Banyak pandangan diutarakan mengenai perkahwinan bawah umur tersebut yang mempunyai implikasi berbeza kepada masyarakat. Sebagai seorang peguam yang beramal di mahkamah sivil dan syariah eloklah saya nyatakan di sini kedudukan undang-undang yang berkuat kuasa ketika ini bagi memberi gambaran sebenar isu ini. Selepas itu saya akan menganalisis pandangan-pandangan yang dikeluarkan bagi tujuan mencari penyelesaian sebenar kemelut ini.

Ketika ini undang-undang sama ada yang terpakai kepada orang Islam atau bukan Islam tidak membenarkan kanak-kanak lelaki bawah 18 tahun dan kanak-kanak perempuan bawah 16 tahun berkahwin.

Undang-undang umum ini termaktub dalam Undang-Undang Keluarga Islam negeri-negeri dan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Walaupun begitu kedua-dua set undang-undang tersebut memberi pengecualian kepada kanak-kanak bawah umur tersebut (lelaki dan perempuan) iaitu boleh berkahwin jika mendapat kebenaran dari mahkamah syariah (Islam) dan menteri besar/ketua menteri (bukan Islam).

Oleh itu tidak keterlaluan jika dikatakan perkahwinan bawah umur hanya merupakan pengecualian kepada undang-undang umum sahaja.

PELBAGAI CADANGAN

Akibat polemik yang ditularkan itu timbul pelbagai cadangan oleh banyak pihak yang boleh saya simpulkan kepada:

1. Mengharamkan secara total perkahwinan bawah umur sama ada had umur yang dilaksanakan ketika ini atau dinaikkan.

2. Menaikkan had umur untuk berkahwin dan mengekalkan pengecualian boleh diberikan oleh mahkamah syariah dan menteri besar/ketua menteri

3. Mengekalkan undang-undang yang ada ketika ini dengan memperketat prosedur.

Cadangan drastik yang mahukan pengharaman total perkahwinan bawah umur ini adalah selari dengan tuntutan antarabangsa. Terdapat banyak konvensyen antarabangsa yang mendesak supaya kanak-kanak bawah 18 tahun tidak dibenarkan berkahwin. Alasan yang diberikan adalah bagi memastikan mereka menumpukan perhatian kepada pelajaran. Dari sudut kesihatan pula, kanak-kanak yang terlalu muda mungkin belum bersedia melahirkan kandungan dan boleh membawa risiko maut.

Secara asasnya saya nampak ada kewajarannya desakan ini dinilai, namun apabila diteliti dengan terperinci cadangan ini mungkin tidak dapat mencapai matlamatnya.

Hal demikian disebabkan jika kita ingin meminda suatu undang-undang kita hendaklah memfokuskan beberapa perkara penting iaitu:

1. Apakah masalah yang 
dihadapi?

2. Apakah cadangan bagi mengatasi masalah tersebut?

3. Adakah cadangan tersebut dapat menyelesaikan masalah yang dibangkitkan?

MASALAH BERBANGKIT

Pada pandangan saya masalah dihadapi kanak-kanak bawah umur yang berkahwin mungkin terpaksa mengabaikan pelajarannya dan menghadapi risiko kesihatan serta kurangnya pengetahuan membina keluarga.

Namun begitu saya tidak berpendapat mengharamkan perkahwinan bawah umur secara total dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi. Malah ia mungkin akan mendatangkan masalah lain pula.

Hal ini disebabkan jika Malaysia mengharamkan perkahwinan bawah umur, mereka yang masih mahu berkahwin dengan kanak-kanak bawah umur akan pergi berkahwin di negara jiran yang mempunyai undang-undang sangat longgar.

Akibatnya selepas perkahwinan tersebut pasangan ini enggan mendaftar perkahwinan mereka di Malaysia walaupun mereka bersekedudukan sebagai suami isteri.

Apa akan jadi jika si isteri mengandung dan melahirkan anak?

  • Anak tersebut tidak dapat didaftarkan dan nasab anak itu boleh dipertikai.
  • Perkara yang lebih menyedihkan jika berlaku keganasan rumah tangga atau mereka bercerai, hak mereka khususnya isteri tidak diiktiraf oleh undang-undang di Malaysia.
  • Dalam keadaan ini isteri akan menanggung azab dan kezaliman yang amat sangat.

ALTERNATIF TERBAIK

Saya lebih condong agar undang-undang yang ada sekarang dikekalkan. Saya juga boleh berkompromi jika had umur perkahwinan dinaikkan ke 18 tahun tetapi pengecualian dikekalkan. Apa yang penting ialah pihak berwajib perlu menggarap mekanisme ataupun panduan kepada hakim-hakim syariah atau menteri besar/ketua menteri dalam keadaan manakah kebenaran boleh diberikan.

Antaranya:

1. Hakim syarie atau menteri besar/ketua menteri perlu mengambil kira faktor pelajaran, kesihatan, kebajikan, nafkah dan kepentingan kanak-kanak bawah umur semasa membuat keputusan memberikan kebenaran tersebut.

2. Pakar perubatan, pegawai kebajikan masyarakat, ahli psikologi dan pihak berkepentingan diminta memberikan pandangan mereka semasa pendengaran permohonan tersebut.

3. Bagi mahkamah syariah saya percaya permohonan ini akan dibicarakan sebelum hakim syarie memutuskan sama ada memberi kebenaran berkahwin atau sebaliknya. Tetapi saya tidak pasti bagi orang bukan Islam bagaimanakah kebenaran ini diberikan oleh menteri besar/ketua menteri kerana saya tidak pernah mengendalikan kes sebegini.

4. Suatu garis panduan boleh juga dibuat apabila mahkamah syariah atau menteri besar/ketua menteri memberikan kebenaran mereka berkaitan dengan pelajaran, nafkah, tanggungjawab dan pelbagai perkara bagi memastikan kanak-kanak bawah umur tersebut dijaga kebajikan walaupun telah berkahwin.

PERANAN GOLONGAN DEWASA

Peranan ibu bapa, mentua, penjaga amat penting dilibatkan kerana mereka bukan hanya berperanan ketika memohon kebenaran berkahwin sahaja tetapi lebih penting setelah kanak-kanak bawah umur tersebut berkahwin.

Oleh itu, saya berpendapat undang-undang yang ada sekarang boleh dikekalkan tetapi pengawalan dibuat dari sudut bagaimanakah pihak berwajib memberikan kebenaran. Dengan cara ini pasangan yang ingin berkahwin ini tidaklah akan lari ke negara jiran untuk menghalalkan hubungan mereka.

Perbandingan yang sangat jelas boleh dilihat apabila undang-undang poligami di Malaysia dikatakan terlalu ketat sehingga ramai yang mengambil keputusan melangsungkan pernikahan mereka di negara jiran. Malah sindiket pernikahan di negara jiran ini sudah menjadi seperti suatu perniagaan yang sangat laris.

Bila menggubal suatu undang-undang kita perlu membendung masalah yang dihadapi hingga ke akar umbinya. Tidak guna jika mempunyai undang-undang yang terlalu ideal tetapi ia tidak dapat menghapuskan masalah yang dihadapi.