Namun hakikatnya, ramai tidak menyedari mereka turut dituntut mengeluarkan sejumlah harta atau pendapatan bagi kategori zakat lain termasuk Zakat Harta, Perniagaan, Wang Simpanan, Emas dan Perak, Pertanian serta Penternakan jika cukup syarat ditetapkan.

Kewajipan itu sebagaimana firman Allah SWT maksudnya: “Wahai orang yang beriman, infakkanlah sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untukmu..” (al-Baqarah: 267)

Melihat kepada situasi yang berlaku mendorong sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Islam Malaysia untuk menghasilkan permainan ilmiah berkonsep zakat, Global Zakat Game (GZG).

Ketua Penyelidik, Profesor Madya Dr. Azman Ab. Rahman berkata, mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan, GZG merupakan papan permainan berkonsep zakat pertama yang dihasilkan sebagai medium baharu pembelajaran zakat.

“Pengetahuan mengenai kepentingan dan kewajipan berzakat perlu diterapkan sejak dari peringkat sekolah rendah dalam usaha mendidik pelajar menunaikan zakat apabila sudah layak, namun apa yang dilihat di sesetengah negeri pengetahuan tersebut kurang diberi penekanan pada peringkat awal persekolahan.

“Oleh itu, GZG direka sesuai kepada semua peringkat umur kerana dihasilkan dalam konsep permainan dalam masa sama menambah pengetahuan pemain mengenai Fiqh Zakat secara santai dan interaktif.

“Ia antaranya menerusi soalan menguji minda yang dirangka mengikut aras kesukaran berbeza tetapi sesuai untuk semua peringkat umur iaitu kad IQ1, IQ2 dan IQ3,” katanya.

Inovasi yang dihasilkan bersama empat penyelidik lain iaitu Mohamad Zulhelmi Mohd Nazar, Tengku Mansur Tengku Zainal Abidin, Ahmad Anis Mohd Fauzi dan Jasmi Amin itu merangkul pelbagai anugerah di pertandingan inovasi antaranya pingat emas Ekspo Inovasi Islam 2016.

Menurut Azman, dalam mainan GZG, pemain akan mengumpul harta dan pendapatan melalui 10 pilihan pekerjaan antaranya doktor, arkitek, cef, guru, anggota tentera dan polis.

“GZG mampu memberi kefahaman kepada pemain mengenai zakat kerana segala persoalan adalah berkaitan zakat dan pengiraan harta yang perlu dizakatkan juga adalah berdasarkan jumlah sebenar yang ditetapkan mengikut syarak.

“Ini adalah versi pertama dan kita sentiasa terbuka kepada sebarang penambahbaikan pada masa akan datang.

“Melalui permainan ini, kita berharap masyarakat tahu bila dan bagaimana kiraan untuk mengeluarkan zakat,” jelasnya.