Itu antara bicara pembuka yang saya lontar kepada para pelajar Darul Quran (DQ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ketika berkongsi pengalaman ‘orang tua’ dalam bidang Tahfiz al-Quran.

Pada 8 Ogos lalu, saya dijemput ke DQ, Kuala Kubu Bharu, Selangor untuk berkongsi pengalaman dengan tajuk Cabaran Huffaz Kontemporari.

Ia antara pengisian sempena Ekspo Istiadat Konvokesyen DQ Jakim kali ke-27.

Benar! Penghafaz al-Quran memiliki status elit sebagaimana sabda Nabi:

“Allah punyai ramai manusia pilihan-Nya.” Para sahabat bertanya: “Siapa mereka itu?” Baginda jawab: “Mereka adalah ahli al-Quran (para penghafaz al-Quran atau orang yang mendalami dan menghayatinya). Mereka adalah manusia pilihan Allah (Ahlullah) yang sangat istimewa,” - Sunan Ibn Majah dan Musnad Ahmad.

Sayidina Umar r.a. turut mengiktiraf status elit golongan ini:

“Pada suatu hari, Nafi’ bin Abd al-Harith bertemu dengan Khalifah Umar di ‘Usfan. Ketika itu Nafi’ dilantik sebagai wakilnya di Mekah. Umar bertanya kepada Nafi‘: Siapa yang menggantikanmu di Mekah? Jawab Nafi’, Ibnu Abza. Tanya ‘Umar, Siapa Ibnu Abza?” Jawab Nafi’, “Seorang bekas hamba kami.”

“Tanya Umar, kamu harapkan seorang bekas hamba? Jawab Nafi‘: “Dia seorang ahli mengenai Kitabullah dan alim tentang ilmu faraid (ilmu tentang pembahagian pusaka). Kata Umar: Benar! Nabi SAW pernah bersabda, sesungguhnya Allah memuliakan suatu kaum dengan kitab ini (al-Quran) dan menghinakan yang lain,” - Sahih Muslim.


CABARAN PERLU DITEMPUHI

Bunyi status elit tampak hebat, begitu juga dengan cabarannya. Sebagai abang tua yang sudah 24 tahun dengan al-Quran saya simpulkan empat cabaran para penghafaz al-Quran moden:

1. Pengurusan masa

  • Perkembangan teknologi moden menyebabkan banyak masa pelajar tahfiz terbuang dengan benda remeh seperti ketagihan media sosial, gajet dan sebagainya.
  • Kegagalan mengurus masa punyai kesan berantai yang lebih parah iaitu kurang masa mengulang kaji hafazan dan lupa al-Quran yang dihafaz. Ini sebabnya Allah menggandingkan perkataan “masa dan rugi” dalam surah “Masa” (al-‘Asr 103:1 & 2).
  • Saya cadangkan semua pelajar tahfiz agar membaca buku hebat bertajuk ‘Nilai masa di sisi ulama’ karya Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah (yang mengisahkan kesungguhan ulama menjaga masa) sebagai cara mengejutkan mereka daripada ‘lena buang masa yang panjang’.

2. Menjaga akhlak ahli Quran

  • Akhlak adalah ‘pakaian jiwa wajib peraga’ semua Muslim terutama para penghafaz al-Quran. Penghafaz al-Quran wajib selalu harum dengan akhlak al-Quran. Jika mereka gagal menghias diri dengan akhlak al-Quran mana mungkin orang awam mampu tertarik dengan isi al-Quran?
  • Dimensi akhlak juga perlu diperluas dalam segenap sudut kecil dan besarnya. Antara akhlak buruk ‘wajib hindar’ pelajar tahfiz adalah pengotor, suka buang sampah, tidak menepati masa dan malas menghayati isi al-Quran yang dihafaz. Bahkan generasi huffaz sahabat sangat mengutamakan aspek akhlak.

3. Pemikiran dan pengisian diri sebagai persiapan hadapi masa hadapan serba mencabar

  • Pelajar tahfiz perlu berfikiran terbuka dan sedia belajar benda baharu kerana mereka memegang panji al-Quran.
  • Pemegang panji al-Quran perlu miliki daya berfikir kelas pertama kerana mereka adalah arkitek ummah yang bakal mencorak acuan umat Islam dengan roh al-Quran.
  • Tanpa pemikir luar biasa dalam kalangan elit al-Quran, kitab suci ini hanya dilihat statik sebagai kitab bacaan untuk pahala tadarus Ramadan, bacaan rutin malam Jumaat dan penghalau jin jembalang sahaja.
  • Harapan melihat al-Quran menjadi pelonjak tamadun Islam juga boleh jadi kabur. Oleh itu, aspek pemikiran dan pengisian ilmu silang bidang saya sifatkan nyawa utama generasi al-Quran.

4. Cabaran menjaga hafazan al-Quran supaya tidak lupa

  • Al-Quran yang dihafaz disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai unta liar yang wajib ditambat. Tambatan itu adalah kiasan kepada usaha mengulang kaji berterusan seumur hidup: “Perumpamaan para penghafaz al-Quran adalah seperti unta yang ditambat. Sekiranya dia berterusan menambatnya unta itu dapat dipegang dan sekiranya unta itu dilepaskan maka ia akan lari meninggalkan tuannya…. apabila penghafaz al-Quran bangun solat dan membacanya pada waktu siang dan malam, dia akan mengingati (hafazannya), manakala jika dia mengabaikannya, dia akan lupakan hafazannya,” - Sahih Bukhari dan Muslim.
  • Lupa al-Quran yang pernah dihafaz termasuk antara musibah agama yang wajib dihindari. Firman Allah:
“Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sebarang kesusahan (atau bala bencana), maka ia berpunca daripada apa yang kamu lakukan (seperti perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa kamu,” (al-Syura 42:30).
  • Ketika menghuraikan ayat ini, seorang Tabiin bernama al-Dhahhak berkata:
“Musibah apa lagi yang paling besar berbanding lupa al-quran (yang pernah dihafaz)?,” (Tafsir Ibn Kathir).


PUNCANYA KERANA MALAS!

Pendek kata masalah ini berpunca daripada sikap pelajar tahfiz yang tiada disiplin, malas dan suka membuang masa.

Penulis berpendapat langkah bijak perlu diambil pada tahap individu, organisasi tahfiz dan kerajaan bagi menangani empat cabaran tersebut supaya kita benar-benar memenuhi status elit kurniaan Allah.

Menutup rencana kali ini saya utarakan satu firman Allah SWT yang sangat kena dengan status pelajar tahfiz. Semoga semua pelajar tahfiz di Malaysia kekal elit dalam kumpulan ketiga firman Allah ini:

“Kemudian Kami wariskan al-Quran itu kepada orang yang Kami pilih dalam kalangan hamba Kami; maka antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (tidak mengendahkan al-Quran), dan ada yang bersikap sederhana, dan ada juga yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (daripada Allah semata-mata),” (Fatir 35:32).