Majlis bacaan Yasin malam Jumaat adalah aktiviti masyarakat. Ia sebagaimana majlis #QuranHour. Tujuannya adalah bagi menarik minat masyarakat membaca al-Quran dan datang ke masjid serta surau.

Dalam aktiviti masyarakat, Islam memberi ruang kepada umat Islam untuk kreatif.

Maka tiada masalah bidaah dalam perkara sebegini. Jika ia bidaah juga, sebahagian ulama menetapkan ia sebagai bidaah hasanah (baik) iaitu bidaah yang tidak bertentangan dengan dasar Islam.

 

Adakah harus bagi musafir yang balik kampung ketika musim perayaan untuk tidak berpuasa?

Dalam al-Quran, dinyatakan bahawa seseorang yang sakit atau musafir, maka harus baginya tidak berpuasa dan menggantikannya pada hari yang lain. Kenyataan dalam al-Quran ini bukanlah satu perintah yang wajib. Ia adalah keharusan dan panduan. Oleh itu, Muslim yang bermusafir mempunyai pilihan untuk berpuasa atau tidak berpuasa.

Persoalannya adakah wajar atau tidak untuk tidak berpuasa bagi orang bermusafir. Had musafir ialah perjalanan dua marhalah iaitu sekitar 91 kilometer. Jarak perjalanan ini bukanlah jarak yang jauh dan memenatkan pada hari ini. Maka walaupun seseorang Muslim sudah dikira musafir, namun tidak berbaloi untuk tidak berpuasa. Contohnya perjalanan balik dari Rawang ke Ipoh. Jaraknya sudah melebihi dua marhalah. Namun perjalanannya sekitar dua jam sahaja dengan pemanduan kereta. Maka kurang wajar untuk tidak berpuasa.

 

Haruskah diadakan majlis pertunangan atau majlis perkahwinan apabila terdapat ahli keluarga baru meninggal dunia, contohnya sebulan?

Tiada masalah untuk diadakan apa-apa majlis walaupun baharu beberapa hari berlaku kematian. Contohnya majlis pertunangan dan majlis perkahwinan. Majlis sebegini sudah dirancang beberapa bulan lebih awal. Dua hari sebelum majlis, berlaku kematian ahli keluarga. Maka majlis diteruskan macam biasa. Insan yang hidup meneruskan kehidupan macam biasa, di samping tidak lupa berdoa agar si mati diampunkan Ilahi.

Begitu juga dengan hari raya. Katakan ahli keluarga meninggal dunia pada 28 Ramadan, maka hari raya tetap diteruskan. Cuma mungkin masih ada sedikit kesedihan kerana kehilangan ahli keluarga.

 

Sempena Ramadan, ada wakil rakyat dijemput ke surau dan masjid untuk berbuka puasa dan menyampaikan bantuan hari raya. Terdapat juga wakil rakyat tidak beragama Islam. Apakah harus bagi mereka untuk masuk ke dalam kawasan masjid dan surau?

Harus bagi individu bukan Muslim memasuki kawasan masjid atau surau. Apatah lagi dengan jemputan dan kebenaran pihak jawatankuasa masjid serta surau.

Adapun masuk ke dalam masjid dan surau, maka seeloknya dielakkan jika tiada keperluan.