Antaranya, masih ramai dalam kalangan masyarakat mengetahui malah pernah bermain mainan Monopoly atau Saidina.

Ternyata permainan yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu itu tidak dilupakan begitu sahaja, masih mendapat sambutan ramai bagi mengisi masa lapang atau berhibur bersama keluarga.

Mengambil langkah memperkenalnya ke peringkat lebih tinggi secara ilmiah dan interaktif, Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menganjurkan pertandingan ala Monopoly versi zakat.

Menggunakan inovasi penyelidik dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), mainan dinamakan Global Zakat Game (GZG) yang pertama kali diadakan secara komersial itu melibatkan penyertaan guru-guru sekolah menengah sekitar Wilayah Persekutuan.

Jika mainan Monopoly, pemain berlumba mengumpul harta paling banyak, tetapi dalam GZG pemenang ditentukan mengikut jumlah zakat tertinggi dikeluarkan oleh pemain.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, bukan sekadar permainan biasa, pertandingan itu diadakan dalam usaha memperluas pengetahuan guru berhubung permasalahan zakat secara lebih terperinci.

Katanya, ia juga membolehkan para guru untuk menerangkan mengenai Rukun Islam ketiga itu dengan lebih jelas kepada pelajar.

“Guru adalah golongan yang dekat dengan komuniti.

“Atas dasar itu, PPZ-MAIWP merasakan mereka turut berperanan sebagai ‘mata’ dan ‘telinga’ kami bagi memberi input kepada masyarakat berkaitan persoalan zakat dengan lebih jelas.

“GZG merupakan kaedah baharu bagi menyampaikan maklumat zakat dengan lebih mudah dan santai kerana ia direka dalam bentuk permainan supaya mudah difahami semua peringkat umur.

“Dengan pengetahuan ini, guru bukan sahaja dapat membantu kami menyampaikan dakwah zakat kepada pelajar, malah kepada ahli keluarga dan rakan mereka yang bakal menjadi pembayar zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pertandingan GZG Sekolah-Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Auditorium, Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bukit Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan JPWPKL, Datuk Foziah Buang; Naib Presiden Angkasa, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hasan; Ketua Penolong Pengarah, Sektor Perancangan dan Penyelarasan Bestari, BTP KPM, Dr. Suhaimi Kadir; dan Ketua Penyelidik GZG, Profesor Madya Dr. Azman Ab. Rahman.

Pertandingan pada 17 Mei ini bakal disertai sebanyak 103 sekolah menengah kebangsaan sekitar Wilayah Persekutuan.

Abdul Hakim berkata, pertandingan itu juga sebagai usaha menggalakkan guru-guru sekolah menunaikan kewajipan berzakat menerusi kaedah skim potongan gaji zakat berjadual atau Skim Thohir.

Beliau berkata, pihaknya memfokuskan penglibatan guru bagi menyertai pertandingan itu selari dengan sasaran utama dakwah zakat PPZ-MAIWP pada kali ini iaitu meningkat kesedaran zakat dalam kalangan warga pendidik.

“PPZ-MAIWP sentiasa berusaha memastikan usaha menyebarluaskan dakwah zakat ini sampai ke seluruh masyarakat Islam di negara ini dan Wilayah Persekutuan khususnya.

“Oleh itu, pelbagai bentuk aktiviti, promosi dan kempen diadakan bagi memastikan kejayaan usaha itu.

“Warga pendidik bukan terhad sebagai guru di sekolah tetapi turut berperanan melahirkan masyarakat yang patuh kepada tuntutan agama,” katanya.

Rahsia memperoleh keberkatan

Memperoleh pendapatan tinggi bukan jaminan bagi seseorang individu untuk mengecapi hidup senang dan mampu memenuhi segala-galanya jika tanpa keberkatan daripada Allah SWT.

Perkara itu ditekankan oleh Mohamad Ali Hasan kepada semua ahli koperasi terutama umat Islam dalam menjalankan perniagaan di premis masing-masing termasuk sekolah.

“Saya percaya hampir semua sekolah di negara ini mempunyai koperasi. Kita sangat menggalakkan peniaga mengeluarkan zakat daripada perniagaan yang dijalankan agar berkat.

“Kerjasama Angkasa menerusi penganjuran GZG ini membuktikan tanda sokongan dalam menyemai dan meningkatkan kesedaran zakat dalam kalangan umat Islam terutama peniaga koperasi.

“Bukan sahaja kepada guru, program ini perlu didedahkan kepada semua golongan dan dikembangkan ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Menerusi penganjuran itu juga tambahnya, secara tidak langsung meningkatkan kefahaman zakat dalam kalangan peserta atau pemain dalam masa sama mendorong mereka mengeluarkan zakat.

Santai dan interaktif

Bukan hanya tertumpu kepada pembelajaran dalam bilik darjah, proses penguasaan pelbagai bidang ilmu dilihat lebih berkesan dengan bantuan alat sokongan belajar termasuk berkonsep permainan.

Mengakui perkara itu, Pengarah Pendidikan JPWPKL, Datuk Foziah Buang berkata, selari dengan tuntutan arus perdana dan permintaan remaja masa kini, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berasaskan permainan perlu diterapkan di sekolah sebagai pendedahan bersifat santai dan interaktif kepada pelajar.

GZG tambahnya, menepati permintaan itu walaupun berkonsepkan permainan, namun tidak melalaikan kerana tetap memfokuskan sasaran utama di sekolah iaitu elemen P&P berasaskan modul interaktif.

“Kita berharap pelaksanaan program ini dapat mencapai objektif dua dalam satu yang disasarkan iaitu menjalankan praktikal proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam kelas akademik secara terancang serta ‘fun learning’ dengan menggunakan bahan bantu mengajar.

“Membantu PdPc dan meningkatkan kefahaman guru serta pelajar mengenai kepentingan zakat di samping sebagai bukti ketaatan kepada Allah atas segala suruhan-Nya dengan menunaikan kewajipan berzakat,” ujarnya.

Menurutnya, penganjuran GZG juga dianggap mempunyai matlamat sama dengan JPWPKL iaitu bagi memaju dan menggerakkan jabatan masing-masing dalam usaha mencapai peningkatan kualiti lebih baik kepada masyarakat.

“Menerusi hubungan ini diharap dapat menggembleng tenaga kerja antara JPWPKL dan PPZ-MAIWP agar lebih mudah mencapai tujuan dengan lebih berkesan,” katanya.