Di Malaysia, dari segi jantina, pembuat polisi harus mengambil kira sekitar 12 dan 13 peratus tangkapan turut melibatkan wanita. Dari segi tahap usia, 80 peratus tangkapan melibatkan mereka berusia antara 18 dan 40 tahun, iaitu golongan belia dengan 19 pelajar pusat pengajian tinggi awam dan swasta yang ditangkap (sekitar 6 peratus daripada keseluruhan).

Dari segi pekerjaan, penyokong Daesh terdiri daripada pegawai kerajaan berstatus Datuk, pensyarah universiti, guru kaunseling dan pegawai imigresen. Dalam sektor swasta, terdapat pegawai kanan, pegawai bank dan pegawai kredit yang ditahan selain ahli perniagaan, kontraktor, pengurus bengkel dan mereka yang bekerja sendiri. Malahan terdapat imam dan penceramah bebas yang ditahan.

Selain itu, sebahagian besar penyokong Daesh datangnya daripada golongan pekerja biasa seperti juruteknik, kerani, pekerja kilang, pengumpul barang antik, penjual jam, jurujual, peniaga barang perkakasan, peniaga pasar malam, pembantu kimpal, penjual daging, penjual burger, pemandu lori, petani selain penganggur, suri rumah dan pesara.

Dalam pada itu, mereka yang mempunyai latihan menggunakan senjata api dan memiliki latar belakang bermasalah seperti bekas penagih dadah, mat rempit dan daripada keluarga bermasalah juga berpotensi.

Agak membimbangkan juga apabila juruteknik kapal terbang dan mereka yang bekerja dengan syarikat penerbangan turut ditahan.

Dari sudut geografinya, tangkapan penyokong Daesh melibatkan semua negeri di Malaysia dan menunjukkan kewujudan media sosial membolehkan ideologi ini tersebar pantas merentasi jarak.

Kedapatan sekitar 12 dan 13 peratus tangkapan Daesh di Malaysia melibatkan warga asing. Ini agak membimbangkan memandangkan warga asing membentuk sekitar 10.3 peratus daripada penduduk Malaysia, dan jika diambil kira golongan bekerja sahaja, maka nisbah warga asing menyokong Daesh di Malaysia lebih besar berbanding warga tempatan.

Dari segi pemahaman agama, kejahilan dalam ilmu agama boleh menyebabkan seseorang mudah dipengaruhi ideologi Salafi Jihadi dan menyokong Daesh. Agak mendukacitakan apabila terdapat kes mualaf terlibat dengan Daesh di Malaysia seperti mana berlaku di Amerika Syarikat, Eropah dan Australia.

Faktor seterusnya dan terpenting adalah mereka mempunyai ikatan ideologi sama iaitu fahaman Salafi Wahabi yang merupakan ideologi teras Salafi Jihadi.

Kajian tentang Daesh dan bukti tangkapan di Malaysia jelas menunjukkan buku-buku dan bahan rujukan yang dirampas serta kefahaman agama tahanan adalah bersumber kepada fahaman Salafi Wahabi.

Ini selari dengan maksud Richard Dearlove, bekas ketua MI-6 British (Perkhidmatan Perisikan Rahsia) yang menyatakan golongan Salafi Wahabi di negara tertentu amat tertarik dengan mana-mana tindakan militan untuk melawan golongan Syiah (seperti digembar-gemburkan Daesh di Syria dan Iraq). Tinjauan umum di media sosial menunjukkan unsur radikal, doktrin takfiri dan seruan jihad yang salah dalam kalangan generasi muda di Malaysia semakin membimbangkan.

CADANGAN TUNTAS

Berdasarkan faktor vulnerabilities yang dibincangkan, selain tindakan semasa, beberapa strategi dan dasar baru boleh dilakukan seperti:

  • Perang melawan Daesh adalah perang ideologi. Tanpa dasar baharu yang lebih baik, dibimbangkan tindakan semasa kerajaan hanya berupaya mengawal aktiviti keganasan tetapi tidak mampu membanteras punca dan ideologi kumpulan pengganas sehingga ke akar umbi.
  • Memandangkan perang ini melibatkan pelbagai kementerian dan agensi, satu dasar untuk membanteras fahaman pelampau agama pada peringkat Persekutuan perlu digubal dengan objektif utamanya membendung dan membanteras fahaman pelampau agama (turut melibatkan agama lain).
  • Pada peringkat negeri, Majlis Agama Islam Negeri boleh mewujudkan jawatankuasa khas menangani fahaman pelampau agama, merangka dan menguatkuasakan dasar berkaitan pencegahan serta penguatkuasaan larangan penyebaran fahaman pelampau.
  • Pelbagai agensi agama pada peringkat Persekutuan dan negeri perlu berganding bahu dengan jawatankuasa kariah masjid dan organisasi setempat dalam menyebarkan dan menguatkuasakan Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
  • Penyelarasan, pemantauan dan tindakan bersepadu terhadap Internet serta media sosial memandangkan ia merupakan modus operandi kumpulan pengganas.
  • Peluang dan keadilan dalam agihan ekonomi diperluas kepada golongan sasar khususnya B40. Faktor terpinggir, kurang peluang memperbaiki diri dan kesusahan hidup adalah antara faktor membolehkan golongan ini terjebak dalam aktiviti pengganas.
  • Kementerian Belia dan Sukan disarankan bekerjasama dengan kementerian lain untuk merangka dasar lebih tuntas untuk menangani keganasan dalam kalangan orang muda yang tercicir khususnya dalam memberikan kefahaman agama yang betul serta menambah baik kedudukan sosioekonomi mereka.
  • Naib Canselor atau presiden pusat pengajian tinggi bertanggungjawab memantau dan menyekat penyebaran fahaman pelampau dalam institusi mereka sementara ketua pegawai eksekutif syarikat bertanggungjawab memantau kecenderungan pekerja terhadap fahaman pelampau.
  • Industri strategik negara seperti penerbangan dan keselamatan memerlukan pemantauan serta tapisan keselamatan lebih ketat dalam kalangan pekerja atau bakal pekerja.
  • Kerajaan disarankan merangka dasar yang lebih baik untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam jangka panjang dan secara berperingkat-peringkat.
  • Hak golongan bukan Islam seperti premis judi dan kelab malam perlu dikawal bilangan dan operasinya kerana ia menjadi hujah kepada penyokong Daesh yang mendakwa pemerintah adalah ‘taghut’, bersekongkol dengan maksiat dan perlu ditentang. Kerajaan ‘perlu menjalankan dan dilihat mempraktikkan Islam yang sebenar’.
  • Dengan keamanan di Syria-Iraq masih belum jelas, kerajaan disarankan tidak sekadar bertindak dengan strategi dan tindakan berbentuk ad-hoc. Peperangan ini berbeza dengan peperangan menentang komunis kerana selain satu peperangan menentang kumpulan militan, ia juga bersifat merentasi sempadan, suatu peperangan digital dan peperangan membanteras fahaman pelampau agama.