Naib Canselornya Prof. Dr. Azizi Ismail berkata, pada tahun depan pihaknya menyasarkan menarik 500 pelajar dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Thailand, Afrika, Arab dan China.

“Ini memandangkan jumlah pelajar antarabangsa yang belajar di UMK pada masa ini masih rendah iaitu lebih 60 orang sahaja,” katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan tiga universiti dari Indonesia di UMK, hari ini.

Universiti berkenaan ialah Universitas Mercu Buana Yogyakarta, yang diwakili Rektornya Dr. Alimatus Sahrah, Universitas Muhammadiyah Riau diwakili Rektor Dr. H. Mubarak dan Universitas Islam Malang diwakili Rektor Prof Dr. H.Maskuri Bakri.

Noor Azizi berkata, antara jurusan yang akan ditawarkan termasuk bidang Sains Bioteknologi, Kewangan Islam dan bidang Keusahawanan yang menjadi teras UMK.

Katanya, kehadiran ramai pelajar asing itu sangat diperlukan untuk memberi peluang kepada pelajar tempatan bergaul dan mengenali budaya masing-masing selain mewujudkan semangat persaingan bagi meningkatkan pencapaian akademik yang lebih cemerlang.

Mengenai MOU berkenaan beliau berkata ia bagi membolehkan UMK menjalinkan kerjasama dan hubungan yang lebih erat dengan universiti berkenaan.

Beliau berkata ini termasuk menerusi program pertukaran pelajar dan penyelidikan serta menarik minat pensyarah dari universiti berkenaan melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falasafah (PHD) di UMK.

Noor Azizi berkata, sebelum ini pihaknya telah mengadakan MOU yang serupa dengan lapan buah universiti yang terkemuka di Indonesia. - BERNAMA