Tidak kiralah individu atau produk. Semuanya perlu melalui proses tersebut supaya tidak kehilangan perhatian daripada khalayak. Samalah dengan kurikulum pendidikan Islam yang kualitinya pada setiap masa perlu berada pada tahap tertinggi, sekali gus melahirkan ramai modal insan Muslim berkualiti pada masa depan.

Cadangan Guru Cemerlang Pendidikan Islam, Abdullah Din pada Bengkel Pendidikan Islam Nasional 2017 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Majlis Amal Islami (MAIM) Yadim di Kuala Lumpur, baru-baru ini mungkin sesuatu yang perlu difikirkan.

Beliau membentangkan kertas kerja ‘Beberapa Cadangan Ke Arah Penambahbaikan Subjek Pendidikan Islam Di Sekolah-Sekolah Menengah Kementerian Pelajaran Malaysia.’

MASIH PADA TAKUK LAMA

Jelas Abdullah, jika disusuri secara mendalam terhadap kandungan kurikulum subjek Pendidikan Islam, masih terdapat banyak ruang yang belum diisi sebaik mungkin.

“Sebagai contoh, ilmu Fikah. Kebanyakan sarjana Islam membahagikan ilmu itu kepada empat bahagian iaitu ibadat, Muamalat, Munakahat dan Jinayat (jenayah).

“Tetapi pelajar Islam hanya mempelajari tiga bahagian sahaja ketika berada dalam tingkatan satu hingga lima. Barangkali ada yang akan mengatakan bahagian Jinayat dimasukkan dalam sukatan tingkatan enam.

“Soalnya berapa kerat pelajar Islam menyambung pelajaran di tingkatan enam? Sepatutnya keempat-empat bahagian itu perlu dimasukkan ke dalam kerangka asas subjek tersebut,” katanya.

Seperkara lagi mengenai tajuk-tajuk bahagian ibadat (asas bersuci hingga tajuk haji), kata Abdullah, ia dipelajari terlalu lama iaitu dari sekolah rendah hinggalah ke tingkatan empat, iaitu kira-kira 10 tahun.

“Namun bahagian Muamalat atau kewangan Islam hanya dipelajari semasa dalam tingkatan empat dan itu pun hanya menyentuh beberapa tajuk yang sangat terbatas dan kurang menepati kehidupan seharian pelajar Islam.

“Tajuk-tajuk Muamalat yang diajar di tingkatan empat ialah jual beli dan sewa, gadaian dan syarikat, hutang, insurans dan saham serta riba.

“Sedangkan banyak lagi tajuk lain yang penting berkaitan sistem kewangan Islam yang sangat diperlukan dalam kehidupan seseorang Muslim, antaranya tentang jual beli yang dipakai dalam perbankan Islam, Wadiah, kad kredit, saham amanah dan jual hutang,” katanya.

Dalil naqli berkaitan kehidupan diabai

Ia berlaku dalam bahagian ayat kefahaman dan hadis. Sepatutnya, pemilihan ayat-ayat kefahaman perlu dilakukan semula berdasarkan keperluan semasa.

Contohnya, tajuk berkaitan Nabi Isa a.s. perlu dimasukkan ke dalam sukatan kerana ia menyangkut permasalahan Kristianisasi dan ayat tentang mengutamakan generasi sahabat sebab ia menyentuh gejala syiah yang mencerca dan memaki sahabat semakin menular di negara kita.

“Jumlah hadis perlu diperbanyak agar nampak keperluan Sunah SAW dalam kehidupan. Tahukah kita berapa jumlah hadis yang dipelajari sepanjang lima tahun di sekolah menengah? Pelajar hanya mempelajari 10 hadis sahaja sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Abdullah dalam kertas kerjanya juga mencadangkan agar sebuah buku sirah Nabawiyyah dijadikan sebagai bahan bacaan wajib kepada pelajar Islam seperti mana dalam subjek Sastera, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Biarlah sebelum menamatkan pelajaran di sekolah menengah sekurang-kurangnya setiap pelajar Islam telah menghabiskan bacaan tentang sirah kehidupan Nabi SAW bermula dari kelahirannya hinggalah kewafatan baginda.

“Amatlah malang sekiranya seorang Muslim tidak pernah membaca dan mengetahui sirah kehidupan nabi yang wajib dicintainya,” katanya.

Samalah dengan aspek peruntukan masa untuk subjek Pendidikan Islam di peringkat menengah rendah tidak seharusnya dikurangkan memandangkan gejala yang mengancam akidah dan pemikiran generasi Islam semakin menjadi-jadi.

“Soalan saya, patutkah masa subjek Pendidikan Islam yang dianggap sangat penting dalam kehidupan seseorang Islam dikurangkan?” katanya.