dan bertemu dengan syarikat korporat.

Kegigihan mereka sejak lapan tahun lalu telah membuahkan hasil dan antaranya adalah sumbangan wang tunai sebanyak RM70,000, dua buah mesin dialisis dan sebuah van daripada adinda Sultan Selangor, Tengku Puteri Arafiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Manakala terbaru adalah menerima sumbangan wang tunai lebih RM150,000 daripada Gabungan Pengusaha-pengusaha Stesen Minyak Petron baru-baru ini.

“Walaupun kedudukan kewangan PDMJSAA kini agak mantap tetapi usaha mengumpulkan dana masih perlu diteruskan kerana kami mahu kualiti pusat dialisis tidak terjejas.

“Bagi sesiapa yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh lakukan melalui akaun Maybank:564182252916 atau mahu keterangan lanjut boleh hubungi kami di talian 016 3028123 atau laman web rasmi - www.dialisismasjid.org,” katanya.