Dia berasal dari puak Bani Hassan, yang berhijrah dari Palestin dan mempunyai sekitar 200,000 ahli dengan 12 suku. Ayahnya meninggal dunia pada tahun 1984, tahun yang sama beliau tercicir dari sekolah. Kehidupannya selepas itu memang bermasalah dan telah ditangkap sebanyak 37 kali oleh polis Jordan kerana melakukan pelbagai kesalahan.

Ibunya yang bimbang telah menghantar anaknya mengikuti kelas agama di Masjid Al-Hussein Bin Ali. Dia diperkenalkan kali pertama dan terpengaruh dengan fahaman Salafi Wahhabi ketika di masjid ini.

Pada usia 23 tahun (1989), dia dikenali sebagai seorang Muslim dengan penampilan Salafi Jihadi dan kemudiannya berangkat untuk menyertai pejuang Mujahidin menentang Soviet Union di Afghanistan.

Di Afghanistan, dia sedikit terlambat apabila tentera Soviet telah dikalahkan dan tertutupnya peluang berjihad.

Pada awalnya, dia tidak dipedulikan oleh Osama bin Laden dan hanya diberikan tugas sebagai penyunting newsletter Al-Qaeda.

Sepanjang di Afghanistan dan Pakistan, dia sempat menghadiri beberapa latihan ketenteraan, termasuk di Sada al-Malahim, yang dianggap sebagai Fort Dix kepada Al-Qaeda, sempat belajar agama di beberapa madrasah dan mewujudkan lebih banyak jaringan dengan militan Al-Qaeda serta mujahidin lain sebelum balik ke Jordan pada 1992.

Selepas tiba di Jordan, dia bergabung dengan Abu Muhammad al-Maqdisi yang ditemuinya sebelum ini di Hayatabad, Afghanistan dan menubuhkan kumpulan paramilitari (al-Tawhid) untuk menumbangkan kerajaan monarki Jordan.

Mereka membeli kelengkapan senjata yang ditinggalkan tentera Iraq dalam Perang Teluk Pertama di Kuwait dan merancang siri pengeboman terhadap kerajaan Jordan dan organisasi Barat di Amman.

Pada Mac 1994, Agensi Perisikan Jordan (Mukhabarat) menyerbu rumahnya dan menjumpai sejumlah senjata, kedua-duanya dikenakan hukuman penjara selama 15 tahun di sebuah gurun di Swaqa. Di dalam Penjara, fahaman Salafi Wahabinya semakin berkembang, menjadi lebih ekstrem dan kejam, apatah lagi dibimbing oleh Abu Muhammad al-Maqdisi.

Dia juga mengembangkan pengaruhnya dalam penjara dengan merekrut militan baharu. Apabila Raja Abdullah II diangkat sebagai Raja Jordan pada 7 Februari 1999, sekitar 3,000 banduan diberikan pengampunan pada Mac 1999, termasuk mereka berdua.

FAKTOR PENGLIBATAN

Berdasarkan kisah ringkas pengasas Daesh ini dan kajian pengganas khususnya, pengkaji ekstremis agama dan pengganas merumuskan beberapa perkara, antaranya:

  • Faktor utama yang mendedahkan seseorang menjadi pengganas (vulnerabilities) adalah masjid, surau, madrasah, pesantren, usrah dan media yang mempromosi serta menyemai fahaman Salafi Wahabi. Tangkapan ke atas ahli Jemaah Islamiah di Malaysia dan Indonesia serta latar belakang pengebom bunuh diri di Indonesia menunjukkan Salafi Wahabi merupakan ideologi utama pengganas-pengganas ini.
  • Agensi keselamatan negara perlu memantau kesemua institusi berkenaan di Malaysia yang mempromosikan fahaman ini. Dalam masa yang sama, pemantauan terhadap pelajar di Malaysia yang belajar di beberapa buah pusat pengajian berupa madrasah atau universiti di Afghanistan, Pakistan, India dan Arab Saudi yang dikenalpasti sebagai pusat penyebaran fahaman ekstrem ini amat diperlukan. Setakat ini, enam buah negeri di Malaysia sudah mengeluarkan fatwa menyekat dan mengharamkan penyebaran fahaman Salafi Wahabi di negeri masing-masing.
  • Latihan dan pengalaman ketenteraan juga merupakan faktor utama membolehkan seseorang menjadi pengganas. Ini terbukti apabila sebahagian rakyat Malaysia yang menyertai perang di Afghanistan pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ahli-ahli Jemaah Islamiah dan Kumpulan Militan Malaysia yang ditahan juga mempunyai latihan dan pengalaman ketenteraan.
  • Dalam kes tangkapan suspek pengganas Daesh di Malaysia sejak 2013, sebahagian yang ditangkap merupakan anggota tentera dan polis (yang memiliki latihan ketenteraan).
  • Sebahagian besar generasi pertama kumpulan pengganas berkaitan Al-Qaeda dan Daesh, di Timur dan Barat merupakan bekas pejuang di Afghanistan, Pakistan, Chechnya dan Bosnia.
  • Generasi ini mengalihkan sasaran mereka ‘untuk berperang’ ke negara masing-masing selepas berperang di negara-negara tersebut.
  • Pemantauan ke atas rakyat Malaysia dan orang asing memasuki Malaysia yang pernah belajar atau berperang di negara-negara ini amat penting.
  • Kejahilan dalam agama merupakan faktor penting menjerumuskan seseorang menjadi pengganas. Sebahagian besar suspek militan Daesh di Malaysia merupakan mereka yang jahil dalam agama dan mencari jalan mudah untuk ‘berjuang dan mati syahid’.
  • Ibu-bapa bertanggungjawab mendidik anak-anak dengan didikan agama yang betul.
  • Pemimpin kumpulan pengganas mengeksploitasi kejahilan pengikut mereka dengan menanam konsep jihad yang salah dan membina ketaksuban dalam kalangan ahli.
  • Kajian menunjukkan ketaksuban masyarakat kepada tokoh agama tertentu adalah berbahaya kepada keselamatan negara untuk jangka panjang.
  • Ketaksuban menyebabkan pengikut tidak mahu menerima pandangan luar dan hanya menerima pandangan tokoh mereka sahaja serta bertindak berdasarkan arahan tokoh agama tersebut.
  • Kumpulan pengganas membeli kelengkapan senjata dalam pasaran gelap untuk diseludup dan digunakan di negara mereka. Ini berlaku dalam kes Daesh di Malaysia yang membeli senjata, bom di negara jiran dan dibawa masuk ke Malaysia serta kes Abu Sayaf di Filipina.
  • Penjara boleh menjadikan seseorang lebih ganas atau semakin baik dan juga menarik mereka yang bukan pengganas menjadi pengganas.
  • Tindakan kerajaan Malaysia menempatkan militan Daesh di penjara khas amatlah dialu-alukan.
  • Seseorang yang dibesarkan dalam ‘keadaan bermasalah’ dan ‘keluarga bermasalah’ merupakan antara faktor yang mendedahkan seseorang menjadi pengganas. Ini terbukti dalam banyak kes di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.