Bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji, mereka merayakan Aidiladha dengan yang berkemampuan sangat disunatkan untuk melakukan ibadat korban.

Ini kerana, bukan semua umat Islam bertuah dipilih menjadi tetamu Allah untuk menunaikan haji.

Ramai yang mempunyai keinginan tinggi untuk datang, tetapi tidak dijemput Allah. Hatta yang tinggal di Mekah sekali pun, jika bukan rezekinya dipanggil menunaikan haji, maka tiadalah kakinya mampu menjejak bumi Arafah, Muzdalifah dan Mina kerana hanya yang dijemput Allah boleh melaksanakan wukuf, bermabit dan melontar jamrah.


KURNIAAN TERBAIK ALLAH


Menyentuh hal itu, Ketua Pakar Rujuk Haji 1439 Hijrah, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, panggilan ke Mekah untuk menunaikan haji adalah kurniaan terbaik Allah kepada hamba-hamba-Nya.

Ini kerana haji satu-satunya ibadat yang memerlukan kepada pengembaraan iaitu dari tempat kita tinggal menuju ke Baitullah di Mekah sebagai manifestasi ubudiah (pengabdian) kepada Allah.

Sebab itu mereka yang dijemput menunaikan haji digelar dhuyufurrahman iaitu tetamu Allah kerana tidak semua diberi nikmat berkenaan walaupun mempunyai kewangan kukuh atau pangkat yang tinggi.

“Ini satu nikmat yang besar kerana kita dapat menjumlahkan Rukun Islam yang kelima dan melengkapkannya,” kata beliau, yang juga Mufti Wilayah Persekutuan.

Menurutnya, haji juga adalah terjemahan kepada maksud sebenar kalimah syahadah menerusi perbuatan berkunjung ke Mekah dan Baitullah.

Kata beliau, apabila berniat mengerjakan haji maka dimulai dengan talbiah yang hanya dikhususkan di Mekah, sebagai satu lambang penghambaan yang sungguh-sungguh.

Ia bermaksud sesibuk manapun, seseorang itu meninggalkan tanah air, pekerjaan dan kehidupannya semata-mata kerana Allah adalah satu manifestasi kepatuhan mutlak seorang hamba kepada Penciptanya.

Memperkata hal sama, Pengurus Bimbingan Mekah 1439 Hijrah, Shahrul Azam Noor Zeli memberi analogi mudah tentang sikap yang dituntut ketika mengerjakan ibadah haji dan dalam kehidupan seharian.

Beliau menceritakan seorang pemuda yang hendak pulang ke kampung halamannya dan diberi tiga nasihat oleh majikannya iaitu jangan mengambil jalan pintas, jangan campur urusan orang lain yang tidak melibatkan agama dan jangan membuat keputusan dalam keadaan marah.

Ketiga-tiga nasihat itu dituruti pemuda berkenaan sehingga selamat sampai ke rumah bertemu isterinya.

Menurut Shahrul Azam, sama juga dalam ibadah haji, tiada jalan pintas untuk menyempurnakannya, sebaliknya kena mengikut rukun.

“Ada yang semasa mula-mula dapat tawaran haji niat nak beribadah banyak-banyak, tetapi semakin lama di Mekah makin berubah dan bila balik terus diuji.

“Bila orang tak panggil gelaran Haji...marah.

“Bila di sini pulun beribadat kerana berpegang pada ganjaran 100,000 pahala, tapi bila balik sudah tak nampak tangga masjid,” katanya

Kepada semua jemaah, beliau berpesan, datang haji bukan untuk memenuhi tuntutan keluarga dan orang kampung atau untuk mendapat gelaran Haji, sebaliknya adalah untuk mendapat keampunan Allah.

Justeru, sudah sepatutnya kehidupan sebagai tetamu Allah dihayati sehingga ke akhir usia.

Dalam memperkata tentang rezeki dipanggil menunaikan haji, Pengurus Besar Bimbingan 1439 Hijrah, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, bukan soal keberuntungan sahaja yang sepatutnya difikirkan oleh jemaah.

Sebaliknya, turut perlu diberi perhatian adalah bagaimana untuk menghayati hidup sebagai tetamu Allah sepanjang hayat.

Katanya, perkara pertama yang perlu dipastikan jemaah adalah menjadikan pemilihan mereka sebagai dhuyufurrahman sesuatu yang tepat.

Ini kerana katanya, ruang dan peluang telah diberi, tetapi ramai yang tidak dapat menepati ciri-ciri sebagai tetamu Allah.

