Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kepakaran dimiliki pensyarah dan penuntut politeknik seharusnya disalurkan kembali kepada masyarakat setempat.

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG) turut memaklumkan kesediaan pihak yayasan memperuntukkan dana tahunan sebanyak RM150,000 bagi tujuan tersebut.

“Yayasan Pasir Gudang bersedia untuk menjalin kerjasama dengan pihak politeknik dalam meneruskan program bantuan membaik pulih kediaman masyarakat.

“Sekiranya kerjasama ini berjaya, tidak mustahil kerajaan negeri akan turut terlibat dalam menyediakan peruntukan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pihak,” katanya semasa merasmikan program Touch Point Cabinet Away 2017 di Kampung Kuala Masai, Masai, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Politeknik, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ismail Aziz dan Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Rosli Hamid.

Seramai 7,000 peserta terdiri daripada kakitangan dan penuntut politeknik menyertai program tersebut bagi membaik pulih 700 rumah di seluruh negara menje­lang akhir tahun ini.

Mohamed Khaled berkata, program tersebut secara tidak langsung turut memberi peluang kepada penuntut untuk mengasah kemahiran yang dipelajari mereka secara amali sambil berkhidmat kepada penduduk setempat.