Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, antara program yang akan diadakan ialah Festival Ramadan dengan pengisian solat tarawih, tadarus dan iftar jamaie.

“Aktiviti lain termasuk program Memasak Bubur Lambuk, Ceramah Anda Tanya Ustaz Jawab: Ramadan Datang Bersediakah Kita?, Singgah Mesra dan Kuliah Dhuha: Mengejar Lailatul Qadar.

“Turut diadakan Seminar Nuzul al-Quran dan banyak lagi bagi memberi peluang kepada warga kampus dan masyarakat setempat untuk turut serta,” katanya di sini hari ini.

Daing Nasir berkata, Tabung MyGift menyampaikan sumbangan RM129,000 kepada penguru­san masjid UMP yang diwakili Pe­ngarah Pimpin, Dr. Mahyudin Ismail di Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan untuk mengimarahkan Festival Ramadan tahun ini.

“Bantuan menerusi sumba­ngan dana, tajaan orang perseorangan, badan korporat dan orang ramai adalah menerusi inisiatif Endowmen MyGift UMP. Ini termasuk pengurusan penyedia­an juadah berbuka puasa, moreh dan sahur sepanjang Ramadan ini,” katanya.

Menurutnya lagi, sumbangan tersebut dapat membantu pe­ngurusan masjid mengimarahkan Ramadan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada warga UMP terutama mahasiswanya.

“Saya menasihatkan mahasiswa dan masyarakat setempat untuk memanfaatkan Festival Ramadan yang berlangsung di kedua-dua kampus di Pekan dan Gambang,” katanya.

Sementara itu, Mahyudin berkata, pihaknya masih mengekalkan konsep yang sama iaitu memasak mengikut jadual bagi penyedia­an juadah berbuka puasa secara bergotong-royong mengikut setiap jabatan atau fakulti.

“Antara menu yang disediakan ialah nasi putih, gulai kawah, sayur campur, ayam masak merah, bubur lambuk, ayam masak kurma dan sebagainya mengikut jadual yang ditetapkan,” ujarnya.

Orang ramai yang berhasrat menyumbang untuk Tabung MyGift UMP boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman sesawang mygift.ump.edu.my.