Naib Canselor, Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata, sasaran itu tidak mustahil dicapai melalui peningkatan aktiviti inovasi dan keusahawanan apatah lagi UMK yang kini berusia 12 tahun mempunyai kekuatan gabungan antara bidang sains, keusahawanan dan perniagaan serta kesusasteraan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, pihaknya bukan sahaja bekerjasama dengan pemain industri dalam negara bahkan menjalinkan hubungan strategik dengan pihak luar termasuk universiti di China dan Indonedia supaya hasil penyelidikan UMK dapat menembusi pasaran yang lebih besar.

“Dalam tempoh sebulan ini sahaja kita telah tandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan lebih 10 pemain industri untuk meningkatkan kualiti penyelidikan dan hasilnya dapat membantu pengajaran dan pembelajaran dalam universiti.

“Kita juga tandatangan MoU dengan China Agricultural University (CAU) iaitu sebuah universiti berasaskan pertanian paling besar di China dan mereka menjemput khas UMK untuk membuat pameran di Beijing pada hujung bulan ini bagi mempamerkan 12 produk inovasi yang kita hasilkan.

“Kita turut bekerjasama dengan satu lagi universiti terkemuka negara itu iaitu University of International Business and Economics (UIBE) yang mempunyai asas kukuh dalam pembinaan usahawan muda global supaya hubungan dapat dijalinkan antara usahawan pelajar China dengan usahawan pelajar UMK,” katanya selepas program Jalinan Mesra Pengurusan UMK Bersama Media di Hotel Perdana di sini semalam.

Yang turut hadir, Presiden Kelab Media Darulnaim (Kemudi), Azran Fitri Rahim; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMK, Prof Dr Rafi Yaacob dan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Prof. Dr Zaliman Sauli.

Sementara itu, Noor Azizi berkata, pihaknya amat mengharapkan kerjasama pengamal media untuk menyebarluas maklumat dan pencapaian universiti keusahawanan itu kepada masyarakat.

Jelasnya, antara pencapaian terbaharu UMK adalah universiti paling banyak memenangi pingat emas iaitu tujuh pingat emas dalam Malaysia Technology Expo (MTE) 2019 pada Februari lalu.

“Kita mahu keterlihatan universiti dapat ditingkatkan dan ini hanya dapat dicapai menerusi kerjasama erat antara pengurusan universiti dengan pihak media.

“UMK adalah ‘driver’ dalam pembangunan sosioekonomi Kelantan dan sebagai satu-satunya universiti keusahawanan kami juga mahu bantu negara mencapai wawasan sebagai negara maju,” katanya.

Dalam pada itu, Noor Azizi berkata, pihaknya akan membawa masuk lebih ramai lagi usahawan Kelantan di luar yang berjaya untuk menyertai Majlis Kumpulan Tindakan Keusahawanan (AGE Council) yang merupakan platform memberi nasihat kepada pensyarah dan pelajar dalam aktiviti keusahawanan.

“Ramai orang tidak tahu kita ada 400 syarikat perniagaan berdaftar yang dibuka pelajar UMK merangkumi pelbagai tahap, kita mahu orang dalam industri membantu meningkatkan perniagaan mereka pada tahap lebih tinggi,” katanya.

Untuk rekod, AGE Council telah ditubuhkan sejak 2007 lagi namun pencapaian kurang memberangsangkan sebelum diberi natas baharu semula pada 2016. - UTUSAN ONLINE