Malah melihat kepada keseluruhan persembahan, kedua-dua juri tetap iaitu Syafinaz Selamat dan Datuk Ramli MS bersetuju bahawa rata-rata peserta pada malam konsert suku akhir itu telah memberikan persembahan yang terbaik.

Ramli ketika ditemui selepas selesai konsert memberitahu, ada beberapa penyanyi yang membawakan gabungan lagu dengan cukup baik dan salah seorangnya ialah Amir Jahari (Amir J) yang melakukan sendiri susunan muzik lagunya.

“Ada beberapa lagi penyanyi yang bagus dalam menysun muzik lagu pilihan mereka. Syamel contohnya juga membuat persembahan yang baik tetapi ada beberapa kesilapan yang dilakukan,” jelasnya.

Menurut Ramli, untuk menjadi penyanyi yang bagus tidak hanya sekadar tahu menyanyi sebaliknya perlu mengetahui dan memahami mengenai muzik yang dipersembah

Malah susunan muzik, katanya, jika tidak diatur dengan baik akan membuat penyanyi berasa kekok dan akhirnya mengganggu perjalanan keseluruhan persembahan dan emosi penonton.

“Nak buat lagu mashup ini bukan mudah sebab seseorang itu kena kreatif dan perlu mencari lagu yang betul-betul sesuai untuk dicantumkan namun secara keseluruhan peserta telah melakukan persembahkan yang baik.

“Jadi penilaian ini dilakukan secara keseluruhan, bukannya sekadar kemampuan penyanyi membawakan lagu itu sahaja,” jelasnya.

Pada malam itu, Bob yang memilih rangkaian Siti Nurhaliza berada di tempat teratas dengan jumlah markah 57.3. Tempat kedua dan ketiga diduduki Marsha (56) dan Idayu (55.3)

Amir pula di tempat keempat dengan markah 53.2 diikuti Amir J (52.2). Tiga peserta dengan markah terendah ialah Syamel (46.3), Shahir (34.4) dan Indah yang tersingkir malam itu dengan kutipan (22.6).

Amir J semakin menyinar

Sepanjang pertandingan AF Megastar ini berlangsung, Amir J adalah satu-satunya penyanyi cukup kritis dengan lagu yang akan dinyanyikan. Apatah lagi dia sendiri yang akan melakukan semula susunan muzik lagu untuk dipersembah.

Ada sebab mengapa Amir membuat perkara demikian.

Dia mahu pendengar merasakan jiwanya dalam setiap lagu yang dipersembah dan kini, yang dilakukannya itu semakin diterima.

Amir juga bukanlah peserta pilihan pada awalnya tetapi kini kehadirannya mula disedari sebagai satu cabaran buat peserta lain.

“Sejak menyertai Akademi Fantasia lagi saya sudah tetapkan dalam diri untuk melakukan sepenuhnya kawalan kreatif terhadap lagu-lagu yang akan saya persembah.

“Memang saya mahu tunjukkan kemampuan saya bukan sekadar menyanyi tetapi secara keseluruhan dalam setiap lagu saya,” jelasnya.

Walaupun pada awalnya dianggap sebagai peserta bukan pilihan, Amir langsung tidak terasa dan menganggap itu sebagai cabaran untuknya membuktikan kemampuan diri.

Malah susunan muzik yang dipersembah Amir turut mendapat pujian daripada Syafinaz.

Amir menyanyikan dua buah lagu Datuk Zainal Abidin yang berjudul Hijau dan Orak Arek.

Usaha kreatif Amir di sebalik lagu-lagu yang dipersembah sudah beberapa kali mendapat pujian juri dan dia menganggap itu sebagai penguat semangat untuk terus kreatif dalam karya-karyanya.

“Saya tak tertekan dengan setiap pujian.

“Semua itu akan memberi saya lebih banyak ruang untuk mencuba dan bereksperimen dalam setiap susunan muzik saya,” jelasnya.

Tidak putus asa

Memilih untuk membawakan lagu Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma iaitu Mari Jalan Bersama, Gelora dan Bila Larut Malam membuat Indah seakan-akan terjerat dengan pilihannya.

Namun bagi Indah, dia sememangnya sudah bersedia dengan sebarang keputusan apatah lagi dia cukup faham bahawa ini adalah sebahagian adat pertandingan.

“Memanglah kecewa tetapi perkara ini sesuatu yang normal dan saya sendiri sudah bersedia dengan sebarang keputusan.

“Penonton ada peserta kegemaran masing-masing dan mungkin rezeki saya bukan di sini.

“Lagipun tersingkir daripada pertandingan ini tidak akan melemahkan semangat saya untuk berada dalam industri.

“Saya percaya akan ada lagi rezeki saya dalam bidang ini,” jelasnya.

Ditanya mengapa dia mengambil risiko untuk membawakan lagu yang agak mencabar untuk dirinya, Indah berkata, pada awalnya dia mahu memilih lagu artis lain tetapi sudah ada peserta yang memilih artis berkenaan.

“Yang penting, saya puas kerana dapat membawakan lagu idola saya dan sepanjang pertandingan ini, saya sudah memberikan yang terbaik.

“Sekurang-kurangnya penonton tahu kemampuan diri saya dan akan terus menyokong kerjaya saya sebagai penyanyi,” jelasnya yang memilih rakannya, Idayu sebagai antara calon paling sesuai untuk beraksi pada peringkat akhir.

Dalam pada itu, Indah turut berkongsi mengenai perkembangan seninya yang bakal mengeluarkan sebuah single tidak lama lagi.

“Buat masa ini, saya sedang giat menyiapkan single baharu yang digubah oleh rakan saya, Hael Hussaini dan akan diperdengar tidak lama lagi,” katanya.