fsu-teropong-1

Perkongsian ilmu astronomi di antara warga Sains Ukur dan Geomatik PPSUG dan para peserta dari Sekolah Kebangsaan Bukit Kiara, Sungai Petani, Kedah. 

Program khidmat masyarakat ini telah dikendalikan oleh pensyarah dan mahasiswa PPSUG dengan mengadakan perkongsian ilmu astronomi bersama guru-guru, ibu bapa dan 20 orang pelajar dari sekolah di negeri jelapang padi ini.

Program cerapan bulan ini telah diadakan di Damai Park Resort, Merbok, Kedah. Para guru dan pelajar diberi peluang untuk membuat cerapan sendiri bermula pada jam 9 hingga 11 malam.

Program yang dijalankan sempena praktikal khemah ukur ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta.

Para peserta berpeluang untuk melihat ‘bulan sabit’ menerusi dua unit teleskop yang di bawa khas daripada PPSUG. Pensyarah Kanan, Sr. Dr. Saiful Aman Bin Haji Sulaiman telah menyampaikan ilmu astronomi secara ringkas kepada para peserta seperti jenis-jenis fasa bulan, planet, bintang serta buruj yang ada di ruang angkasa.

Cerapan bulan terutamanya cerapan bintang Kejora adalah merupakan pengalaman pertama para peserta melihat ciptaan Allah ini secara dekat. Menurut guru besar sekolah, beliau amat berbesar hati dan bersyukur dengan perkongsian ilmu dan pengalaman yang diberikan oleh para pensyarah dan pelajar dari UiTM Shah Alam.

Program khemah ukur adalah salah satu kursus PPSUG yang perlu diambil oleh setiap mahasiswa bagi menamatkan bidang ini. Program cerapan bulan yang diselitkan dalam kursus ini adalah satu aktiviti yang berimpak sosial sekaligus meperlihatkan sumbangan bidang ini kepada komuniti setempat khususnya, dan negara secara amnya.