Hampir tiga juta umat Islam bersesak-sesak mengerjakan haji dan beratus-ratus ribu jemaah menunaikan umrah setiap tahun.

Dalam sehari berpuluh-puluh ribu jemaah haji menggunakan tandas yang sama sudah pasti ia melibatkan soal kebersihan tandas selain menyukarkan jemaah lelaki yang terdiri daripada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang terpaksa beratur panjang dan menunggu terlalu lama untuk membuang air kecil.

Ini merupakan sebahagian daripada kesukaran kepada jemaah lelaki.

Dalam menangani masalah itu, beberapa penyelidik tempatan berjaya membangunkan produk yang dinamakan Suci-Urinal System (Suci-Uris) yang direka untuk membolehkan mereka membuang air kecil dengan mudah dan selesa tanpa perlu ke tandas.

Penyelidikan yang diketuai Prof. Madya Dr. Hambali Arep @Ariff dari Fakulti Kejuruteraan (Pembuatan), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem) di Melaka yang telah memulakan penyelidikan itu pada Jun 2015.

Penyelidikan produk yang dinamakan Suci-Uris itu dijalankan secara usaha sama antara Utem dan Spektrum Teknik. Sdn. Bhd.

Kajian pembangunan produk ini juga melibatkan beberapa penyelidik antaranya, Ab. Rahman Mahmod, Dr. Mohd. Shukor Salleh dan dibantu oleh Pengarah Urusan Spektrum Teknik. Sdn. Bhd., Azizan Ismail.

Hambali yang ditemui berkata, antara manfaat daripada produk teknologi Suci-Uris tersebut ialah ia mampu menyelesaikan masalah jemaah lelaki untuk membuang air kecil dengan selesa tanpa perlu ke tandas.

“Produk ini telah menjalani ujian bagi memastikan ia bersifat mesra pengguna serta patuh syariah. Alhamdulillah penggunaan produk ini telah mendapat status patuh syariah daripada Mufti Wilayah Persekutuan dan Mufti Kerajaan Negeri Melaka.

“Ia juga telah melalui beberapa siri ujian Sirim serta Lembaga Tabung Haji tanpa apa-apa halangan malah menggalakkan produk ini digunakan oleh jemaah haji lelaki,” katanya.

Menurut beliau, selain digunakan jemaah haji dan umrah ia juga sesuai digunakan untuk pengguna jalan raya yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, pengguna yang tidak mampu untuk bergerak ke bilik air.

Produk ini juga sesuai untuk pengguna ketika melancong ke negara yang tidak menyediakan kemudahan air untuk bersuci selepas membuang air kecil.

Oleh itu, kata beliau, dengan adanya produk tersebut, ia dapat memberi keselesaan kepada pengguna lelaki yang terdiri jemaah haji, warga emas, OKU, pesakit yang sukar untuk bergerak ke tandas.

Alat bantuan berhadas kecil

Istimewanya, produk Suci-Uris ini ialah mesra pengguna, set mudah alih, pematuhi syariah, mudah dibasuh, tahan lama dan selamat digunakan.

Ia juga mempunyai ciri khas yang mana urin atau air kencing tidak akan bertakung di dalam bekas sebaliknya ia akan terus mengalir dan terkumpul dalam beg urin yang disediakan. Produk ini juga direka bagi mengelakkan urin daripada terpercik dan terkena pada tubuh dan pakaian pengguna.

Produk ini direka bentuk supaya semburan air menghala tepat kepada kepala zakar atau khasyafah untuk beristinjak bagi memastikan kebersihan terjamin selepas membuang air kecil.

Menurut Dr. Hambali, produk berkenaan boleh dianggap sebagai alat bantuan berhadas kecil bagi lelaki kerana dapat menyelesaikan masalah dalam menunaikan ibadat.

“Produk ini telah dipatenkan oleh Utem dan ia dibangunkan serta mampu meningkatkan kualiti dan keselesaan para jemaah ketika menjalankan ibadat haji dan umrah.

Ia menggunakan produk bahan plastik acrylonitrile butadiene styrene (ABS) dan silicone rubber yang berkualiti tinggi.

Setiap beg simpanan Suci-Uris mengandungi bekas utama, sistem pemyembur air, beg urin, tuib penyambung, penutup bekas dan pemegang khasyafah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Spektrum Teknik. Sdn. Bhd., Azizan Ismail berkata, syarikatnya menyasarkan perjualan sebanyak 20,000 unit set Suci-Uris pada setiap bulan.

“Pasaran produk ini melibatkan tempatan dan negara ASEAN. Dan kami menjangkakan ia terus mendapatkan permintaan yang tinggi terutama di Indonesia dan Brunei.

“Program pemasaran telah rancak dilakukan dan berharap produk ini juga mendapat permintaan yang tinggi daripada rakyat Malaysia,” katanya.