Untuk berwuduk, kita sudah pasti memerlukan sejumlah air yang mencukupi. Ini supaya basuhan tersebut akan meliputi seluruh kawasan anggota badan yang perlu dibasahkan.

Bagi golongan normal, ia bukan satu masalah besar. Tetapi tidak bagi mereka dalam kategori golongan kurang upaya (OKU), warga emas atau ibu hamil. Pergerakan mereka amat terbatas dan ada ketika tertentu boleh mendatangkan kecederaan pada mereka.

Mungkin inovasi syarikat Bumiputera, Meas-Tech Solutions Sdn. Bhd. yang menghasilkan stesen wuduk bernama Sahala boleh menyelesaikan masalah golongan berkenaan.

Menurut Pengarah Urusannya, Rozilawati Ibrahim, inovasi yang kini sudah dipatenkan itu direka khas untuk membantu golongan berkenaan berwuduk tanpa bantuan orang normal lain dan juga mampu melakukannya dalam keadaan selesa.

“Reka bentuk Sahala dibina mengikut kesesuaian dan keperluan golongan berkenaan dalam berwuduk secara berdikari,” katanya ketika ditemui di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) Putrajaya, baru-baru ini.

Jadi sasaran vandalisme

Amat menyedihkan kerana terjadinya perbuatan vandalisme dalam kalangan orang ramai terhadap kemudahan berwuduk Sahala untuk OKU itu. Ini kerana, Sahala perlu ditempatkan di laluan umum bagi memudahkan diakses oleh OKU berbanding tempat wuduk biasa di masjid atau surau.

“Ada satu tempat itu, kami temui sisa makanan pada bawah kawasan basuh kaki produk Sahala dan ini menjadikannya kurang bersih,” kata Rozilawati.

Justeru, Mohd. Zaini menyeru orang ramai agar tidak menyalahgunakan Sahala kerana ia tetap sama seperti tempat wuduk di masjid atau surau.

Kita kena ingat OKU juga perlu tempat duduk bersih sebelum bersolat,” katanya.

Kecacatan bukan lagi alasan

Tanpa perlu tafsiran atau ulasan daripada ilmuwan Islam, kita pasti memahami dengan jelas terjemahan ayat 18 Surah at-Taubah iaitu: “Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”.

Pemahaman tersebut lebih terserlah lagi dengan hadis Rasulullah SAW bermaksud: “Sembahyang berjemaah itu lebih afdal daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda,” - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Namun begitu, solat berjemaah di surau atau masjid masih lagi tidak menjadi satu budaya kerana pelbagai sebab. Antaranya, kecacatan atau kelemahan pergerakan anggota badan tertentu dan faktor umur lanjut.

Halangan itu menjadi lebih dominan apabila masjid atau surau tidak menyediakan kemudahan bersesuaian dengan golongan jemaah istimewa dan antara yang ketara adalah tempat berwuduk.

“Selalunya, tempat wuduk tidak begitu sesuai dengan mereka yang berkerusi roda kerana ada tangga atau ‘bar’ pada lantainya dan ada ketikanya, kedudukan paip airnya agak rendah,” kata Rozilawati.

Ini sejajar dengan pengalaman beliau sendiri yang menyaksikan bagaimana seorang OKU berkerusi roda berusaha mengambil wuduk untuk solat di sebuah masjid.

“Dia turun daripada kerusi roda sebelum mengheret badannya untuk mengambil wuduk dan apabila selesai, dia sekali lagi mengheret badannya ke kerusi rodanya sebelum memasuki dewan solat.

“Saya takjub dengan apa yang dilakukan kerana saya pasti tidak semua yang sanggup berbuat demikian,” katanya.

Nada sama turut disuarakan oleh Pengerusi Yayasan Pendidikan al-Quran 
Bagi Anak Istimewa (Faqeh), Mohd. Zaini 
Mat Abas ketika ditemui di MTMZA.

“Akses untuk OKU di masjid atau surau yang biasa kita lihat hanya berkisar kepada laluan ke dewan solat dan bukannya untuk berwuduk,” katanya.

Jadi tidak hairanlah beliau cukup gembira apabila terdapat beberapa buah masjid dan surau mengambil inisiatif mencari dana supaya produk Sahala dapat dipasang di premis mereka.

Beliau melihat usaha itu sebagai antara kempen pihak masjid atau surau bagi mengurangkan lagi kesukaran golongan OKU atau keperluan khas lain untuk bersolat 
jemaah.

“Selain itu, kita juga kena ingat OKU itu bukan hanya terjadi sejak lahir tetapi kalangan orang normal kerana kemalangan atau faktor usia,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd. Zaini menyatakan bahawa produk sedemikian akan memberi peluang kepada kalangan dermawan atau sesiapa sahaja yang ingin mencari saham akhirat.

“Ia sesuai untuk mereka yang ingin bersedekah sama ada secara individu atau berkumpulan kerana saya percaya ramai kalangan Muslim yang mahu turut serta mengimarahkan masjid atau surau di kawasan masing-masing,” katanya.