Aliran tersebut menjadi pilihan, menggabungkan pendidikan anak-anak di peringkat menengah khususnya apabila sekolah-sekolah di bawah YIK berupaya melahirkan pelajar cemerlang akademik dan tinggi jati diri Islam. Ini sekali gus melenyapkan label sekolah ‘Pak Lebai’ sebelum ini.

Walau bagaimanapun, ketika ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah tersebut , fenomena itu secara tidak langsung menjadi punca sekolah menengah Kementerian Pendidikan kurang mendapat sambutan.

Ikuti laporan wartawan Mingguan Malaysia, ZAAIN ZIN mengenai sejauh mana ‘fenomena’ dicetuskan sekolah aliran tersebut.

KOTA BHARU 23 Feb. -  Sepanjang sesi persekolahan 2018, Maktab Sultan Ismail (SIC) di sini mempunyai 184 pelajar tingkatan satu dan pada tahun ini, jumlahnya berkurangan kepada 150 orang. 

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang mempunyai 135 pelajar pada 2018 cuma merekodkan kemasukan 120 pelajar tingkatan satu tahun ini. SMK Cherang Ruku di Pasir Puteh pula 215 pelajar tahun ini, berbanding 355 orang 2018.

Berdasarkan tinjauan rambang Mingguan Malaysia, rata-rata pengurusan sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan di negeri ini me­ng­akui mengalami situ­asi sama. Mereka mendakwa, trend itu berlarutan sejak lima tahun lalu.

Soal selidik terhadap seko­lah aliran agama bernaung di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) mendapati, jumlah pelajar tingkatan satu meningkat dari tahun ke tahun. Malah, mereka terpaksa menolak sebilangan besar permohonan kerana tempat terhad.

Sebagai contoh, Maahad Muhammadi (lelaki) di sini me­nerima 198 pelajar tingkatan satu tahun ini, berbanding 147 orang 2018. Sekolah Menengah Ugama (Arab) (SMU) Nurul Falah di Pasir Puteh pula menerima 61 pelajar tingkatan satu tahun ini berbanding 40 orang tahun lalu.

SMU Anuar atau SMUDA, di sini (dulu dikenali Maahad Darul Anuar atau MADA) yang secara rasmi menjadi institusi di bawah YIK tahun ini pula menarik kemasukan 130 pelajar tingkatan satu, dua kali ganda berbanding ketika di bawah pengurusan lama.

Maklum balas dikumpulkan seolah-olah mengesahkan ‘fenomena sekolah YIK’ sedang berlaku di negeri ini. Ibu bapa lebih berminat menghantar anak-anak belajar di sekolah aliran agama kendalian YIK berbanding sekolah kerajaan.

Jumlah kemasukan pelajar ke maahad tahfiz juga bertambah. Bagaimanapun, tiada rekod tepat disebabkan sekolah itu diuruskan pihak swasta.

Mengikut statistik rasmi, jumlah pelajar tingkatan satu di sekolah kerajaan seluruh Kelantan terus berkurangan. Bagi sesi 2017, jumlah pelajar itu 22,702 orang, berkurangan kepada 21,641 orang bagi sesi 2018.

Namun, Jabatan Pendidikan negeri menganggap populariti sekolah kerajaan tidak tenggelam sebagaimana didakwa, sebalik­nya kekal sebagai pilihan utama majoriti ibu bapa di negeri ini.

Pengarahnya, Muhammad Zahari Othman berkata, berdasarkan data terkini, jumlah pendaftaran pelajar tingkatan satu yang direkodkan di sekolah kerajaan seluruh negeri mencecah 26,636 orang bagi sesi persekolahan tahun ini, iaitu meningkat dengan ketara berbanding tahun lalu.

Ujar beliau, jika mengambil kira jumlah murid tahun enam sekolah rendah awam kerajaan di negeri ini pada tahun lalu yang berjumlah 27,829 orang, pihaknya ‘hilang’ seramai hampir 1,200 murid yang kini sudah beralih arah.

“Antara faktornya adalah kerana mereka memilih belajar di sekolah YIK atau sekolah kendalian pihak swasta lain, di samping menerima tawaran belajar di sekolah berasrama penuh atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terletak di luar Kelantan,” kata­nya kepada Mingguan Malaysia di sini baru-baru ini.

Anggaran jumlah pelajar yang ‘hilang’ tersebut bagaimanapun agak mengelirukan kerana Timbalan Pengarah (Sekolah) YIK, Che Kamaruddin Kamel Che Mohammad memberitahu, bilangan pelajar yang diterima masuk ke sekolah menengah YIK pada tahun ini mencecah 7,650 orang.

Menurut beliau, hanya kira-kira 10 peratus pelajar tersebut datang dari luar Kelantan manakala selebihnya merupakan anak tempatan.

Beliau dalam pada itu turut mengakui berlakunya ‘feno­me­na sekolah YIK’ berikutan jumlah kemasukan pelajar tingkatan satunya meningkat secara konsisten sekitar 500 orang setahun sejak beberapa tahun lalu.