Kekurangan daripadanya boleh mengakibatkan manusia menghadapi kesukaran seperti menyebabkan terputus bekalan makanan untuk hidup. Terbukti, negara yang memberikan perhatian kepada kedua-dua sektor ini tidak akan mengalami kebuluran dalam kalangan rakyatnya.

Sejarah menyaksikan, kepakaran ilmuwan Islam tidak kurang hebat dalam bidang tersebut. Antaranya adalah, Abu Zakaria Yahya bin Muhammad bin al-Awwam al-Isybil atau lebih dikenali sebagai Ibnu Al-Awwam.

Beliau dilahirkan di Seville, Sepanyol, dan hidup pada zaman kejatuhan peradaban Islam di Andalusia. Walaupun menghadapi kesukaran dan pelbagai rintangan hidup, namun beliau tetap mampu menghasilkan kitab berkaitan dengan pertanian dan ternakan sehingga menjadi rujukan ke hari ini.

Kitab tersebut berjudul al-Filahah yang mengandungi 34 fasal atau bab. Ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu pertanian dan penternakan. Bahagian pertama menceritakan cara memilih tanah dan bagaimana untuk menyuburkannya, memilih baja, menyalurkan air, cara menanam dan memilih benih pokok sama ada sesuai ditanam atau tidak.

Seterusnya, beliau menerangkan cara menguruskan kebun bermula daripada kaedah memilih benih, jenis pokok yang boleh ditanam dan sesuai dengan tanah serta kawasan.

Beliau juga menunjukkan cara bagaimana untuk menyuntik pokok, mengahwinkan pokok, menyembuhkan penyakit pokok, serta cara menyimpan benih dan cara menyimpan buah-buahan yang kering atau basah.

Dalam bahagian kedua kitab itu pula, Ibnu al-Awwam menerangkan mengenai dunia penternakan haiwan. Pada bab ini beliau menerangkan bagaimana menternak haiwan dan merawatnya termasuk cara pembedahan yang patut dilakukan kepada haiwan sekiranya menghidap penyakit.

Kitab itu juga mempunyai satu bab khusus mengenai cara-cara memelihara kuda, termasuk pemakanan haiwan, dan rawatan yang harus diberikan. Selain itu, beliau turut menerangkan cara bagaimana menunggang kuda, sama ada menunggang dengan membawa senjata atau tanpa senjata.

Ketinggian ilmunya dalam bidang penternakan tidak dapat dipertikai. Beliau turut menerangkan cara untuk memelihara unggas dengan sempurna dan baik, malah beliau mampu mengulas secara terperinci.

Oleh kerana kitabnya mengenai pertanian dan penternakan itu dianggap amat berguna dan bermanfaat, maka tulisan tersebut telah diterbitkan dalam beberapa bahasa, antaranya bahasa Sepanyol (dicetak di Madrid, 1802) dan bahasa Perancis (dicetak di Paris, 1865).

Dalam bidang tersebut, beliau telah mengkaji terlebih dahulu sebelum menghasilkan resolusi berkaitan pertanian dan penternakan. Ibnu al-Awwam dianggap sebagai tokoh dan ilmuwan yang amat teliti dalam mengembangkan ilmu pengetahuannya.

Beliau menulis bukan saja berdasarkan teori semata-mata tetapi berasaskan amalan dilakukan terlebih dahulu sebelum dikongsi kepada umum.

Sekiranya sesuatu tumbuhan itu tidak sesuai di sesuatu kawasan, beliau akan menyenaraikan sebab yang terjadi dan menerangkan apa yang harus dilakukan seterusnya. Ini membuktikan bahawa beliau seorang tokoh yang bertanggungjawab dan jujur dalam mengembangkan ilmu pertanian.

Selain itu, Ibnu al-Awwam juga berjaya mencipta kaedah menghasilkan pelbagai jenis bunga berwarna-warni dan menghasilkan buah epal di luar musim. Kisah tokoh ilmuwan ini telah menjadi kebanggaan umat Islam pada masa kini.

Hasil karya beliau juga banyak diterjemahkan dalam pelbagai bahasa untuk dijadikan rujukan, terutama oleh golongan petani dan peladang.

Dalam sebuah tulisannya, beliau pernah berkata: “Sesiapa yang menyemai semaian atau terlibat dalam pertanian, lalu hasilnya dimakan oleh manusia, burung atau haiwan, maka ia adalah sedekah bagi dirinya.”