Naib Presiden Kanan Pemerkasaan Industri, Universiti Limkokwing, Datuk Raja Aznil Raja Hisham berkata, lagu yang mengambil masa seminggu untuk disiapkan itu dicipta khas oleh penuntut-penuntut Fakulti Akademi Rekaan Bunyi dan Muzik universiti tersebut.

“Lagu ini juga mendapat sentuhan daripada Presiden dan Pengasas Universiti Limkokwing, Tan Sri Dr. Lim Kok Wing yang turut menyelia pembikinan lagu ini.

“Idea untuk menghasilkan lagu Demi Negara tercetus selepas kejayaan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu sekali gus sambutan Hari Kebangsaan kali ini dianggap sebagai kelahiran Malaysia Baharu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran lagu Demi Negara di Universiti Limkokwing di sini hari ini.

Menurut Raja Aznil, selain menonjolkan suara generasi muda, pembikinan lagu tersebut juga menyelitkan elemen malar segar supaya sentiasa kekal sepanjang zaman.

Beliau berkata, pihaknya berharap lagu yang dihasilkan dapat diterima oleh seluruh masyarakat dan menjadi popular seperti lagu Keranamu Malaysia, Jalur Gemilang dan lagu-lagu patriotik lain.

Sementara itu, katanya, lagu tersebut kini boleh ditonton menerusi laman YouTube dan pihaknya menjangkakan dapat menarik sehingga dua juta tontonan sebelum 31 Ogos ini.