Sutera China adalah tekstil mewah berkualiti tinggi. Ia mempunyai pelbagai nama panggilan dalam wilayah Islam, antaranya, harir dalam bahasa Arab, ipek atau yipek dalam bahasa Turki Uthmaniyah dan sutera di Alam Melayu.

Pada zaman awal Islam, ahli geografi Islam menggambarkan Empayar China sebagai sebuah kerajaan yang sangat jauh, misteri dan memerlukan keberanian tinggi untuk sampai ke tanah ini.

Umum mengetahui bahawa bapa saudara Nabi Muhammad SAW, bernama Saad bin Abi Waqas telah sampai ke Canton (Guangzhou) sebagai wakil awal masyarakat Islam di China.

Namun begitu, terdapat satu legenda yang direkodkan oleh seorang penulis Barat bernama de Thiersant tentang Maharaja T’ai-tsung pada abad ketujuh Masihi. Menurut beliau, baginda mendapat satu mimpi yang menjadi penyebab kepada pertukaran utusan Islam dengan utusan China seramai 300 orang yang tiba di China melalui jalan darat tetapi beliau tidak menyatakan apakah mimpi yang dialami maharaja tersebut.

Sutera juga telah menjadikan beberapa wilayah Kerajaan Islam sebagai tumpuan dan idaman kuasa besar lain kerana terletak dalam satu jalan perdagangan yang sibuk dan kaya tidak kira di darat mahupun di laut.

Antara kerajaan Islam yang berada dalam laluan sutera di darat ialah Dinasti Timurid, Dinasti Mughal, Dinasti Safavid dan Dinasti Uthmaniyah yang terletak di kawasan atau berhampiran laluan berkenaan. Begitu juga dengan Aceh, Pasai dan Melaka yang turut berada dalam laluan sutera maritim.

PEMBURU SUTERA

Kebanyakan masyarakat Islam yang sampai ke China adalah pedagang yang memburu kain sutera berkualiti tinggi kerana permintaan dan harga yang tinggi bagi kegunaan golongan istana di seluruh wilayah Islam serta bukan Islam. Selain daripada pedagang, terdapat juga ahli geografi atau penjelajah yang sampai ke China, mereka merekodkan semua yang mereka lihat dan alami di sana seperti Ibn Rusta dan al-Masudi.

Rekod penjelajah Islam banyak menceritakan tentang bandar-bandar yang mereka singgah dan keadaan rakyat di sesebuah tempat terutama sebuah kerajaan yang dikenali sebagai Sila dan mempunyai hasil emas yang banyak. Sumber bertulis daripada penulis Islam juga menyatakan tempat yang berbeza jika mereka sampai melalui jalan maritim, iaitu memfokuskan bahagian selatan China dan jika mereka sampai menggunakan jalan darat, fokus catatan adalah mengenai kawasan di utara China.

Perdagangan sutera melibatkan benang yang belum ditenun dan tekstil siap ditenun sama ada belum atau telah diwarnakan. Perdagangan ini sangat menguntungkan para pedagang tekstil namun ia juga mempunyai cabaran tersendiri.

Perdagangan sutera juga boleh menjadi penyebab kepada persaingan antara pemerintah dinasti Islam. Sebagai contoh, tenunan kain sutera yang dihasilkan dalam Dinasti Uthmaniyah menjadi saingan utama dengan tekstil sutera yang dihasilkan di Parsi dalam abad ke-17 dan 18 Masihi.

Perdagangan sutera juga menjadi penyebab kepada persaingan antara pemerintah dinasti Islam.

SUTERA

Sinonim dengan negara China sama ada dalam bidang seni atau sejarah

Mempunyai 
pelbagai nama panggilan dalam wilayah Islam, antaranya, harir (bahasa Arab), ipek atau yipek (bahasa Turki) dan sutera (Nusantara).

Menjadikan beberapa wilayah kerajaan Islam sebagai tumpuan dan idaman kuasa besar lain kerana ia terletak dalam laluan sutera seperti Dinasti Timurid, Dinasti Mughal, Dinasti Safavid dan Dinasti Uthmaniyah.

Sutera mendapat permintaan tinggi bagi kegunaan golongan bangsawan di seluruh wilayah Islam dan bukan Islam.

Mempunyai pelbagai nama panggilan dalam wilayah Islam, antaranya, harir (bahasa Arab), ipek atau yipek (bahasa Turki) dan sutera (Nusantara).