Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Hasan Basri Awang Mat Dahan berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian program komuniti Unisza bagi menggalakkan masyarakat menjalani gaya hidup sihat.

Katanya, Unisza menerusi Fakulti Sains Kesihatan akan memantau tahap kesihatan pekerja Laguna Redang Island Resort dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

"Antara misi Hospital Unisza yang bakal dibuka tidak lama lagi ialah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan serangan jantung menerusi penganjuran program berbentuk pencegahan," katanya selepas majlis memeterai MoA itu di Bilik Mesyuarat Utama Canselori, Unisza kampus Gong Badak di sini.

Dalam majlis itu, Hasan Basri mewakili Unisza manakala Laguna Redang Island Resort diwakili Toh Seng Lip.

Sementara itu, Seng Lip berkata, pihaknya menyediakan geran tahunan RM18,000 untuk menjayakan program berkenaan kerana kakitangan merupakan antara pemegang taruh penting bagi syarikat dan produktiviti mereka tentunya meningkat jika berada dalam keadaan sihat serta cergas.

Katanya, berdasarkan saringan kesihatan yang dijalankan Unisza pada Mac lalu mendapati lebih 80 peratus daripada kakitangan resortnya berisiko mengalami obesiti dan paras kolesterol tinggi.

"Unisza menyediakan perkhidmatan pakar pemakanan bagi memberi nasihat dan pemeriksaan kesihatan selain merangka pelan gaya hidup merangkumi pemakanan dan latihan fizikal kepada kakitangan.

"Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada pekerja yang terlibat berjaya menurunkan berat badan dan paras kolesterol masing-masing sekali gus kembali menjadi individu sihat menerusi program ini," katanya.

Seng Lip berkata, pihaknya turut menawarkan pelbagai insentif menarik kepada kakitangan yang berjaya mencapai misi tersebut mengikut tempoh ditetapkan. - UTUSAN ONLINE