Jelas beliau, dalam ibadat haji, Allah mahu menguji hamba-Nya dengan hikmah kesabaran.

“Haji adalah kepatuhan dan penyerahan diri kepada Allah...jangan bila sampai di sini (Mekah) berubah, asyik pergi kedai. Solat berjemaah pun payah. Kenalah berdisiplin.

“Ibadat ini bukan melibatkan jasmani sahaja, tetapi juga rohani,tidak cukup tanpa rohani. Jadi, disiplin kena tinggi. Jika ada azam dan hasrat, tetapi bila diuji dengan panas dan jauh berjalan, kita tak mampu laksanakan,” katanya.

JANGAN HARAPKAN MAKHLUK

Tengku Aziz menjelaskan, dalam talbiah sendiri antara perkara yang Allah ajar untuk mendapat Haji Mabrur dan seterusnya berubah ke arah lebih baik, adalah ungkapan ‘la syarikalak’.

Maknanya, kata beliau, datang ke Mekah jangan ada syirik, yang dalam penghidupan hari ini boleh diterjemahkan sebagai ‘pengharapan’ kepada selain daripada Allah.

Pernahkah kita sedar bahawa kebanyakan kita hari ini terlalu ‘bergantung’ kepada manusia lain termasuk dalam hal mencari rezeki dan kebahagiaan?

Menerusi haji, kata beliau, Allah mahu mengajar bahawa permintaan dan pengharapan hendaklah dibuat hanya kepada-Nya, bukan kepada yang lain.

“Contohnya semasa wuquf sesak dengan jemaah dan kita tiada tempat duduk, itu semua ujian dan berdoalah kepada Allah supaya selesaikan masalah itu kerana semasa ihram kita dekat dengan Allah... tiada masa untuk bergaduh dengan orang lain.

“Di Muzdalifah dan Mina juga ada hikmah tertentu.

“Contohnya semasa hendak pergi melontar kita rasa jauh, itu adalah kerana kita tidak meminta kepada Allah agar dipermudah urusan haji kita. Allah nak ajar bagaimana perlunya kebergantungan kita hanya kepada-Nya,” kata Tengku Aziz.

Dengan kesemua kebergantungan itu jelasnya, bila pulang ke tanah air nanti hubungan dengan Allah semakin dekat.

“Bila tengok Masjidilharam air mata meleleh rindu, itu tanda ada hubungan dengan Allah. Bila penuhkan masa dengan beribadah itu bermakna talbiah haji sudah betul,” katanya.


MANFAATKAN DUGAAN


Menurut Tengku Aziz, semua dugaan dan kepayahan yang dilalui semasa haji adalah peluang diberikan Allah untuk menunjukkan kebergantungan hamba kepada Pencipta dan sama ada peluang itu digunakan dengan sebaik mungkin.

Justeru, kena bersihkan diri dengan bertaubat dan meminta ampun atas dosa-doa yang banyak selain membersihkan harta dengan zakat serta sedekah.

Katanya, menerusi haji, Allah juga mengajar hamba-Nya bahawa yang lebih penting adalah takwa, bukan paras rupa atau warna kulit.

“Bila ke Masjidilharam kita lihat pelbagai rupa manusia, ada yang hitam, ada yang putih. Allah mahu memberi pengajaran dan penyaksian kepada kita. Ada yang masuk sahaja ke masjid solat tak henti-henti dan gunakan sepanjang masa untuk beribadah.

“Ada juga yang pergi masjid paling lambat tapi balik paling awal. Ini semua pengajaran Allah kepada kita,” katanya.

Menurutnya, ada jemaah yang apabila selesai melakukan umrah sudah tidak tahu apa lagi yang mahu dilakukan sedangkan Allah menjanjikan 100,000 kali ganda pahala untuk apa sahaja ibadat dan kebaikan yang dilakukan di Tanah Suci.

“Jemaah seharusnya banyak bersyukur. Allah tulis nama tuan-tuan untuk hadir di tempat yang mulia di sisi-Nya. Ini bumi anbia, daripada Nabi Adam sampailah wali-wali Allah semuanya tunai haji di sini.

“Di bumi ini walaupun tiada taman-taman indah, ada batu sahaja, tiada tempat istimewa, tetapi Allah janji kalau buat kebaikan diberi 100,000 kali ganda pahala, di sini lubuk emas, apa sahaja ibadah yang dibuat diberi pahala 100,000 kali ganda.

“Jangan kata tiada apa yang hendak dibuat di sini. Buat perancangan dalam beribadah kerana mungkin ini peluang pertama dan terakhir untuk kita,” katanya.