Antara mahasiswa terbabit ialah Yusuke dan Kana, kedua-duanya adalah pelajar tahun akhir Universiti St. Andrew, Osaka iaitu sebuah universiti Kristian dan tesis mereka mengenai asas agama Islam. Peluang yang terhidang luas itu saya gunakan sebaik mungkin untuk memperkenal Islam sebagai agama tertinggi di dunia kepada mereka.

Saya bawa mereka ke sebuah restoran halal ramen, Naritaya Ramen di Osaka Namba. Kami makan-makan sambil menerangkan mengenai Islam, sesi itu berlangsung secara santai dan ceria.

Islam mempunyai terlalu banyak kehebatan. Oleh kerana fokus mereka bukan menjurus kepada faktor keagamaan atau kerohanian, saya perkenal kehebatan globalisasi dalam Islam. Konsep dunia tanpa sempadan yang terawal di dunia iaitu sejak 1,400 tahun lalu.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”


KENAPA YANG TERBAIK?


Hujahan saya:

1. Sapaan yang sama 
di seluruh dunia.

“Walaupun kami berbilang bangsa, bahasa ibunda berbeza, tetapi sebagai Muslim kami mempunyai budaya yang sama iaitu budaya Islam dan sunah Rasulullah SAW. Kami tidak membezakan warna kulit mahupun bangsa. Kami mampu bertegur sapa kerana Muslim semuanya bersaudara. Satu dunia ucapan salam kami adalah sama iaitu Assalamualaikum,” terang saya.

l Mereka terkejut kerana walaupun mereka satu bangsa dan satu bahasa, namun mereka tak mungkin boleh bertegur sapa atau memberi ‘salam’ kepada orang yang tidak dikenali. Tak mungkin mereka boleh bersembang secara spontan seperti kita kerana konsep hidup mereka, ‘suami isteri sekalipun adalah orang luar kepada satu sama lain’.

2. Mengenai kekeluargaan 
dalam Islam.


“Kami sebagai Muslim mempunyai keluarga terbesar di dunia iaitu seramai hampir 2 bilion orang iaitu 1/4 daripada penduduk dunia.”

l Kebetulan di restoran itu terdapat tetamu Muslim dari negara luar. Kami bertegur sapa dan bersalaman dengan mereka. Semuanya menjawab salam saya dan bertegur sapa penuh mesra termasuk kanak-kanak. Yusuke dan Kana terkejut, lantas mereka mengambil kesempatan untuk merakamkan detik terbaik itu yang jarang dilihat mereka.

3. Soal akhirat dan kematian dalam Islam.

“Perkuburan Muslim adalah contoh kami telah dan akan terus mengamalkan globalisasi. Secara amnya, jika kami meninggal dunia, kami akan dikebumikan di tempat kami meninggal kerana kubur seorang Muslim wujud di seluruh dunia. Di mana sahaja kami meninggal, kami akan dikuburkan di situ.”

Mereka berdua terpegun dan terus bersemangat menerima informasi baharu yang tidak pernah diketahui sebelum ini. Bagi mereka, kubur perlu dibeli sendiri dan mereka cuma boleh dikuburkan di tempat yang mereka beli itu. Walau di mana mereka tinggal, kubur mereka perlu dibeli!

Akhirnya, setelah saya perkenal mereka berdua kepada orang sekeliling, kebetulan yang hadir di kedai itu adalah rakyat Malaysia dan Indonesia, mereka berdua berbual mesra serta bertanya khabar dengan beberapa Muslim yang lain.

Beginilah Islam tersebar di negara matahari terbit ini. Setiap daripada kita yang berada di luar negara terutama negara bukan Islam adalah wakil Nabi SAW kerana Allah SWT tidak lagi menghantar Nabi atau Rasul kepada umat manusia. Kitalah wakilnya dan jika kita sebagai Muslim tidak menyampaikan serta memberikan maklumat mengenai Islam, bagaimana mereka boleh memeluk Islam?

Doakan dua pelajar itu agar diberikan hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam. Doakan juga kami yang berdakwah di sini agar sentiasa dilindungi, diberi kekuatan untuk terus berdakwah, dimurahkan rezeki, ditambahkan ilmu dan dipimpin ke jalan yang lurus.