Hatidza Mehmedovic
Hatidza Mehmedovic

Allahyarham Hatidza Mehmedovic, 65, amat dikenali hampir di keseluruhan negara-negara Balkan kerana mengetuai satu gerakan besar-besaran bagi memperoleh keadilan untuk mangsa pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica pada 1995.

Kesuraman suasana dan diiringi dengan suara tangisan hadirin pada majlis pengebumian berkenaan sejajar dengan fakta yang membuktikan kawasan berkenaan sebagai tapak pembunuhan beramai-ramai terburuk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Namun suasana itu bukanlah satu ratapan tetapi sebagai mengenangkan jasa dan pengorbanan Hatidza, kerana melalui pertubuhan Ibu-ibu Srebrenica diketuai beliau, berjaya membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“Hari ini kita bersedih sebab semua orang kenal Hatidza dan juga tahu apa makna ‘ibu’,” kata Munira Subasic, seorang wanita yang berada di barisan hadapan perjuangan pertubuhan tersebut.

Tambah Munira, apa yang dilakukan oleh Hatidza selama ini bukan hanya untuk menyebarkan mesej keamanan, bahkan gesaan agar wujud sikap menghormati antara satu sama lain.

“Apa yang beliau mahukan hanya satu sahaja dan ia adalah kebenaran serta keadilan,” katanya yang cukup sedih atas kehilangan rakan seperjuangan itu.

Kekentalan Hatidza dalam perjuangan tersebut kerana beliau turut kehilangan orang tersayang iaitu suami, dua anak lelaki dan abangnya sendiri, yang menjadi antara 8,000 Muslim dibunuh apabila Serbia Bosnia menguasai Srebrenica bermula Julai 1995.

Hasilnya, Tribunal Jenayah Perang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk bekas Yugoslavia tidak hanya menghukum ketua Serbia Bosnia, Radovan Karadzic tetapi turut menghukum ketua tentera Serbia Bosnia, Ratko Mladic dan pegawai-pegawai lain yang terlibat dalam genosid (pembunuhan beramai-ramai) dalam peperangan 1992-1995 itu.

Kejayaan itu tidak terhenti di situ sahaja, pasukan pakar masih lagi berusaha keras mengesan kawasan kubur besar yang tersembunyi di seluruh Bosnia-Herzegovina.

Walaupun langkah Mahkamah Antarabangsa melabelkan kes pembunuhan di Srebrenica itu sebagai genosid, masyarakat Serbia enggan menerima tindakan kejam bala tentera mereka itu.

Malah, terdapat segelintir ahli politik dan nasionalis Serbia menganggap Mladic dan Karadzic sebagai hero masyarakat Serbia dalam perang 1995 tersebut.

Pembuat Dasar Serbia berhaluan kanan, Vjerica Radeta telah mencetuskan suasana tidak aman apabila mengejek kematian Hatidza melalui Twitter seminggu sebelum majlis pengebumian.

Ia bertebaran dalam media sosial dan turut menjadi bahan laporan oleh media utama negara Balkan tersebut sebelum ia dipadamkan dan akaun Twitter itu ditutup.

Speaker Parlimen Serbia, Maja Gojkovic menegaskan kedudukan Radeta tidak mewakili pendirian badan perwakilan tersebut.