Dekan Fita, Datuk Prof. Dr. A. Razak Mohaideen berkata, acara tahunan itu akan diraikan secara besar-besaran dengan menghimpunkan alumni Fita sejak tahun 1998.

“Minggu KaryaOne menjadi platform kepada pelajar dan alumni untuk mempamerkan bakat dan hasil seni kreatif dan inovatif mereka.

“Pada tahun ini, ia diadakan sempena dengan meraikan sambutan ulang tahun Fita yang ke-20 dan bakal menghimpunkan lebih daripada 2,000 alumni Fita,” katanya dalam Majlis Prapelancaran Minggu KaryaOne Bersama Alumni 2017 dan Konsert Emoji, baru-baru ini.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Datuk Prof. Dr. Abdullah Mohamad Said.

Konsert itu bakal menampilkan artis-artis terkenal seperti Anuar Zain, KRU, Faizal Tahir, Akim & The Majistret serta Usop Mentor Millenia.

Razak berkata, selain membuka ruang kepada pelajar untuk diperkenal dengan penggiat seni industri kreatif tanah air, minggu ini juga membantu pelajar dalam menguruskan acara majlis.

Sementara itu, Ketua Pengarah Minggu KaryaOne 2017 yang juga pengarah teater terkenal, Norzizi Zulkifli berkata, KaryaOne merupakan minggu yang meraikan karya terbaik pelajar Fita.

“Pelajar dan pensyarah akan bergabung tenaga menganjurkan Malam Gala KaryaOne Bersama Alumni 2017, Malam Promosi Filem Badang, Wacana Seni, Animation Kingdom, Pameran Fotografi Nostalgia Fita, Tayangan Filem Pendek, Mini Karnival.

“Malam anugerah Fita KaryaOne Awards pula adalah acara kemuncak, yang mana hasil kerja pelajar Fita akan dipertanding.

“Karya mereka dinilai dan diiktiraf pada peringkat universiti dan industri,” katanya.

Norzizi menambah, pada tahun ini Anugerah Ikon Fita akan diperkenal bagi menghargai sumbangan alumni dalam industri seni tanah air.

MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK

[email protected]