Ibadah ini juga dilakukan sebagai menghidupkan syariat Nabi Ibrahim A.S. Masa korban bermula apabila terbit matahari pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah). Namun paling baik dilakukan lewat sedikit iaitu sebaik-baiknya selepas solat sunat Aidiladha.

Hukum ibadah korban adalah sunat muakkad dan makruh jika tidak melakukannya bagi yang berkemampuan. Ibadah ini menjadi wajib jika dinazarkan.

Bagi sebuah keluarga, ibadah korban adalah sunat kifayah iaitu digalakkan seorang ahli keluarga melakukan ibadah korban bagi pihak keluarga yang lain. Selain itu, adalah diharuskan melakukan korban untuk orang yang sudah meninggal dunia atau meniatkan pahala korban untuk si mati.

Sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut, krew .com baru-baru ini menemubual beberapa pelajar Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) di Rembau, Negeri Sembilan mengenai penghayatan korban dan peluang menjadi tukang sembelih haiwan korban pada usia muda.

Program Korban Perdana yang dilakukan oleh Yayasan Sofa sejak lapan tahun lalu itu dilihat sebagai satu daripada inisiatif penting bagi melahirkan lebih ramai generasi yang mempunyai kemahiran dalam melakukan ibadah korban.

Jika dilihat, kebiasaannnya tukang sembelih terdiri daripada golongan warga emas dan situasi ini perlu diubah dengan penglibatan golongan muda bagi memastikan ibadah ini terus dapat dihayati dalam konteks yang sebenar. – ADLINA/FAUZI BAHARUDIN

Bawa amanah umat Islam

MEMPELAJARI ilmu penyembelihan adalah penting untuk memahami konsep ibadah korban yang disyariatkan oleh Islam. Selain itu, kemahiran tersebut juga perlu difahami dengan jelas supaya amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilunaskan dengan sempurna.

“Jika penyembelihan tidak dilakukan dengan betul iaitu dua urat binatang korban tidak putus sempurna, maka tidak sahlah ibadah korban itu dan binatang tersebut disifatkan sebagai bangkai serta dagingnya tidak boleh dimakan.

“Tanggungjawab penyembelih ini adalah berat, oleh itu perlu dilakukan dengan berhati-hati dan teliti. Ia umpama membawa amanah seluruh umat Islam dalam ibadah korban.

“Penyembelihan binatang korban bukan perkara main-main dan jika dilakukan secara sambil lewa, besar kesannya terhadap banyak pihak.

Sehubungan itu, adalah amat penting untuk menguasai ilmu dan kemahiran menyembelih binatang agar tidak melakukan kesilapan. - ANDI MUHAMMAD LUQMAN 
ANDI TAKDIR ALAMSHAH, 22, Pelajar Maahad Turath As-Sofa

Praktikal penyembelihan beri keyakinan

KURSUS dan praktikal mengenai penyembelihan yang dilakukan oleh Yayasan Sofa dilihat sebagai satu daripada kaedah untuk membina keyakinan yang tinggi dalam kalangan pelajar yang bernaung di bawah Sofa Education Group (SEG). Bahkan, program yang dijalankan setiap tahun itu memberi peluang kepada mereka untuk mendalami ibadah korban dan fadilatnya.

Bagi Pengurus Perhubungan Korporat Yayasan Sofa, Ustaz Mohd. Hanif Hamid, 36, aktiviti pelajar di STIAS bukan hanya melibatkan akademik semata-mata. Penglibatan dalam kegiatan praktikal amat penting untuk mendedahkan mereka dengan masyarakat, sekali gus membentuk akhlak yang baik.

Menurutnya, institusi pendidikan di bawah seliaan SEG yang terletak di Rembau itu terdiri daripada tiga institusi pengajian iaitu Sekolah Tinggi Islam As-Sofa yang mempelajari bidang akademik, Maahad Turath As-Sofa yang mempelajari dan mengkaji kitab-kitab agama (Turath) serta Maahad Tahfiz As-Sofa yang mempelajari bidang al-Quran. Tambahnya, ketiga-tiga bahagian itu bukan hanya tertumpu pada pelajaran semata-mata, sebaliknya sentiasa mendedahkan pelajar dengan aktiviti luar supaya lebih dekat dengan masyarakat.

“Setiap tahun, kami akan menjalankan kursus korban yang akan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kemahiran menyembelih binatang korban dan ilmu ibadah tersebut.

“Dianggarkan empat hingga lima pelajar diberi peluang melakukan korban jika memenuhi syarat yang ditetapkan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua Maahad Turath As-Sofa, Ustaz Norbadrul Zaman Nordin, 35, berkata, program berkenaan mendidik pelajar mengenai kaedah dan adab penyembelihan yang betul.

“Jika ada pihak beranggapan ibadah korban merupakan satu kekejaman, mungkin mereka perlu lihat dan kaji apakah kaedah terbaik untuk menjadikan binatang ternakan sebagai makanan,” katanya.

Gementar bukan penghalang

PENGALAMAN menyembelih haiwan korban buat pertama kali dua tahun lalu tidak dapat dilupakan, malah akan dijadikan kenangan paling manis dan bermakna untuk diingati.

“Perasaan gementar yang dihadapi ketika menyembelih lembu korban masih dapat dirasakan sehingga kini dan sukar diungkap dengan kata-kata, namun saya bersyukur kerana diberi peluang untuk melakukannya.

“Perasaan sedemikian bukanlah penghalang untuk golongan muda mencuba menjadi tukang sembelih binatang korban, sebaliknya kemahiran itu juga boleh digunakan pada bila-bila masa jika ada keperluan.

Sudah tiba masanya golongan muda diberi pendedahan mengenai kemahiran penyembelihan supaya erti pengorbanan itu dapat dihayati dengan lebih jelas dan penuh makna. Kemahiran ini tidak rugi untuk dipelajari.

“Jika diberi peluang sekali lagi, saya berbesar hati untuk melakukan penyembelihan korban kerana fadilatnya besar, namun tanggungjawabnya juga berat jika gagal dilakukan dengan sempurna.

“Kepada golongan muda di luar sana, jangan lepaskan peluang untuk menyertai kursus penyembelihan korban kerana kita semua adalah penyambung syariat Islam untuk generasi akan datang. - AHMAD BASYA FADZILLAH, 21, Pelajar Maahad Turath As-Sofa

Fahami adab dan syarat korban

IBADAH korban membuktikan bahawa umat Islam hanya dibenarkan memakan benda yang halal dan diharamkan selain benda halal. Setiap umat Islam perlu memahami adab dan syarat dalam ibadah tersebut.

“Antara syarat korban ialah umur binatang yang hendak dikorbankan. Bagi lembu dan kambing, umurnya mesti memasuki dua tahun, manakala unta, umur haiwan itu perlu memasuki enam tahun.

“Selain itu, binatang yang hendak dikorbankan juga perlu sihat, tidak cacat dan berada dalam keadaan sempurna.

Ibadah korban turut menjelaskan bahawa kaedah penyembelihan adalah yang paling baik untuk menamatkan riwayat binatang dengan cara yang cepat dan tidak menyeksakan, selain membezakan umat Islam dengan bukan Islam.

“Adalah penting untuk memastikan dua urat binatang korban iaitu urat halkum dan urat saluran makan terputus ketika disembelih. Penggunaan pisau yang tajam dan sesuai juga perlu dititikberatkan supaya tidak menyeksa binatang. - MOHAMMAD FAHRUR RAZI 
MD SALLEHUDDIN, 25, Pelajar Maahad Turath As-Sofa