“Saya mahu ketengahkan karya Bu Mira dalam refleksi saya. Boleh ya? Ada apa yang mahu ditonjolkan?”

Panjang mesej jawapan Professor Madya Dr. Mira Kartiwi, hampir 12 baris. Saya baca laju-laju sehingga ke dasar skrin telefon, tetapi hati saya memang sudah terpaut kepada yang ini: “Penyelesaian perlulah dekat dengan masyarakat.”

Dalam silau lampu limpah persidangan meraikan kegemilangan pecutan teknologi ICT bagi mengukuhkan ekonomi digital, Alfi Khairiansyah Machfud dan Mira Kartiwi tenang mengangkat latar belakang pembangunan telecentre di kawasan pedalaman Indonesia.

Analisis yang dijalankan ke atas data daripada sumber terbuka mendapati bahawa terdapat perkaitan antara penggunaan ICT dan perkembangan sumber manusia serta ekonomi di kawasan-kawasan terpinggir.

Ringkasnya, umat manusia yang lebih kaya, lebih terdidik dan lebih baik tahap kesihatan, maka melonjaklah capaian kepada ICT. Sebaliknya lebih miskin sesuatu umat manusia, maka tercicirlah mereka daripada larian pecut mengejar kelibat kilat ICT.

Umat Islam di seluruh dunia mencecah 1.6 bilion. Lebih 90 peratus umat manusia ini tinggal di negara-negara Asia dan Afrika, dengan suku daripadanya berada di Asia Selatan. Kebanyakan daripada populasi Muslim ini juga tinggal di kawasan pedalaman dengan jurang kekayaan yang luas di negara majoriti penduduknya adalah beragama Islam.

Sebahagian negara yang mempunyai populasi penduduk Islam yang agak besar seperti Pakistan dan Bangladesh mempunyai keseluruhan penembusan capaian Internet yang amat rendah, sekadar bermain-main di bawah angka 20 peratus.

Lalu kita bertanya, di manakah hak mereka kepada capaian informasi? Hak untuk bertukar daripada kurang tahu kepada lebih tahu. Hak untuk mengubah taraf kehidupan kepada yang lebih selesa.

REALITI DUNIA ISLAM

 

Pengisian dunia Revolusi Industri (IR 4.0) amat perlu mengambil ukuran masyarakat Muslim setempat. Penyelesaian ICT boleh sahaja sesuatu yang ringan ringkas atau rencam kompleks, asal sahaja mengambil kira keperluan dan mengangkat keluhuran agama.

Apalah gunanya capaian telefon pintar bagi menghubungkan manusia ke jaringan media sosial sekiranya miskin dalam adab berkomunikasi?

Adakah cukup dengan kita bergantung kepada penyelesaian daripada konsultan ICT yang menjulang pemikiran rasional manusia tanpa dipandu oleh prinsip-prinsip syariah?

Sudah cukup unggul enjin carian dalam talian bagi menggali dan membantu tafsiran Al-Quran?

Semua ini dan sekian banyak lagi terakam dalam persidangan ICT4M 2018 yang kali ini Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor, menjadi tuan rumah.

Melihat kerencaman cabaran umat Islam, maka dilihat cabaran berterusan para akademia Muslim pada masa akan datang adalah untuk menanggalkan jubah-jubah kebesaran menara gading dan merakyatkan hasil kajian penyelidikan.

Perlu ada yang terus bersilat dengan formula-formula dan model-model bagi merangsang idea dan meneroka denai baru dalam perkembangan ICT. Ini perkara asas dalam keilmuan.

Perlu ada juga yang mengukur letak duduk formula-formula ini dalam realiti masa kini masyarakat Muslim.

Rasulullah SAW tidak memilih jalan selamat ketika menyebarkan Islam kepada kaum gasar di bumi Hijaz. Pengkaji dan pengamal teknologi ICT dalam dunia Islam juga tidak harus selamanya mengambil jalan selamat dengan hanya mendiskusikan teknologi dari sudut neutral agama apatah lagi dalam dunia serba bertamadun.

Salam hormat buat semua pengkaji dan pengamal teknologi ICT dalam dunia Islam. Semoga berjumpa lagi pada persidangan ICT4M pada masa akan datang.

Memperkata tentang kajian teknologi ICT dalam dunia Islam, apatah lagi bagi mendukung ekonomi digital boleh dianggap sebagai sesuatu yang segar.

Dalam lingkup ini, ICT4M 2018 yang dianjurkan pada 23-25 Julai lalu konsisten sebagai wadah diskusi penyelidikan ICT bagi manfaat umat Islam sejagat. Bermula di Kuala Lumpur sebagai Persidangan Kebangsaan Teknologi Informasi dan Komunikasi (NCICT 2001), ia kemudiannya dijenamakan sebagai Persidangan Antarabangsa Teknologi ICT untuk Dunia Islam (ICT4M 2006).

Seterusnya ICT4M melebarkan sayap ke Jakarta, Indonesia (2010); Rabat, Maghribi (2013); Kuching, Sarawak (2014); dan sekali lagi di Jakarta, Indonesia (2016). Berlabuhnya ICT4M 2018 di kampus UIAM selepas 12 tahun tentu sekali mengembalikan nostalgia kepada sekian ramai pengasas persidangan.

Penganjuran kali ke-7 persidangan ICT4M itu menyaksikan 58 buah kertas kerja dibentangkan dan disertai peserta dari tujuh buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Arab Saudi, Nigeria dan Algeria.

Bertemakan ‘Teknologi Lestari bagi Ekonomi Digital Islam’, keseluruhan kertas kerja yang dibentangkan pada tahun ini adalah berkualiti dan tidak bersifat elitis semata-mata.