Program anjuran Royal Guest House dan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa pihak termasuk Mahsuri Travel&Tour Sdn. Bhd. dan Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi).

Ketua Pegawai Eksekutif Royal Guest House, Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud berkata, program berkenaan bermula seawal pukul 7 pagi melibatkan kerja-kerja melapah, memotong dan menimbang daging.

Beliau berkata, golongan wanita turut membantu bergotong-royong melaksanakan kerja-kerja rewang untuk jamuan makan kepada penduduk setempat.

“Menerusi program ini, kita turut bergotong royong memasak lima ekor lembu untuk dijamu kepada kira-kira 700 orang.

“Manakala, selebihnya daging korban itu diagihkan kepada 270 asnaf dan golongan miskin di sekitar daerah Tumpat,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kemudi, Rosmiza Kasim dan Pengurus Operasi Mahsuri Travel& Tour Sdn. Bhd., Mazita Yaakob.

Raja Rusmin berkata, pihaknya berharap program sebegini dapat diteruskan di masa hadapan bagi membantu mereka yang memerlukan untuk turut merasa kemeriahan sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Kita akan berusaha mendapatkan lebih banyak kerjasama daripada pelbagai pihak bagi menjayakan program ini di masa akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE