Keganasan dan kekejaman Daesh menyebabkan mereka berhadapan dengan musuh dari semua sudut, sama ada pemerintah, kumpulan pemberontak lain, golongan Sunni, Syiah dan bukan Islam.

Ramai yang mengharapkan konflik dan peperangan ini segera berakhir tetapi pandangan dan analisis pakar menunjukkan ia tidak akan berakhir walaupun Daesh dapat dikalahkan.

Ini dirumuskan antaranya berdasarkan beberapa perkara berikut:

1. Daesh sedang merekrut generasi kedua militan dalam kalangan kanak-kanak. Berbanding latihan di Afghanistan sebelumnya yang merupakan ‘makmal latihan ketenteraan’, latihan kepada generasi kedua ini adalah ‘makmal peperangan sebenar’ iaitu menyediakan bakal militan dengan pengalaman dan latihan yang lebih baik. Indoktrinisasi dan latihan ini melahirkan militan yang lebih tegar, cekal, berpengalaman dan sanggup ‘mati syahid’.

2. Walaupun tersebar khabar angin bahawa Abu Bakar al-Baghdadi ditangkap, penangkapannya tidak menjejaskan Daesh kerana ‘khalifah baharu’ boleh dilantik semula. Daesh memiliki Majlis Syura, Majlis Syariah dan Majlis Keselamatan sebagai pentadbir dan proses pembuat keputusan pada peringkat atasan.

3. Di sebalik kekalahan semasa, Daesh didokong oleh military strategist, bekas pegawai kanan pasukan keselamatan Iraq, bekas ahli Parti Baath/pegawai kerajaan yang arif mengenai pelbagai keadaan di Iraq dan kaedah berjuang dalam jangka panjang.

4. Di sebalik serangan ke atas lokasi mereka, Daesh masih memiliki kelengkapan ketenteraan untuk berperang dalam tempoh lama berdasarkan senjata yang dibawa masuk dari negara lain serta rampasan senjata ke atas tentera Iraq dan Syria.

5. Situasi perang dalam bandar, perang antara zon, bangunan ke bangunan, lorong ke lorong, kewujudan penembak tepat yang tersorok, pemasangan jerangkap samar, dan kewujudan lorong bawah tanah yang ‘melambatkan’ sesebuah bandar raya ditawan seperti berlaku dalam kes Mosul.

6. Sebahagian hadis mengenai akhir zaman menyebabkan segelintir umat Islam percaya Daesh merupakan pendokong sebenar Imam Mahdi. Kajian menunjukkan 70-80 peratus umat Islam di pelbagai negara Islam percaya mereka ‘betul-betul berada pada akhir zaman’. Doktrin Mahdiyyin dan hadis bumi Sham yang diberkati dipercayai akan ‘terus menerima sambutan’ dalam kalangan umat Islam yang kurang arif mengenai kronologi dan tafsiran hadis akhir zaman.

7. Golongan Syiah di Iran, Iraq, dan Syria turut menunggu ‘Imam Mahdi versi mereka’. Kewujudan golongan Syiah ekstrim di Syria-Iraq yang bermusuhan dengan golongan Sunni di kedua-dua negara ini menyukarkan konflik ini menemui penghujungnya.

8. Daesh mempunyai sumber kewangan untuk ‘terus hidup’ berdasarkan sumber dalaman selain dibiayai penyokong mereka dari negara-negara Asia Barat.

9. Keadaan dalaman seperti korupsi yang membiak, diskriminasi atas nama mazhab, peminggiran puak/golongan tertentu, kewujudan pelbagai kumpulan separa militan dalam kalangan puak Sunni dan Syiah, ketidakstabilan sosial dan politik, dan isu puak Kurdish yang belum diselesaikan sukar menjadikan konflik ini berakhir dengan segera.

10. Seorang ulama Syria yang arif mengenai Daesh, Shaykh Muhammad al-Yacoubi menyatakan bahawa Daesh akan muncul semula dalam bentuk ‘jenama lain’ jika dikalahkan selagi ideologi terasnya tidak dikalahkan dan dibanteras.

11. Bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Leon Panetta menyatakan bahawa konflik itu boleh berterusan sehingga lebih 30 tahun.

12. Lebih 1,000 pakar keselamatan bersetuju bahawa peperangan di Syria-Iraq akan mengambil masa yang lebih panjang (setelah lebih 13 tahun berlangsung sehingga kini).

13. Pertembungan kuasa wilayah antara Arab Saudi dengan Iran dan kuasa dunia antara blok Amerika Syarikat dengan blok Rusia di Asia Barat belum menunjukkan ‘siapa pemenangnya’ dan penghujungnya.