Awal bulan ini (April), seramai 50 ahli Kariah Bukit Jelutong, Shah Alam Selangor melawat Nasyrul Quran Putrajaya. Ia bagi memenuhi undangan Pengerusi Yayasan Restu, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Abdul Latiff Mirasa. Rombongan itu diketuai oleh Imam Masjid Tengku Ampuan Jamaah Bukit Jelutong, Shuhud Razali dan Pengerusi Persatuan Penduduk Muslim Bukit Jelutong, Datuk Miptah Rohsin.

Ahli kariah bergerak dari pekarangan masjid itu dengan tiga buah kenderaan dan sebuah bas yang disewa khas. Perjalanan dimulakan kira-kira pukul 7.40 pagi sejurus selepas Shuhud mengetuai bacaan doa memanjatkan kesyukuran dan memohon keselamatan perjalanan serta semoga lawatan itu bermanfaat untuk semua.

Lawatan Ahli Kariah Bukit Jelutong adalah lawatan kedua ke Nasyrul Quran, selepas kunjungan Ahli Lembaga Pengarah Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat dua minggu sebelumnya. Turut termasuk dalam senarai pengunjung ke Yayasan Restu/Nasyrul Quran ialah, seorang Sufi Yemen yang juga cendekiawan Islam dan pengasas Dekan Seminari Islam Dar Al-Mustafa, Habib Umar Al-Hafiz; Pengasas Darul Jailani International, Sheikh Afeefuddin Al Jailani, dan Ketua Hakim Tilawah al-Quran peringkat Antarabangsa, Dr. Ali Ahmad Masrani.

INDAH, UNIK, TERSUSUN PENUH SISTEMATIK

Kompleks yang tersergam indah hasil sumbangan masing-masing RM30 juta dari Kementerian Kewangan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, mengambil masa lebih kurang dua tahun untuk disiapkan. Semasa lawatan oleh Kariah Bukit Jelutong masih terdapat beberapa aspek pembinaan luaran yang belum disiapkan dan kelihatan beberapa pekerja kontrak sedang gigih melaksanakan tugas menyiapkan kompleks tersebut.

Terdapat dua komponen utama di Kompleks Nasyrul iaitu:

  • Blok pentadbiran yang dilengkapkan dengan sebuah auditorium, ruang pentadbiran dan jualan, galeri pameran, sudut taklimat dan beberapa bilik pelbagai fungsi untuk tujuan latihan serta mesyuarat.
  • Blok percetakan dengan keluasan 74,322.432 meter persegi, terletak di bahagian belakang blok pentadbiran, ia bersambung dengan blok itu melalui jejambat yang dibina khas.

Di dinding ruang legar terdapat beberapa motif dan ukiran yang amat menakjubkan dan mempesonakan. Ternyata ukiran dan kaligrafi Islam mampu meraih minat mendalam dalam kalangan pengunjung. Motif terbesar dan mungkin terpenting di sini diberi nama Ahlul Quran, adalah tarikan utama peminat kaligrafi dan seni khat Islam. Di hadapan motif ini, majoriti pengunjung berdiri atau duduk dengan megah untuk merakamkan kehadiran mereka di sini, sekali gus mengesahkan keahlian mereka sebagai ‘Ahlul Quran’ yang akan sentiasa menyanjung dan menjunjung kesucian al-Quran serta menjadikannya sebagai panduan dalam kehidupan seharian mereka.

BERMULANYA SEJARAH PENTING

Ahli Kariah disambut mesra di pekarangan bangunan tiga tingkat blok pentadbiran oleh Abdul Latiff sendiri dan beberapa kakitangan Nasyrul Quran. Ahli kariah kemudiannya dibawa ke sudut taklimat untuk mendengar taklimat ringkas mengenai sejarah penubuhan dan aktiviti Nasyrul Quran.

Menurut Abdul Latiff, sejarah Nasyrul Quran bermula di Pulau Pinang lebih 30 tahun dahulu. Permulaannya amat sederhana, dengan sebuah kolej lanjutan untuk memberi peluang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia menerima persediaan secukupnya untuk melayakkan mereka memasuki kursus-kursus tertentu di institusi pengajian tinggi seperti di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pada masa ini, Kolej Restu yang kini dikenali sebagai Kolej Antarabangsa Restu menawarkan lebih daripada 30 kursus dan mempunyai tidak kurang daripada 300 pelajar. Kursus utama di kolej ini ialah Kesenian Islam dan Kaligrafi.

