Walau apapun yang tergambar dalam layar pemikiran, namun bagi Mohd. Razali Talib, 43, yang berasal dari Kampung Baru Kuala Lumpur, ikan bilis adalah penyambung talian hayat rezekinya sekeluarga.

Dikurniakan lima cahaya mata dan seorang daripada mereka, Amir Rasyidi kini berumur 13 tahun, mengidap penyakit Sindrom Down. Semua itu menjadi rencah dan adunan meneruskan kehidupan dengan produk yang diberi nama Ikan Bilis Crunchy keluaran MJR Rizqah Resources.

DARI PEJABAT KE DAPUR

Bermula di Kementerian Pertanian kemudiannya menjadi pekerja kontrak bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) hingga 2009. Pada waktu itu berbekalkan ilmu yang diwarisi daripada ibunya, Mohd. Razali mula berjinak-jinak memasak dan mengolah sendiri resipi sambal ikan bilisnya.

“Mak memang tak bagi saya sentuh dapur. Tapi kerana nak belajar saya perhati betul-betul sampai tahu semua bahan dan proses. Mak buat sambal yang basah dan agak berkuah. Dari situ saya olah dan jadikan dalam bentuk kering ala-ala serunding,” ujar Mohd. Razali menceritakan kisah dan inspirasi perniagaannya.

Setelah kontrak Mara tamat, Mohd. Razali dan rakan-rakan berpakat menubuhkan satu entiti perniagaan dalam perusahaan ayam. Namun, semacam telah menjadi satu adat yang mendukacitakan dalam kalangan peniaga sesama bangsa Melayu. Akhirnya rakan seperniagaan membuat onar menyebabkannya terpaksa berundur diri.

Bermula 2010, perniagaan sambal secara kecil-kecilan dimulakan. Bermodalkan RM500, sekitar 20 hingga 30 bungkus dapat disiapkan dalam masa seminggu untuk dijual.

“Kalau nak diikutkan, manalah cukup nak menampung perbelanjaan. Untung bersih sahaja lepas ditolak segala kos dan modal hanya sekitar RM1,000 sebulan. Akhirnya pada 2011, saya terpaksa berpisah dengan isteri pertama kerana masalah kewangan. Walaupun begitu, saya ambil keputusan anak-anak semuanya tinggal dan membesar dengan saya,” katanya.

Sejak itu, semua pekerjaan yang mampu dilakukan akan cuba diusahakan termasuk bekerja sebagai buruh kontrak di Kuala Lumpur.

Pada 2013, Mohd. Razali dipertemu semula dengan beberapa rakan dan menceburi bidang perniagaan emas sebagai ejen. Alhamdulillah pada waktu itu pendapatan kadangkala mencecah sehingga RM7,000 setiap bulan daripada hasil komisen jika berniaga ke luar negara.

Melihat ruang berniaga sendiri, percubaan itu tidak mendatangkan hasil. Akhirnya pada 2015, Mohd. Razali ‘kembali semula ke pangkuan sambal’ sebagai mata pencarian utama hidupnya.

“Pada tahun itu juga saya berkahwin dengan isteri kedua, Robiah Mohamad. Syukur beliau seorang yang sangat memahami. Meskipun pernah berjawatan sebagai pengurus di sebuah hotel, namun kini berhenti kerja dan membantu saya untuk fokus dengan perniagaan,” ujar Mohd. Razali memuji dan mensyukuri keadaan hidupnya.

Pada tahun itu, Mohd. Razali cuba mengembangkan modal niaganya dengan memohon bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Akhirnya setelah hampir 10 bulan, sejumlah RM2,000 ringgit diluluskan. Meskipun mengambil masa yang agak lama, Mohd. Razali tidak hanya menunggu. Ada sahaja kursus, seminar dan program-program keusahawanan dihadiri bagi menambah kualiti kendiri.

Kemudian pada 2017, pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pula menawarkan bantuan sebanyak RM4,000 sebagai modal tambahan. Beliau kemudiannya memohon premis kedai bagi membesarkan perniagaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, namun masih belum direzekikan hingga kini.

“Sejak itu, saya bertekad untuk meneruskan perniagaan dari rumah sahaja,” katanya.

Tatkala ditanya tentang usaha lain beliau mengembangkan perniagaan, Razali bekerjasama menerusi perniagaan secara maya dengan syarikat-syarikat yang mendominasi platform perniagaan dalam talian.

Selain itu, beliau juga disyaratkan untuk mendapatkan status halal oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Skim Persijilan Amalan Pengilangan Baik dan pendaftaran kod bar jika ingin meletakkan produknya di pasar raya terkemuka.

Namun semua itu tidak boleh diluluskan kecuali dengan mempunyai premis pengilangan lengkap dengan mesin pembuatan sempurna. Namun apakan daya, Mohd. Razali masih belum mampu menyediakan modal mencukupi dan semua itu masih lagi menjadi cita-cita serta impian untuk dicapai.

AZAN ASAR YANG MEMUGAR SEDAR

Meskipun Mohd. Razali tinggal di kawasan rumah flat di Taman Fadason, Kepong, namun kebersihan premis rumahnya begitu menakjubkan.

Saat kaki melangkah masuk ke dapur tempatnya beroperasi, menambahkan lagi kekaguman. Tersusun, bersih dan teratur semuanya. Paling ketara adalah lantai dapur yang sedikit pun tidak melekit meskipun kerja-kerja menggoreng dan menjemur bilis dilakukan di situ saban hari.

Apatah lagi kualiti produk dijaga dengan memastikan penggunaan minyak baharu setiap kali menggoreng bilis yang semuanya dipilih khas, dibersihkan dan dilanggan khusus dari Sabah demi memastikan kesegaran. Tidak hairanlah jika beliau terpilih menjadi Ikon Usahawan Asnaf 2018 oleh Baitulmal.

“Saya tidak mahu membuang masa dan peluang. Menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), saya mendaftarkan diri untuk mengikuti Pameran Produk Halal Sedunia. Alhamdulillah produk saya dapat perhatian negara besar seperti Jepun untuk dipasarkan di sana. Namun, kemampuan saya terhad. Mana mungkin dapur kecil ini mampu menerobos sempadan benua? Jika diberi peluang dan kemudahan, Insya-Allah saya bersedia,” katanya penuh keyakinan.

Sedang asyik berbicara, azan berkumandang. Amir Rasyidi yang dari tadi leka bermain sendiri tiba-tiba bingkas bangun lalu ke bilik air mengambil wuduk dan segera menunaikan solat asar.

Subhanallah, begitu sahaja Allah menitipkan sedar dan mengetuk benak. Benarlah, keberkatan rezeki dan kebaikan kedua-dua orang tua amat hebat kesannya. Setelah meminta izin pulang, bungkusan sambal yang dibeli seolah-olah melambai selera. Peluang mencicip keenakan rasa sambal tidak dipersia-sia.

Benar, tiada rasa hanyir, kurang berminyak dan rasa masin yang lembut dan sekata membuatkan semakin tidak sabar untuk menikmatinya bersama sepinggan nasi panas di rumah. Buat Mohd. Razali, semoga cita-cita dan impian akan bertemu kejayaan.

Mohd. Razali boleh dihubungi pada talian 018-366 8847