Ya, hati manusia akan sentiasa senang dan sayang dengan perlakuan ihsan dan kebaikan. Namun akan sengsara dan benci kepada perlakuan buruk dan keji. Maka kesan lahiriah secara langsung daripada asbab ihsan ini akan mendiami jiwa manusia dan mengharmonikan maksud keamanan, kedamaian dan ketenangan.

Inilah matlamat kepada sebuah makna kemerdekaan.

Sempena bulan kemerdekaan ini, kita cuba menelusuri kaitan antara makna kemerdekaan yang digarap dan tersimpan kemas dalam satu kefarduan daripada Allah SWT buat hamba-Nya menerusi mekanisme ibadat zakat.

MERDEKA 
DENGAN ZAKAT

Menurut Abu Abdillah Muhammad Abd Rahman al-Bukhari dalam kitabnya, Mahasin al-Islam bahawa dengan ibadat zakat, manusia dianggap sebagai seorang yang merdeka dari aspek pemilikan harta, tatkala mampu memurnikan hatinya daripada kecintaan kepada harta. Apabila seseorang hamba itu menunaikan sekelumit tanggungjawab hartanya dengan berzakat, tatkala itu jiwa dan nuraninya akan dimurnikan dengan cinta kepada Allah dan sifat kewarakan.

Setiap saat dasar hatinya itu kosong daripada sifat cintakan harta, maka ia akan dipenuhi dengan hadiah kecintaan kepada Allah. Ini kerana sifat hati itu hanya mampu memiliki satu sahaja cinta, sama ada kepada harta atau cinta kepada sang Pencipta.

Muhammad Ali al-Tirmizi juga pernah menukilkan. Jika hati dikuasai cinta kepada kebendaan dunia, maka akan semakin malap sirna cahaya iman yang menyinarinya.

Firman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 36 dan 37: “Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Dia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya). (Tabiat kamu wahai manusia) jika Tuhan meminta kepada kamu harta benda kamu serta mendesak kamu memberikan-Nya, nescaya kamu akan berlaku bakhil kedekut, dan kebakhilan itu akan melahirkan kemarahan dan kebencian kamu.”

Justeru, menerusi ibadat zakat secara tidak langsung dapat memugar maksud kemerdekaan daripada belenggu cinta dunia. Maka terhasil dua aspek kemerdekaan:

1. Jiwa orang yang menunaikan ibadat zakat akan merdeka jiwanya daripada belenggu kebakhilan, cinta harta dan gila dunia.

2. Mereka yang diberikan peruntukan dalama kalangan asnaf zakat, khasnya golongan fakir dan miskin, mereka yang dililit hutang dan kesulitan hidup dapat memerdekakan diri mereka daripada belenggu kesusahan serta kepayahan.

* Ini juga adalah hikmah tersirat daripada peruntukan zakat kepada asnaf al-Riqab yang masih utuh dalam nas, tanpa dinasakhkan hukumnya meskipun syariat telah menghapuskan konsep pengambilan hamba abdi dalam Islam kerana aspek membebaskan itu dapat diterjemahkan dalam maqasid zakat secara lebih umum dan mendasar kepada implikasinya secara khusus.

KEBEBASAN DARIPADA BELENGGU KEWANGAN

Memandang maksud kebebasan menerusi perspektif hukum Allah ternyata punya keindahan tersendiri.

Sering kali kita mendengar kalimah dan jolokan ‘financial freedom’ yang merujuk kepada maksud kebebasan daripada belenggu kewangan.

Ya, inilah cita-cita setiap individu yang hidup di muka dunia. Namun sedarkah kita, di sebalik itu ada maksud tersirat bahkan lebih mendalam daripada makna yang terzahir?

Orang kaya dan berharta sebenarnya masih belum benar-benar ‘bebas’ atau ‘merdeka’ selagi masih belum punya kerelaan hati membelanjakan harta pada jalan yang diredai Allah. Inilah kebebasan yang hakiki. Meletakkan urusan harta pada kehendak Ilahi.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 272: “Setiap harta halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan daripada harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”

Justeru, mari kembali mendidik hati. Kemudian teruskan dengan menyubur kebaikan dan mewariskan kebaikan. Sesungguhnya tiada satu wabak penyakit yang paling bahaya selain daripada sifat kebakhilan kerana ia mampu melahirkan prasangka buruk kepada Allah secara tidak sedar.

Syaikh Abu Mansur al-Maturidi pernah menitip pesan. Wajib bagi setiap orang Mukmin membiasakan anak-anaknya dengan sifat pemurah sebagaimana mereka mengajar anak-anak beriman kepada Allah.

Kerana sifat pemurah ini bukan sahaja mulia, tetapi ia menjadi bukti akan prasangka baik dan mampu menyuburkan keyakinan seorang hamba kepada janji dan kata-kata daripada Tuhannya!

Fahami keutamaan bersedekah

Al-Imam Fakhrurrazi Rahimahullah pernah menceritakan. Seorang wanita membawa minyak kepada seorang ulama besar lalu berkata:

“Gunakanlah minyak ini (zaitun) untuk mencerahkan kawasan masjid.”

Ulama tersebut lalu bertanya:

“Antara dua perkara, mana satu yang kamu sukai? Cahaya pelita yang naik hingga ke atap masjid, atau cahaya yang naik hingga ke Arasy?”

Wanita itu menjawab: “Sudah tentu aku mahukan cahaya yang naik hingga ke Arasy.”

Ulama tersebut menyambung: “Minyak ini andai dituangkan ke dalam pelita akan hanya naik cahayanya sampai ke atap. Akan tetapi jika digunakan untuk menyediakan makanan buat orang fakir dan miskin yang sedang dalam keadaan lapar, insya-Allah ‘cahayanya’ akan naik sampai ke Arasy. Justeru, gunakanlah minyak ini buat memberi makan kepada si fakir.”

Inilah maksud menilai keutamaan dalam melaksanakan sesuatu kebajikan.

Adakalanya kita sering tersalah langkah. Disangkakan tindakan kita itu benar, namun sebenarnya ada kaedah dan panduan yang lebih menepati keadaan dan situasi.

Sentiasalah merujuk kepada mereka yang menekuni sesuatu urusan atau lebih-lebih lagi mereka yang pakar dan arif dalam sesuatu bidang. Insya-Allah segala usaha kita lebih bermakna dan menepati maksud awlawiyat (keutamaan) terutama dalam melaksanakan ibadah.