Itu antara dialog ‘malang’ diucapkan sesetengah jemaah haji yang selesai menunaikan haji. Habis sahaja musim haji, peluang ibadah yang menjanjikan pahala berganda diabaikan seolah-olah Mekah hanya sebuah destinasi pelancongan biasa.

Mereka ini seumpama seorang tukang masak yang bertungkus lumus, berhabis masa dan harta menanam sayur, menternak ayam, menyedia bahan dan memasak hidangan terbaik untuk dimakan.

Setelah hidangan siap dihidangkan ia tidak pula dimakan. Hidangan yang disediakan bermandi peluh dan keringat dibiarkan basi atas meja tanpa manfaat, sedangkan terdapat ramai manusia lain yang merintih kelaparan.


Adakah solat di mana-
mana bahagian Tanah Haram Mekah ‘sama pahalanya’ 
dengan solat dalam Masjidilharam? Isu ini 
memang dibincangkan 
oleh ulama:

1. Ada berpandangan bahawa gandaan pahala sebanyak 100,000 hanya khusus untuk solat dalam Masjidilharam yang punyai bangunan Kaabah sahaja.

2. Ada juga ulama berpandangan janji pahala itu meliputi seluruh tanah haram Mekah dan bukan hanya Masjidilharam.


TITIK PERBEZAAN PANDANGAN

Janji pahala 100,000 berpandukan sabda Rasulullah SAW:

“Jabir r.a. berkata Rasulullah SAW pernah bersabda “Solat di Masjidku ini (Masjid Nabawi) lebih baik daripada 1,000 solat di masjid lain, melainkan solat di Masjidilharam kerana solat di Masjidilharam lebih baik daripada 100,000 solat di masjid selainnya,” - Musnad Ahmad dan Sunan Ibn Majah.

Titik perbezaan kedua-dua pandangan adalah ketika mentafsirkan perkataan Masjidilharam dalam hadis ini dan beberapa ayat lain (al-Ma’idah 5:95, al-Taubah 9:28).

  • Ulama mengatakan janji pahala itu khusus kepada bangunan Masjidilharam yang bersatu dengan binaan Kaabah memakai zahir hadis di atas.
  • Ulama yang meluaskan janji pahala kepada seluruh Tanah Haram memahami perkataan Masjidilharam merujuk kepada seluruh Tanah Haram.

Benar! Kita perlu hormati kedua-dua pandangan tersebut, namun penulis suka membawa perbincangan kepada sudut sentimental lain.

Masjidilharam yang berkongsi bangunan dengan Kaabah tidak mungkin kita temui di Shah Alam, Kuala Ketil, Kota Bharu, Putrajaya, Kangar, Sandakan, Miri, Seremban, Ayer Keroh, Kubang Kerian, Simpang Renggam, Marang, Sri Manjung atau di mana sahaja di dunia.

Ia ditakdirkan Allah sejak azali berada di Mekah. Lokasinya bukan pilihan Nabi Ibrahim a.s. sebaliknya atas panduan Allah:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun dengan-Ku, dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang yang tawaf, orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang),” (al-Hajj 22:26).

Peluang untuk menjejak kaki ke dalam bangunan Masjidilharam sangat eksklusif. Mereka ini adalah tetamu Allah menurut sabda Rasulullah SAW:

“Tetamu Allah itu ada tiga kumpulan; orang yang berperang (pada jalan Allah), para jemaah haji dan orang yang mengerjakan umrah,” - Sunan Nasa’i dan Sunan Ibn Majah.
KENAPA ENGGAN BERSYUKUR?

Bayangkan dalam jutaan Muslim seluruh dunia, hanya kita dijemput Allah untuk sampai ke Mekah sebagai tetamu-Nya. Tambahan pula, magnet utama yang menarik umat Islam seluruh dunia ke Mekah adalah Kaabah yang dilokasikan Allah dalam Masjidilharam, bukan bangunan hotel di sekeliling Mekah.

Rasa rindu untuk ke Mekah juga berkait rapat dengan bangunan Kaabah sebagaimana doa yang dilafazkan Nabi Ibrahim a.s. ribuan tahun dahulu:

(Nabi Ibrahim a.s. berdoa) “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya.

“Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikan hati sebahagian manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur,” (Ibrahim 14:37).

Aduhai rugi sungguh para tetamu Allah yang sampai ‘secara fizikal’ ke sana tetapi malas melangkah kaki untuk hadir solat berjemaah ‘dalam’ Masjidilharam dengan berbagai alasan seperti jauh dan panas!

Bagi penulis, pandangan kedua yang menyebut pahala 100,000 juga terpakai untuk solat di Tanah Haram lebih sesuai bagi orang Malaysia yang uzur dan tak mampu melangkah kaki ke Masjidilharam.

Bagi yang sihat segar bugar, kobarkan semangat anda untuk melawan jarak dan panas bagi mengejar pahala 100,000 solat dalam Masjidilharam.

Rebut pahala yang sangat khusus ini sebagaimana sesetengah jemaah yang sanggup berjihad melawan jarak dan panas membeli belah di serata Mekah.

Percayalah! Pahala jihad mengatur langkah ke Masjidilharam jauh lebih besar berbanding jihad beli belah. Hayatilah sabda Rasulullah SAW ini:

“Apabila seorang lelaki berwuduk dengan wuduk sempurna, kemudian keluar untuk menunaikan solat (di masjid) tanpa terpesong ke tempat atau urusan lain, setiap langkahnya menjadi sebab Allah angkat darjatnya serta menghapus daripadanya satu kesalahan,” - Sunan Tirmizi.

Dalam sebuah kisah, Bani Salamah yang tinggal agak jauh dari Masjid Nabawi berhasrat untuk pindah berhampiran masjid itu agar cepat mereka sampai untuk solat jemaah. Selepas dinyatakan hasrat itu, Baginda SAW menegur bahawa setiap langkah mereka ditulis sebagai pahala. Semakin panjang langkah mereka ke masjid, semakin panjanglah senarai pahala mereka,” - Sunan Tirmizi, Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim.

Berikutan kisah itu, Allah turunkan ayat ini:

“Sesungguhnya Kami menghidupkan orang yang mati, “dan Kami tulis segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan tapak kaki (perkataan dan perbuatan) yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) setiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu suratan) yang jelas nyata,” (Yasin 36:12).

Peluang sampai ke Mekah dan mencium udara Masjidilharam berkiblatkan bangunan Kaabah adalah peluang keemasan yang tiada galang ganti.

Jangan jadi ‘Haji Miskin Pahala’ walaupun sebenarnya mampu mengumpul pahala mudah bernilai tinggi di bumi Mekah.

Manfaatkan peluang ketika masih ‘direzekikan’ Allah untuk berada di sana. Jangan sampai ia menjadi kenangan sesalan selepas pulang ke tanah air kelak.