Dalam sejarah perjuangannya, tokoh dari negeri Kedah itu adalah antara penulis kitab agama terkenal di Nusantara kerana sumbangannya dalam menghasilkan kitab-kitab termasuk ilmu fikah, tauhid, dan tasawuf.

Minatnya yang mendalam untuk menyebarkan ilmu mendorong beliau mendirikan sekolah pondok di beberapa kawasan di Kedah dalam usaha mengukuhkan pendidikan Islam.

Antaranya ialah di Bohor, Selengkoh, Padang Lumat serta di Seberang Perai.

Satu perkara yang menarik tentang tokoh ini ialah sistem dan disiplin yang diterap serta dilaksanakan dalam mengendalikan sekolah yang diasaskannya.

Kawasan institusi pendidikan itu dilengkapi surau dan rumah-rumah pondok (tempat penginapan) pelajar dibina secara tersusun.

Untuk mereka yang berkeluarga, dibina pondok dalam kawasan sekolah, manakala untuk pelajar bujang didirikan pondok di kawasan luar.

Para pelajar Tuan Hussain terdiri daripada remaja belasan tahun hingga berumur 50 tahun. Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar tempatan, namun ada juga yang datang dari Sumatera, Patani, dan Brunei. Hal ini menunjukkan pengaruh pendidikan institusi pondok Tuan Hussain yang begitu meluas.

Meskipun sistem perhubungan pada waktu itu amat sukar disebabkan institusi pendidikan masih kurang didirikan oleh pihak kerajaan (penjajah), namun cabaran ini telah menyemarakkan lagi semangat Tuan Hussain.

Beliau menetapkan jadual belajar yang anjal untuk pelajar-pelajarnya. Beliau akan mengajar bermula dari tengah hari hingga ke petang, manakala pembantunya akan mengajar pada waktu malam.

Jadual yang disediakan adalah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar pondok mencari nafkah kehidupan pada waktu pagi. Justeru, waktu tengah hari dan malam boleh digunakan untuk menumpukan perhatian terhadap pelajaran.

SAMBUTAN 
LUAR BIASA

Pondok Tuan Hussain mendapat sambutan hebat daripada pelajar. Pernah satu ketika, terdapat lebih 50 pondok didirikan di satu-satu lokasi.

Menyedari keadaan itu, Tuan Hussain memperkenal asrama (rumah panjang) yang mampu didiami ramai pelajar.

Dalam satu-satu musim pengajian, pondok ini mempunyai lebih daripada 400 pelajar dan angka ini ada kalanya mencapai lebih 1,000 pelajar.

Demikianlah bukti kejayaan dan hasil kegigihan Tuan Hussain menyebarkan ilmu, yang sukar bagi sesiapa untuk menafikannya.

Selain mendengar kuliah yang disampaikan oleh Tuan Hussain, pelajar membaca kitab-kitab yang ditulis oleh beliau sendiri. Mereka juga turut merujuk nota-nota yang disalin oleh pelajar terdahulu.

Terdapat 18 buah kitab yang dihasilkan oleh Tuan Hussain dan turut digunakan di seluruh Nusantara pada masa itu. Antaranya:

* al-Nur al-Mustafid fi Aqaid

Ahi al-Tauhid (1887)

* Tamrin al-Sibyan (1809)

* Hidayat al-Sibyan (1911)

* Hidayat al-Mutafakkirin (1918)

* Kasr al-Iksir (1920)

* Hidayat al-Talibin (1924)

* Tadrih al-Sibyan (1926)

Berdasarkan keampuhan ilmu agama yang dimiliki dalam bidang fikah, tauhid, dan tasawuf, beliau mendapat perhatian dari pihak Istana Perak. Tokoh ini mendapat undangan mengajar di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Selain itu, beliau juga telah menterjemah kumpulan hadis Jawahir al-Bukhari.

Terjemahan itu kemudiannya dibukukan dan dinamakan Tadzkir Qabail al-Qadhi (1923). Tokoh ini juga arif dalam ilmu al-Quran dan hadis, iaitu ilmu asas yang penting dalam Islam.

Sewaktu kecil, Tuan Hussain mendapat bimbingan agama daripada datuknya sendiri iaitu Muhamad Taib sebelum berangkat ke Patani dan berguru dengan Tuan Semela di Pondok Uala.

Beliau turut berguru di serata tempat termasuk di Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor dan Melaka sebelum menyambung pengajian di Mekah.

Ketika berada di Tanah Suci, Tuan Hussain mengambil kesempatan untuk berguru dengan ulama terkenal termasuk Tuan Syeikh Hasbullah, Tuan Syeikh Nawawi Bentan, Tuan Syeikh Ahmad Lingga, Tuan Syeikh Umar Sumbawa, Tuan Syeikh Muhammad Khafat dan Tuan Syeikh Umar Bali.

Di sana, Tuan Hussain bertemu dengan ramai sahabat, antaranya Tok Kenali, Haji Wan Sulaiman Sidi, dan Tuan Haji Yaakub Sik dari Kedah.

Sekembalinya dari Mekah kira-kira pada 1896, Tuan Hussain terus membuka pondok pengajian bagi memberi bimbingan kepada penduduk tempatan.

Antara murid-murid Tuan Hussain yang terkenal ialah Datuk Abdul Rahman Abdullah, Ismail Sulaiman, Omar Merbok, dan Ghazali Arshad. Tradisi ilmu yang diasaskan dan dibina oleh Tuan Hussain ini terus dikembangkan oleh murid-muridnya.

Selain itu, sebahagian institusi pondok yang diasaskan oleh Tuan Hussain masih kekal sehingga sekarang. Antaranya ialah Pondok Padang Lumat, Kedah dan Pokok Sena, Pulau Pinang.

BERPANDANGAN TEGAS

Tuan Hussain amat tegas dalam pendirian, terutama dalam perkara halal dan haram. Tokoh ini berpegang teguh kepada al-Quran dan hadis tanpa kompromi.

Pendirian yang sedemikian kadangkala kurang disenangi pihak pemerintah yang mahukan beliau bertolak ansur.

Antara pendirian beliau adalah mengharamkan sebarang bentuk perjudian sebagaimana tuntutan agama, manakala wang zakat mesti diterima oleh golongan yang berhak dan tidak boleh diagihkan sesuka hati.

Tetapi apabila hal berkenaan dijelaskan oleh Tuan Hussain berdasarkan kepada pegangan Islam, pemerintah dan rakyat dapat menerimanya.

Mulai saat itu, beliau sangat disegani dan dihormati dalam mengendalikan hal ehwal agama Islam.

Tokoh ini meninggal dunia pada tahun 1936 dalam usia 73 tahun.

Pada awalnya pihak istana Kedah berhasrat untuk mengebumikan jenazah Tuan Hussain di Makam Diraja Kedah yang terletak di Langgar. Bagaimanapun, Tuan Hussain telah mewasiatkan kepada isterinya, Mariam, supaya jenazahnya dikebumikan di tempat kelahirannya di Titi Gajah.

TUAN HUSSAIN KEDAH

l Dilahirkan pada 2 November 1863 di Titi Gajah, Alor Setar, Kedah

l Berasal daripada keluarga ulama Kalimantan

l Datuknya, Haji Mas’ud merupakan antara yang memainkan peranan penting membantu kerajaan Kedah dalam perang menentang Siam sebelum terkorban dalam perang tersebut

l Bapanya, Muhamad Taib mengambil keputusan untuk menetap di Kedah

l Meninggalkan kira-kira 150 relung tanah untuk anak cucunya dan ada antara tanah tersebut diwakafkan untuk tujuan dakwah