Pendakwah selebriti berketurunan Cina itu berkata, persekitaran Islam yang wujud sejak kecil mendorong dirinya untuk mencari pedoman dan kebenaran hidup agar kembali kepada fitrah.

“Sewaktu kanak-kanak, saya sering mengikuti rakan karib ke masjid setelah waktu azan dilaungkan dan menyimpan hasrat untuk melihat Kaabah di Mekah setelah diceritakan oleh bapa rakannya yang juga guru agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Forum Ramadan bertajuk ‘Pengisian dan Cabaran Bagi Mualaf Untuk Berpuasa’ di Bangunan Perkim, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Adam adalah seorang daripada tiga panel jemputan pada forum tersebut termasuk pimpinan Perkim Wilayah Persekutuan, Amran Anbarasu Abdullah dan pendakwah Perkim, Muhammad Fitri Abdullah.

Forum anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Wilayah Persekutuan itu dihadiri seramai 70 saudara Muslim berketurunan Cina, India, Bidayuh, Kadazan, Iban serta warga dari negara Thailand, Indonesia dan Filipina.

Bagaimanapun, berkongsi cabaran ketika berpuasa, Adam berkata, sedih dan rugi apabila dinasihatkan oleh doktor supaya tidak berpuasa selama empat hari ketika menerima rawatan di hospital selepas melakonkan watak aksi lasak pada Ramadan lalu.

“Tidak dinafikan banyak cabaran ketika berpuasa antaranya adalah orang Muslim yang makan minum tanpa rasa segan dan tidak menghormati bulan Ramadan.

“Tetapi, kita perlu merebut kelebihan bulan puasa sebanyak mungkin dan bersangka baik kepada mereka yang tidak berpuasa serta jangan mudah menghukum, sebaliknya mendoakan mereka,” ujarnya.

Tambah Adam, sebagai umat Islam perlulah menghadirkan diri ke majlis ilmu bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT serta ilmu yang dipelajari bukan untuk dijadikan bahan berhujah tetapi lebih yakin untuk beramal.

KEGEMBIRAAN BERPUASA

Sementara itu, Muhammad Fitri berkata, nikmat berpuasa dirasai apabila seseorang dapat menahan lapar sejak pagi dan menikmati sesuap juadah apabila terbenam matahari.

“Nikmat ini saya rasakan sebelum memeluk Islam ketika diajak oleh rakan beragama Islam untuk cuba berpuasa. Beberapa kali cubaan saya menahan lapar gagal pada waktu petang, namun saya cuba berulang kali sehingga berjaya,” katanya.

Menurut Fitri, ujian ketakwaan ketika seseorang itu berpuasa ialah hanya dirinya sahaja yang mengetahui sama ada dia berpuasa atau pun tidak dan sentiasa meyakini bahawa Allah Maha Melihat.

Beliau turut mengingatkan peserta supaya mendoakan kepada mereka yang memberi makan ketika berbuka puasa supaya dilimpahkan rezeki.

“Bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat berharga dan janganlah sesekali membuang masa dengan perkara tidak mendatangkan pahala apatah lagi perkara boleh menambah dosa,” katanya yang juga Pengerusi Perkim Negeri Selangor.

ANGGAP PUASA TERAKHIR

Dalam pada itu, Amran Abdullah berkata, bertugas sebagai pegawai di Penjara Sungai Buloh memberi pengajaran buat dirinya ketika melihat pesalah laku insaf dan mahu bertaubat bersungguh-sungguh.

“Keinsafan seorang banduan akhir ke tali gantung memberikan kesedaran kepada saya bahawa kematian mereka itu telah dipenuhi amal ibadah dan taubat nasuha sebelum lehernya dijerut.

“Di penjaralah mereka mengenal tikar sejadah, bersolat, berpuasa sunat, mengenal iqra’ dan al-Quran serta mendalami ilmu Islam dengan guru agama.

“Berbeza dengan kita yang hanya seronok dibuai maksiat serta tidak takut akan kematian yang semakin menghampiri sehingga mati dalam keadaan dipenuhi dosa,” katanya.

Amran turut mengingatkan peserta supaya tidak terlibat dengan gerakan pengganas yang kononnya berjihad seperti gerakan Daesh, ISIS, syiah atau fahaman yang tergelincir daripada Islam.