Anugerah Global Living Legend itu merupakan penghormatan tertinggi kerajaan India kepada Kok Wing terhadap kepimpinan, kecemerlangan dan sumbangannya dalam bidang kepakaran akademik dan kemasyarakatan di seluruh dunia.

Anugerah itu disampaikan dalam satu majlis yang diadakan di New Delhi, India, baru-baru ini.

Unit Komunikasi Korporat Universiti Limkokwing berkata, Kok Wing terbukti berjaya menjadikan industri pendidikan dan dunia agar terus makmur melalui sumbangannya membantu belia dan pelajar dari seluruh dunia untuk mengembangkan bakat dalam bidang kreatif dan inovatif.

“Anugerah tertinggi ini dikurniakan sebagai pengiktirafan kerajaan India terhadap jasa serta sumbangan Kok Wing ke arah mengeratkan lagi hubungan strategik antara negara ke arah sebuah negara komuniti global yang boleh membantu dunia menjadi lebih aman dan stabil.

“Kok Wing diiktiraf di seluruh dunia kerana peranannya dalam pembangunan belia, pembasmian kemiskinan, mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang industri kreatif serta pembangunan perniagaan dan inovasi. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga telah menganugerahkan beliau sebagai Tokoh Kehormat PBB atas kejayaan kepemimpinan globalnya dalam menggalakkan keamanan dan pembasmian kemiskinan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, anugerah itu mengiktiraf pencapaian cemerlang dan peranan Kok Wing sebagai Penyelaras Program Khas Perdana Menteri Malaysia dan Duta Khas Malaysia ke Afrika.

The United States World Confederation of Businesses menamakan beliau sebagai Bapa Inovasi Afrika dan Peneraju Transformasi Pendidikan Afrika, selain menerima Grand Companion of O.R. Tambo daripada kerajaan Afrika Selatan.

Kok Wing menerima Pingat Kepimpinan Gemilang Order Mohlomi oleh Raja Letsie III dari Lesotho, manakala Korea Selatan mengiktiraf beliau sebagai Tokoh Pendidik Paling Berjaya di Asia.

China pula memberinya anugerah World Creative Master. sementara Pusat Kepimpinan Oxford United Kingdom (UK) menganugerahkan Kok Wing dengan Kepimpinan Sedunia dalam Inovatif Pendidikan dan Graduate School of Management London pula mengiktirafnya sebagai Pemikir dan Personaliti Asia Paling Kreatif.