MoU tersebut bagi membantu usaha memastikan negeri ini bebas sampah berasaskan plastik dan terurus.

Majlis menandatangani memorandum itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail bersama Pengarah Eksekutif KUM, Abdul Rashid Mohd Yusoff di Kompleks Kota Darulnaim, dekat sini semalam.

Turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Besar merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KUM, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

Sementara itu, Noor Azizi berkata, ini adalah salah satu inisiatif bersama dalam usaha meningkatkan kecekapan penggunaan teknologi hijau khususnya dalam pelupusan sisa sampah dan penggunaan plastik berasaskan petroleum.

“Kerjasama ini adalah satu permulaan pihak UMK bersama kerajaan negeri menjalankan kajian secara menyeluruh berkenaan dengan penggunaan plastik dan potensi menggantikan bungkusan plastik seperti beg plastik dan bekas polistrin dengan plastik biodegradasi di negeri ini.

“Pihak kami akan sedaya upaya bantu kerajaan negeri dalam membangunkan polisi teknologi hijau iaitu ‘zero waste policy in Kelantan’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Azizi berkata, MoU bersama itu untuk menyediakan plan utama bagi ‘Pembangunan Mampan Teknologi Hijau Negeri Kelantan untuk Kelestarian Bandar Pintar’.

“Plan ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat di negeri ini samada dari segi kebersihan mahupun kesihatan.

“Ianya juga sekaligus memberi satu impak positif kepada pelajar dan kakitangan pada masa depan dari segi penyelidikan bersama, projek bersama, penerbitan bersama, mobiliti kakitangan dan pelajar,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE