Program tersebut diadakan sepanjang masa di lokasi terbabit bagi memudahkan rakyat negeri ini serta pelajar universiti itu mengambil manfaat daripada aktiviti yang dianjurkan itu.

Seterusnya, Unimap berazam menjadi institusi yang memanfaatkan amalan kitar semula bukan sahaja dalam kalangan warga universiti malah melibatkan seluruh rakyat di negeri ini.

Naib Canselor Unimap, Prof. Ir. Ts. Dr. R. Badlishah Ahmad berkata, langkah universiti mengambil inisiatif itu adalah untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat agar menjadikan budaya kitar semula sebagai satu amalan.

Katanya, langkah tersebut juga adalah sebahagian daripada inisiatif Unimap dalam menyokong agenda universiti untuk masyarakat yang dicetuskan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

“Untuk itu, Unimap akan membuka kampus untuk universiti bersama-sama menjayakan program RFL ini. Kita juga berharap menerusi peningkatan komitmen masyarakat, inisiatif ini bukan sahaja dapat membudayakan amalan kitar semula tetapi juga dapat mengurangkan kos pelupusan sisa pepejal.

“Kita menerima pelbagai kategori barangan kitar semula seperti minyak masak terpakai, besi, kertas majalah, akhbar, botol mineral, tin susu, botol sabun dan kotak pada harga yang cukup berpatutan.

“Masyarakat di negeri ini boleh datang ke Unimap untuk membawa barangan kitar semula dan akan menerima bayaran bagi setiap kilogram barangan yang dijual. Selain menjaga persekitaran, melalui cara ini, masyarakat mahupun pelajar juga boleh menambah pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Unimap bersama pengamal media negeri ini di Hotel Putra Regency di sini malam tadi.

Yang turut hadir pada program anjuran Unit Komunikasi Korporat (UKK) Unimap itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Unimap, Datuk Prof Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Unimap, Prof. Dr. Rezuwan Kamarudin.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Unimap, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan; Pendaftar Unimap, Mohd. Saad Din serta Ketua UKK, Mustaffa Ismail.

Dalam pada itu, R. Badlishah berkata, peranan media amat penting bagi membantu Unimap dalam menyalurkan maklumat kepada pihak luar terutama rakyat di negeri ini.- UTUSAN ONLINE