Yayasan Restu ditubuhkan pada 1987 dan Projek al-Quran yang merupakan hasil gandingan dua buah keluarga, Abdul Latiff dan Haji Zainuddin dimulakan pada 2003. Hasil usaha gigih dua keluarga ini, dengan dorongan dan sokongan daripada kerajaan, Yayasan Restu berjaya menghasilkan 30 jenis al-Quran dan lebih daripada 300 tajuk penerbitan, satu pencapaian yang amat membanggakan.

Restu dan Nasyrul juga berjaya menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa-bahasa lain seperti Inggeris, Melayu Jawi dan Rumi, Nigeria (Hausa), China, India (Urdu), Kemboja (Khmer) dan Rusia dan Kazakhstan. Usaha-usaha sedang giat dilakukan untuk penterjemahan ke beberapa bahasa lagi.

Tambah Abdul Latif, nama Nasyrul diilhamkan oleh seorang ulama tersohor di Pulau Pinang iaitu bekas Imam Besar Masjid Kapitan Keling, Datuk Abdullah Bukhari.

LEGASI BERMANFAAT

Di galeri pameran, terdapat 30 lembaran al-Quran salinan tangan yang mengaplikasikan ragam motif seni visual 14 negeri di Malaysia dan satu motif khas untuk Malaysia menjadikannya 15 motif keseluruhannya.

Setiap lembaran hasil daripada salinan tangan khat anak-anak muda Melayu yang menggunakan batang resam sebagai alat penanya.

Menurut Timbalan Pengurus Besar, Lawatan, Acara dan Wakaf, Zarina Mahusin, motif direka bentuk hasil gabungan geometrik dan keindahan floramorfik daripada bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan.

Perkara bersifat antromorfik (manusia), zoomorfik (binatang), animistik, idolistik atau ikonografik (simbol pemujaan dan berhala) atau simbolisme ideologik yang dikaji daripada lambang agama dan pemikiran sosial politik adalah dilarang.

Di ruang pameran juga terdapat satu naskhah al-Quran yang diberi nama al-Quran Mushaf Malaysia-Taba’ah Ain At-Taqwa, hasil cetakan eksklusif beratus-ratus lembaran manuskrip salinan tangan yang mengambil masa lebih 10 untuk disiapkan.

Sementara itu, Pengurus Besar Operasi, Abdul Manaf Yaacob berkata, kemudahan percetakan sedia ada mampu mencetak 80,000 naskhah al-Quran sebulan. Persiapan sedang dibuat dan beberapa tambahan mesin akan dibeli untuk meningkatkan keupayaan hingga 3 juta setahun. Setakat ini lebih setengah juta naskhah al-Quran telah diedarkan di dalam dan luar negara.Adalah menjadi hasrat Nasyrul Quran untuk membekalkan satu salinan al-Quran kepada setiap pengunjungnya.

PELUANG UNTUK BERWAKAF

Dalam pada itu, tambah Abdul Latif, Nasyrul membuka peluang kepada mana-mana individu dan organisasi korporat serta kerajaan untuk bersama-sama menjayakan projek Wakaf al-Quran dengan. Wakaf ini akan digunakan untuk menyalurkan naskhah al-Quran kepada mereka yang memerlukan di seluruh dunia.

Dalam ucapan balas, Miptah mengucapkan terima kasih kepada Nasyrul Quran atas jemputan dan layanan istimewa yang diberikan. Beliau juga berbangga dengan penglibatan Ahli Kariah Bukit Jelutong dan kerjasama erat antara Pengurusan Masjid Tengku Ampuan Jemaah dengan Persatuan Penduduk Muslim Bukit Jelutong.

“Saya mengharapkan lebih ramai penduduk Muslim Bukit Jelutong akan tampil menyertai persatuan untuk menjayakan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan yang dirancang.

“Lawatan ke Nasyrul Quran berjaya memberi gambaran jelas tentang bagaimana sesebuah al-Quran dihasilkan dan keunikan al-Quran rekaan tempatan yang setanding dengan keluaran al-Quran negara-negara Islam lain.

Lawatan diakhiri dengan pembelian cenderahati dan penyumbangan kepada Wakaf al-Quran oleh beberapa ahli kariah. Lawatan penuh bermakna ini mengesahkan terdapat usaha-usaha gigih untuk menghidupkan dan membawa seni reka Islam ke tahap yang lebih tinggi di samping mengajak manusia dan umat Islam khususnya, mendekatkan diri dengan al-Quran untuk menimba sebanyak ilmu dan pengajaran daripadanya.