Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Ibadah korban bersama mualaf

PARA peserta bergotong-royong memotong dan melapah daging korban. 3
PARA peserta bergotong-royong memotong dan melapah daging korban.

AIDILADHA adalah perayaan istimewa bagi umat Islam dalam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya, Nabi Ismail a.s. mentaati perintah Allah SWT selain umat Islam yang berkemampuan menyempurnakan Rukun Islam kelima, ibadah haji.

Mengambil semangat itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Majlis Ibadah Korban Bersama Saudara Muslim, Minoriti Islam Rohingya dan Melayu Champa bertempat di Kompleks Darul Hidayah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Program yang mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) itu dihadiri seramai 300 saudara Muslim terdiri daripada kaum Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh, Indonesia, Kemboja dan Filipina.

Sebanyak lima ekor lembu dan empat ekor kambing disumbangkan oleh para dermawan kepada Perkim untuk dikorbankan serta diagihkan kepada saudara Muslim.

Program dimulakan dengan solat tahajud dan disusuli dengan solat subuh berjemaah di Surau Perkim, Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur. Sejurus itu, sebahagian peserta dan urus setia dibawa ke Ladang Agro Batu 8½, Gombak, Selangor bagi melihat sendiri haiwan korban disembelih, sekali gus bergotong-royong memotong dan melapah daging.

Daging korban kemudiannya dibawa ke Kompleks Darul Hidayah untuk dimasak dan diagihkan kepada saudara Muslim. Majlis diserikan dengan ucapan perasmian oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor. Yang turut hadir, Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah Jawi, Maizura Shamsuddin.

Penyelaras program, Muhammad Jais Mariappan Abdullah berkata, ibadah suci itu menekankan perpaduan Islam yang dibina atas dasar takwa bagi memantapkan hubungan sesama saudara Muslim yang terdiri daripada pelbagai kaum sejajar dengan moto Perkim iaitu ‘Islam Itu Persaudaraan.’

“Ibadah ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat berkorban sesama Muslim dengan menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri agar membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap Muslim,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain