Sebatan syariah melanggar prinsip hak asasi manusia kerana kejam, tidak berperikemanusiaan menjatuhkan maruah?

Jawapan: Sebelum menuduh sebatan syariah itu melanggar hak asasi manusia, kejam tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah kita hendaklah tahu bagaimana sebatan syariah dilakukan yang mana amat berbeza daripada sebatan dijatuhkan oleh mahkamah sivil.

Sila rujuk Enakmen Tatacara Jenayah Syariah memperuntuk dengan terperinci bagaimana hukuman sebatan syariah perlu dilakukan. Alat sebatan umpamanya hendaklah daripada rotan atau ranting kecil tiada ruas tidak melebihi 1.22 meter dan diameternya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

Sebatan syariah amat berbeza dengan rotan di mahkamah sivil yang mencederakan pesalah. Sekali rotan untuk pesalah sivil sudah pasti ada yang akan pengsan dan mencederakan pesalah itu. Berdasarkan panjang rotan syariah, diameter dan cara merotan amat ringan dan tidak mendatangkan luka.

Amat tidak benar dan mengelirukan jika mengatakan sebatan syariah adalah kejam tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah.

Sebatan syariah mendiskriminasikan wanita Islam, sebatan dijatuhkan mahkamah sivil tidak boleh dikenakan kepada wanita berdasarkan peraturan penjara.

  • Bila bercakap tentang diskriminasi, maka kita hendaklah terlebih dahulu faham apa yang dikatakan diskriminasi. Adakah semua bentuk diskriminasi melanggar undang-undang?

Sebenarnya terdapat beberapa bentuk diskriminasi yang dibenarkan undang-undang. Contohnya ‘positive discrimination’ yang berlaku apabila pihak kerajaan memberikan keistimewaan kepada golongan tertentu bagi tujuan tertentu.

Ia dibenarkan undang-undang. Begitu juga discrimination against a class of persons atau diskriminasi terhadap sesuatu golongan tertentu juga dibenarkan. Oleh demikian wanita Islam adalah golongan tertentu dan boleh dibuat diskriminasi terhadap golongan tersebut selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip asas kesamarataan.

Sebatan dijatuhkan oleh mahkamah sivil memang tidak dibenarkan terhadap wanita disebabkan sifatnya yang kejam dan mencederakan. Sepatutnya apa yang perlu dilakukan ialah menuntut sebatan ini dimansuhkan. Mungkin ada golongan tertentu yang beranggapan kerana ia hanya dikenakan kepada lelaki, maka tidak apalah hukuman tersebut walaupun ia amat kejam dan menyakitkan. Pendekatan ini amatlah pelik.

Dalam mendambakan kesamarataan total sepatutnya golongan prohak wanita ini memperjuang tidak ada perbezaan hukuman rotan pesalah lelaki dan wanita. Barulah ia sebenar-benarnya memperjuang hak sama rata total.

Mangsa sumbang mahram dihukum sebat?

  • Tiada undang-undang yang akan menghukum mangsa jenayah, hukuman dijatuhkan kepada penjenayah bukannya mangsa. Dalam mensabitkan sesuatu kesalahan dua elemen penting mesti dibuktikan iaitu actus reus (perbuatan jenayah) dan mens rea (niat melakukan jenayah). Oleh itu, mangsa apa jua kesalahan termasuk sumbang mahram tidak akan dikenakan sebarang tindakan atau pertuduhan, malah kerajaan wajib menjaga kebajikan mereka.

Persoalannya, kenapa hanya apabila ditangkap baru wanita itu mengatakan dirogol dan sebagainya? Mengapa setelah dirogol wanita tersebut tidak terus pergi ke balai polis membuat laporan dirogol? Jika perkara ini dilakukan sudah pasti wanita yang dirogol itu tidak akan didakwa. Bukannya setelah melahirkan anak dan apabila sudah diketahui orang barulah mendakwa dirinya dirogol.

Lebih banyak wanita yang dikenakan hukuman sebat?

  • Hal ini perlu dibuktikan dengan statistik yang sahih. Saya sendiri tidak pasti kebenarannya. Namun undang-undang tidak membezakan lelaki atau wanita, sesiapa jua yang melakukan kesalahan mesti dihukum tanpa mengambil kira jantina penjenayah.

Konflik undang-undang antara sivil dan syariah.

  • Dalam dwisistem perundangan seperti di Malaysia memang tidak dapat lari daripada pertindihan bidang kuasa. Namun kedua-dua sistem ini mestilah saling melengkapi antara satu sama lain bukannya bersaing antara mereka.

Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan seseorang itu tidak boleh dihukum dua kali atas kesalahan sama.

Oleh itu jika seseorang itu telah disabitkan di mahkamah syariah, dia tidak boleh pula didakwa di mahkamah sivil, begitu juga sebaliknya. Adalah amat malang jika seseorang itu hanya berhujah atas konsep konflik perundangan sahaja tanpa mengetahui skema penyelesaian yang telah digarap oleh Perlembagaan Persekutuan.

Mansuhkan hukuman sebat kejam

Desakan mahukan orang yang melakukan jenayah sumbang mahram hanya didakwa di mahkamah sivil sahaja adalah amat pelik kerana kesalahan bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan itu boleh juga membawa kepada hukuman rotan yang mencederakan dan kejam itu. Persoalannya, apakah kerana ia hanya dikenakan terhadap lelaki ia menjadi tidak apa? Adakah kekejaman dilakukan terhadap lelaki tidak termasuk dalam perlanggaran hak asasi manusia?

Berbanding dengan sebatan syariah yang langsung tidak melukakan kenapa tiada kempen untuk mendesak kerajaan memansuhkan hukuman rotan yang dijatuhkan oleh mahkamah sivil?

Bagi memahami tentang pelaksanaan sebatan syariah ini, beberapa tahun lalu saya sendiri pergi ke Aceh, Indonesia bersama beberapa pimpinan PPMM mempelajari dan melihat sendiri pelaksanaan sebatan syariah di sana. Saya mendapati sebatan syariah yang dilakukan di Aceh dibuat setelah usai solat Jumaat di pekarangan masjid.

Saya sendiri melihat orang yang disebat itu lelaki sambil berdiri dan memakai baju, manakala perempuan duduk memakai pakaian menutup aurat. Setelah hukuman dilaksanakan pesalah sendiri berjalan keluar dari tempat sebatan sambil diperhatikan oleh jemaah. Tidak langsung kelihatan tercedera atau sebagainya.

Hukuman sebatan syariah ini adalah amat ringan dan ia bertujuan sebagai pengajaran sahaja bukan bermotifkan mencedera.

Ramai yang bercakap tentang sebatan syariah tetapi mereka sendiri tidak mengetahuinya atau langsung tidak pernah menyaksikannya sendiri. Mereka bercakap berdasarkan ilusi dan emosi semata-mata.