Keputusan itu juga menjadikan UMP berada pada kedudukan keenam terbaik di Malaysia, ke-29 terbaik Asia dan kedudukan ke-16 Asia Tenggara berdasarkan usaha kelestarian kampus hijau dan pengurusan alam sekitar yang telah diumumkan baru-baru ini.

Penilaian ini dibuat berdasarkan enam kriteria utama iaitu keluasan tanah dan infrastruktur (15 peratus), tenaga dan perubahan iklim (21 peratus), sisa buangan (18 peratus), air (10 peratus), pengangkutan (18 peratus) dan Pendidikan (18 peratus).

Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, pencapaian itu merupakan komitmen berterusan pihak universiti terhadap pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti pengajaran, penyelidikan, kokurikulum dan sistem pengurusan kualiti berteraskan pengurusan alam sekitar yang berkesan.

“Agenda penghijauan kampus dan penjimatan antara yang sering menjadi keutamaan universiti dalam setiap perancangan dan belanjawan tahunan.

“UMP juga mengamalkan konsep 3R (Reduce, Reuse (amp) Recycle), dalam menguruskan pelbagai jenis bahan buangan yang dihasilkan oleh universiti.

“Malah, universiti turut memastikan satu sistem pengurusan berkesan dalam menyingkirkan bahan buangan universiti dan pelupusan sisa yang mampan serta bertanggungjawab,” katanya.

Warga UMP juga, katanya, akan terus memberikan sepenuh komitmen dan sumbangan dalam mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar yang disebabkan oleh aktiviti seharian.

Mereka juga menggunakan sumber secara optimum tanpa menjejaskan keperluan generasi akan datang demi memperjuangkan masa hadapan yang mapan dan kesejahteraan bumi. – BERNAMA