Ekoran perbezaan pendapat dalam menguruskan negara dan hal ehwal umat Islam ketika itu, puak Khawarij mewujudkan fahaman bidaah pertama yang lahir dalam kalangan umat Islam.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, puak Khawarij menjadikan perbezaan pendapat sebagai satu akidah dan kemudiannya membentuk sebuah fahaman yang jauh menyimpang daripada fahaman Islam sederhana yang menjadi pegangan Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ).

Katanya, kelahiran dan bahaya pemikiran yang diwujudkan oleh puak Khawarij telah diperingatkan oleh Baginda Nabi SAW dalam beberapa hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad.

Beliau berkata, seorang yang digelar Zulkhuwaisirah atau Harqus Zuhair adalah orang Khawarij pertama melakukan penderhakaan dalam Islam apabila mendakwa pembahagian harta yang dikirimkan oleh Sayidina Ali k.w. dari Yemen adalah tidak adil.

Jelasnya, krisis politik dalam kalangan umat Islam bermula dengan kelahiran puak Khawarij pada tahun 37 Hijrah apabila sebahagian daripada pengikut Sayidina Ali membantah keputusan sepupu Rasulullah SAW itu menerima tahkim atau perdamaian dengan Muawiyyah, seterusnya menuduh Ali melakukan dosa besar dengan menerima hukum manusia dan menolak hukum Allah.

“Malah puak Khawarij bertindak dengan lebih jauh dengan mengafirkan Sayidina Ali dan menghalalkan darah beliau kerana telah melakukan dosa besar. Antara prinsip penting yang diperjuangkan oleh puak Khawarij adalah wajib memerangi mana-mana pemerintah yang zalim.

“Namun begitu, puak Khawarij melabel dan menggunakan istilah pemerintah zalim tersebut kepada sesiapa sahaja yang tidak bersependapat dan tidak bersama dengan mereka. Pemikiran seperti ini sangat berbahaya kepada akidah dan perpaduan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja ‘Bahaya Pemikiran Khawarij Dalam Konteks Kenegaraan Malaysia’ sempena Simposium Siyasah Syariyyah 2018 -Dalam Konteks Peradaban Politik Masa Kini, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Tan Sri Othman Mustapha.

Yang turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, Datuk Dr. Sidek Baba dan Timbalan Yang Dipertua Yadim, Mohd. Zaidi Ramli.

TRAGEDI SEPANJANG ZAMAN

Mengulas lanjut, Wan Zahidi berkata, Khawarij bukan satu fenomena yang lahir pada masa tertentu dalam sejarah umat Islam, sebaliknya satu fenomena berterusan sepanjang zaman.

Menurutnya, perkara tersebut telah diperingatkan oleh Nabi Muhammad bahawa puak ini akan keluar secara berterusan sehingga yang terakhir daripadanya akan keluar bersama Dajal.

Jelasnya, orang yang menganut pemikiran seperti itu akan terus lahir dari semasa ke semasa dan benih-benih mereka akan berada secara berterusan dalam sulbi-sulbi lelaki dan rahim-rahim perempuan.

Tegasnya, golongan tersebut akan hadir dalam pelbagai bentuk, nama dan simbol dengan membawa kefahaman sendiri terhadap al-Quran dan sunah, jelas sekali bertentangan dengan kefahaman jumhur ulama.

“Maka timbulnya puak Daesh yang menyeru ke jalan salah pada masa ini, malah melakukan keganasan termasuk membunuh umat Islam yang dilihat berbeza pendapat dengan mereka.

“Selain itu, pengisytiharan penubuhan negara khalifah yang dibawa oleh Daesh dilihat telah melanggar beberapa prinsip utama dalam pegangan ASWJ iaitu kewajipan taat kepada pemimpin dan cuba menghalalkan pertumpahan darah sesama Islam. Kedua-dua tersebut merupakan asas utama bagi ajaran Khawarij,” katanya.